|
Ramlan Othman |
Sekiranya perkara ini dipandang sambil lewa, bumiputera akan terus ketinggalan walaupun pada ketika itu Malaysia telah diiktiraf sebagai sebuah negara maju.
Kita tidak mahu perkara ini berlaku. Apa yang kita mahu ialah bumiputera mesti maju sejajar dengan kemajuan negara pada tahun tersebut.
Mahu tidak mahu semua pihak perlu menggemblengkan tenaga.
Semua golongan dan peringkat bumiputera boleh mendapatkan ilmu dan bertukar pandangan melalui Konvensyen Memperkasa Model Baru Ekonomi (MBE): Satu Jihad Ekonomi Bumiputera di Dewan Agong Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada hari ini dan esok.
Konvensyen anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) dengan kerjasama UiTM ini bertujuan membincangkan isu, masalah serta peluang ekonomi orang Melayu dan bumiputera dalam pelaksanaan Model Bari Ekonomi (MBE) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Konvensyen yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ini untuk menghasilkan cadangan mengenai penubuhan Program Transformasi Ekonomi Bumiputera (PTEB) melalui pengenalan dan pelaksanaan beberapa inisiatif dan program ekonomi bagi mengurangkan jurang pendapatan antara bumiputera dan bukan bumiputera.
Seramai 5,000 peserta terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu, pemikir dan golongan usahawan serta korporat Melayu dan bumiputera dijemput menghadiri konvensyen yang majlis penutupnya disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Ini satu perhimpunan raksasa ahli-ahli ekonomi dan usahawan bumiputera untuk mencari kaedah penyelesaian dalam meningkatkan pegangan ekuiti kepada 30 peratus menjelang 2020," kata Pengerusi Gabem, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik baru-baru ini.
Konvensyen ini bukan hanya menghimpunkan masyarakat ekonomi bumiputera malah menjadi salah satu platform utama percambahan minda secara berterusan ke arah memperkasa ekonomi bangsa.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Gabem, Datuk Ramlan Othman antara objektif konvensyen ialah menghasilkan resolusi dan pelan tindakan strategik dan secara holistik penyertaan bumiputera dalam MBE bagi memastikan kumpulan tersebut menikmati bersama hasil kekayaan negara secara adil dan terangkum.
Ramlan berkata ia juga bertujuan untuk membangkitkan motivasi dan kesedaran di kalangan bumiputera dalam perjuangan ekonomi. Pencapaian ekonomi bumiputera masih berada di paras yang menyedihkan seolah-olah laungan jihad ekonomi tidak sampai kepada mereka.
"Jika perkataan jihad ini dihayati sepenuhnya, konvensyen ini mampu memberi satu impak dalam usaha kita memajukan orang Melayu dan bumiputera," kata Ramlan.
Kita harus akui tentang hak-hak istimewa dan dasar kerajaan yang membantu bumiputera, tetapi malangnya selepas 54 tahun dan sejak Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan pada 1970, prestasi bumiputera tidak banyak berubah.
Menurut Ramlan, pencapaian ekonomi bumiputera masih lemah sedangkan jumlah penduduk bumiputera ialah 65 peratus tetapi penguasaan ekonomi penguasaan ekonominya hanya 22 peratus pada 2010.
Berbanding dengan kaum Cina, walaupun mereka cuma 25 peratus penduduk Malaysia tetapi penguasaan ekonominya menjangkau 46 peratus.
Penghalang utama dalam usaha meningkatkan ekonomi bumiputera walaupun kerajaan bersungguh-sungguh menyediakan pelbagai kemudahan untuk membantu mereka ialah amalan nilai-nilai negatif - materialistik, individualistik, pilih kasih, hasad dengki dan iri hati serta tidak yakin dengan kaum sendiri.
Jadi permuafakatan di kalangan indvidu dan badan ekonomi bumiputera perlu diperkukuhkan dan bukannya masing-masing seumpama enau dalam belukar yang hanya berusaha melepaskan pucuk masing-masing.
Kita menjangkakan dengan wujud dasar dalam MBE, ia boleh menjadi pemangkin ke arah meningkatkan taraf hidup bumiputera.
Namun ia juga bergantung pada peranan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bertanggungjawab memperkukuhkan ekonomi bumiputera.
Di sebalik kejayaan GLC perkukuhkan ekonomi negara, tetapi beberapa pihak melahirkan rasa terkilan dengan peranan GLC yang seolah-olah tidak berminat memperjuangkan agenda ekonomi bumiputera.
Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) juga dilihat tidak mempunyai keistimewaan seperti yang dinikmati oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).
Teraju ditubuhkan sebagai sekretariat kepada Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) yang boleh dianggap sebagai setara dengan jawatankuasa Kabinet mengenai agenda ekonomi bumiputera tepai peranannya belum 'dirasai'.
Agenda Teraju harus selari dengan matlamat dan sasaran Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) di bawah MEB serta ETP selagi tidak merugikan bumiputera.
Konvensyen hari ini, tidak lain tidak bukan bertujuan mengajak bangsa Melayu dan bumiputera yang sekali gus beragama Islam 'berperang' dengan segala kelemahan untuk memastikan mereka tidak ditinggalkan dalam MBE.
Konvensyen ini bertepatan dengan salah satu daripada lima matlamat Gabem iaitu meningkatkan jihad ekonomi Melayu dan bumiputera dengan memberi penekanan kepada anjakan paradigma, penghijrahan minda dan perubahan sikap di kalangan usahawan Melayu.
Beberapa isu dan persoalan mengenai agenda ekonomi bumiputera akan terjawab dalam konvensyen ini.
Pada hari pertama (hari ini) antara kertas kerja yang akan dibentangkan adalah Perpaduan Melayu Dalam Konteks 1Malaysia oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar dan Pencapaian Ekonomi Bumiputera: Satu Analisis oleh Timbalan Ketua Pengarah 1, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Datuk Mat Noor Nawi.
Pada hari kedua, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad Tan Sri Aman Mokhtar akan membentangkan kertas kerja Peranan dan Perestasi GLC Dalam Memperkukuhkan Ekonomi Bumiputera.
Kekeliruan terhadap peranan Teraju mungkin terjawab apabila Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Husni Salleh tampil membentangkan kertas kerjanya bertajuk Sejauh Manakah Peranan Teraju Memperkasakan Ekonomi Bumiputera dalam MBE?
Gabem bukanlah badan politik walaupun ia dicetuskan oleh UMNO. Sesiapa pun boleh menyertai konvensyen ini yang hala tujunya untuk melihat kepentingan ekonomi bumiputera terbela.
/hwa: utusan.com.my | 19/8/11
Tiada ulasan:
Catat Ulasan