KUALA KRAU 4 Mac - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran kepada pihak pembangkang supaya jangan bermain api dengan terus melakukan provokasi terhadap rakyat.
Beliau juga memohon rakyat supaya jangan benarkan mana-mana pihak menghancurkan negara hanya kerana kepentingan politik sempit dan semata-mata mahu menang pilihan raya.
Menurut beliau, provokasi pembangkang tidak demokratik dan sengaja mahu membuat huru-hara.
Tegasnya, pembangkang lebih seronok melihat negara hancur dan seronok jika ada krisis pertembungan kaum.
''Saya bagi amaran jangan bermain dengan api. Saya juga peringatkan rakyat jangan hancurkan negara hanya kerana provokasi pihak tidak bertanggungjawab ini. Provokasi pembangkang ini tidak demokratik dan sengaja mahu membuat huru-hara.
''Tujuan lain tiada kecuali mahu menimbulkan porak-peranda. Mereka (pembangkang ) lebih seronok melihat negara hancur dan seronok jika ada krisis pertembungan kaum," tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra dengan penduduk di Kampung Badok, Kerdau dekat sini hari ini.
Sebelum itu, beliau bersolat Jumaat bersama penduduk kampung di Masjid Kampung Badok.
Beliau mengulas tindakan agresif pembangkang yang menggunakan isu pergolakan politik di Mesir dan Libya sebagai modal kempen pada Pilihan Raya Kecil PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dan Merlimau ketika ini untuk meraih simpati pengundi.
Muhyiddin menegaskan, kerajaan memantau secara dekat terhadap apa yang dilakukan pembangkang untuk membangkitkan rasa tidak puas hati rakyat.
''Kita ada sistem, kita ada pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap keamanan.
Kita tahu apa yang berlaku. Kita pantau kerana kita hendak mengelakkan daripada timbulnya huru-hara," tegasnya.
Jelas beliau, situasi politik di Malaysia dengan Mesir dan Libya tidak boleh diberi persamaan sama sekali.
''Mereka hendak membandingkan Malaysia dengan negara terbabit. Mereka boleh buat perbandingan tetapi mereka membuat perbandingan yang silap.
''Situasi negara kita amat aman, makmur dan membangun dengan pesat. Rakyat menikmati kemajuan yang tinggi," jelasnya.
Menurut beliau, rakyat negara ini menghargai keamanan dan mengetahui ada saluran yang boleh mereka gunakan untuk menyampaikan sebarang pandangan kepada kerajaan.
Dalam pada itu, Muhyiddin menjelaskan, sistem demokrasi di Malaysia amat subur apabila pilihan raya diadakan dalam tempoh lima tahun sekali.
''Parti-parti pembangkang pun menyertai pilihan raya. Mereka (pembangkang) menang, kita pun menang. Kita pun ada kalah.
''Ia sudah cukup untuk membuktikan negara ini demokratik, ia tidak dijalankan atas dasar autokrasi atau diktator, sesi persidangan Parlimen kita amat aktif apabila sesi perbincangan dibuat secara tersusun manakala undang-undang dijalankan dengan sempurna," katanya.
Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan pemberian peruntukan sebanyak RM500,000 bagi pembinaan baru Masjid Kampung Badok.
Beliau juga menerima borang permohonan keahlian UMNO daripada belia kampung tersebut.
/hwa: utusan.com.my | um - 5/3/11
Tiada ulasan:
Catat Ulasan