28 Mac 2011

Pemikiran perlu beranjak – Daim


TUN DaimTokoh Korporat


UTUSAN MALAYSIA: Apa pandangan Tun tentang transformasi ekonomi yang kini dilaksanakan kerajaan?

DAIM: Malaysia memang perlu melakukan transformasi kerana jika tidak berubah kita akan ketinggalan. Tidak payah saya terangkan tentang persaingan hebat dari negara-negara lain di Asia Timur dan India dalam bidang eksport, teknologi, pelaburan dan tenaga pekerja. Kita tidak boleh hanya menjual eksport yang nilai tambahnya yang rendah kerana negara lain boleh menjual barang sama pada harga lebih murah lagi. Barang dan perkhidmatan dihasilkan mesti berkualiti. Jika berkualiti, pembeli sanggup membayar harga lebih tinggi. Dengan cara ini baharu kita boleh mencapai pendapatan tinggi, bukan dengan cara hanya menaikkan gaji tanpa peningkatan produktiviti. Malaysia perlukan transformasi yang serius.

Bagaimanakah langkah seterusnya?

Transformasi yang dilakukan kerajaan sekarang ini perlu dipertingkatkan dan kita mesti bersedia menjalankan perubahan dan pembaikan yang bermakna – bukan superficial. Lebih penting adalah transformasi dalaman. Kita sepatutnya mewujudkan ekonomi lebih cekap tetapi pada masa yang sama memberi taraf hidup yang baik kepada rakyat. Isu subsidi dan harga barang, peranan sektor swasta dalam menjana kegiatan ekonomi, peranan kerajaan, suasana pelaburan untuk menggalakkan, mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji yang baik, ketelusan dan polisi pekerja asing adalah antara isu-isu transformasi yang perlu diperincikan.

Apakah perkara lain yang dilihat masih terpinggir dalam proses transformasi ini ?

Transformasi adalah proses yang memerlukan wawasan, perancangan, komitmen dan implementasi yang cekap dan segera. Saya berpendapat transformasi patut dijalankan mengikut keutamaan kerana kapasiti, sumber dan keupayaan adalah terhad. Beberapa perkara yang patut diberi keutamaan ialah bagaimana untuk mencapai pendapatan tinggi dengan cara stabil tanpa menyebabkan inflasi tinggi. Ramai mengeluh gaji tidak naik sejak sekian lama. Ada juga yang dibayar gaji sangat tinggi tetapi tidak setimpal dengan kelayakan dan pengalaman.

/hwa: utusan.com.my | um - 28/3/11

Tiada ulasan: