28 Mac 2011

Rakyat bangga Malaysia bergerak seiring negara maju

KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan melaksanakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) melalui penambahbaikan pelbagai sektor utama negara menerima maklum balas yang positif dikalangan rakyat, khusus dalam mempertingkatkan pelbagai sektor membantu negara menuju ke arah negara maju menjelang 2020.

Malah, orang ramai yang ditemui memuji dan mengalu-alukan program transformasi bagi memastikan masyarakat Malaysia terus berdaya maju dan mampu bergerak setanding negara maju lain di dunia.

Peniaga, J Ganesh, 34 dari Petaling Jaya, menyifatkan bidang pendidikan banyak menumpukan usaha pengukuhan dalam penguasaan bahasa sama ada baik bahasa Malaysia mahupun bahasa Inggeris.

"Usaha kerajaan memperkukuhkan penguasaan bahasa khususnya dalam Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dilihat berjaya meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris yang pada masa sama terus memartabatkan penggunaan bahasa Malaysia.

"Usaha baik itu perlu diteruskan kerana ia secara tidak langsung berupaya meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris yang akan memberikan banyak manfaat dalam menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik," katanya.

Kakitangan awam, Zamzida M Jamhari, 35 dari Port Dickson, bersetuju dengan penekanan kerajaan melalui penambahbaikan sektor pendidikan yang berupaya memacu negara menuju negara maju.

Katanya, usaha kerajaan menyasarkan sifar buta huruf dan angka bagi pelajar di seluruh negara menjelang 2012 selain pengukuhan kepada sistem pendidikan prasekolah banyak memberikan manfaat, khususnya di luar bandar bagi mengelak mereka daripada keciciran.

Penjawat awam, Afnan Abdullah, 33, menyifatkan kehadiran GTP tepat pada masanya yang menjadi agenda kerajaan yang bermakna dan melengkapi usaha kerajaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Anak kelahiran Kota Bharu itu yakin usaha transformasi kerajaan ini mampu mengubah landskap sosio ekonomi dan budaya rakyat Malaysia dibawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

“GTP adalah program tersusun yang dilancarkan secara sistematik, mewakili enam bidang NKRA. Ia adalah usaha relevan yang bertepatan dengan suasana ketika ini dengan peningkatan jenayah dan ketidakcekapan sistem pengangkutan awam.

“Saya yakin GTP hadir pada masa yang tepat ketika rakyat menuntut perubahan ketara dalam pentadbiran kerajaan," katanya.

Eugene Teh, 36, dari Klang, berkata GTP dapat meyakinkan rakyat bahawa kerajaan benar-benar serius untuk membawa perubahan dalam sistem pengangkutan awam bandar, mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mengurangkan kadar jenayah, membanteras rasuah, mempertingkatkan pencapaian pelajar dalam pendidikan dan memperkasakan pembangunan infrastruktur luar bandar.

Katanya, usaha mentransformasikan agenda pembangunan negara wajar dicontohi sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memastikan rakyat dapat mendalami perubahan sistem pentadbiran negara secara lebih menyeluruh.

"Pelaksanaan GTP bertujuan mendapatkan hasil yang memberangsangkan untuk memastikan rakyat merasai manfaat daripada kemakmuran negara," katanya.

/hwa: bharian.com.my | bh - 28/3/11

Tiada ulasan: