Allahyarham meninggal dunia selepas terkena peluru sesat yang dipercayai disasarkan ke arah pihak tentera Kesatuan Afrika (AU). Tiada siapa menduga, misi tersebut membawa korban.
Seorang lagi, jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan, cedera di tangan dan dilaporkan stabil.
Kedua-dua petugas media itu adalah di antara 54 anggota yang menyertai misi kemanusiaan anjuran Kelab Putera 1Malaysia. Wartawan Utusan Malaysia, Metra Syahril Mohamed turut menyertai rombongan tersebut, yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Abdul Azeez Rahim.
Mereka telah berlepas sehari sebelum umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Beberapa hari sebelum itu, Awang dan beberapa rakan terserempak dengan Azeez pada majlis berbuka puasa. Beliau bersungguh-sungguh menceritakan kesengsaraan rakyat Somalia dan begitu bersemangat mahu menghantar beratus-ratus tan makanan dan ubatan-ubatan sambil berhari raya bersama mereka yang kebuluran. Dalam perbualan itu, Azeez berkali-kali memohon kami mendoakan keselamatan misi tersebut.
Cukup terserlah niat murni beliau dan anggota sukarelawan lain untuk menyemai bakti di bumi Somalia. Mengapa beliau memilih hari raya? “Kami mahu memberi nilai Aidilfitri kepada rakyat Somalia betapa rakyat Malaysia prihatin dan mahu mengurangkan penderitaan mereka,’’ katanya. Lagipun, menurut beliau, keadaan di kem-kem pelarian makin genting dan dijangka lebih ramai mati kerana kebuluran dan penyakit. Azeez dan rombongannya meninggalkan keluarga masing-masing di tanah air menjelang hari yang mulia itu. Kemeriahan yang selalu dinikmati bersama keluarga, diharungi pula dalam suasana ketegangan akibat pergolakan di Somalia. Rombongan tersebut telah dapat menyampaikan bantuan berupa makanan, ubat-batan, khidmat perubatan dan sokongan moral kepada golongan sasar seperti yang dirancang, namun menerima dugaan daripada Allah S.W.T. Darah dan air mata menjadi saksi pengorbanan mereka.
Awang menyertai rakyat Malaysia menyampaikan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga Noramfaizul. Begitu juga kepada Azeez dan rombongannya, yang ditimpa kesedihan dan trauma. Semoga Allah mencucuri rahmat dan melimpahkan ganjaran ke atas jasa Noramfaizul.
Pemergian Allahyarham dalam misi kemanusiaan itu adalah suatu kehilangan yang besar maknanya apatah lagi ketika negara masih dalam bahang sambutan Hari Kemerdekaan ke-54. Noramfaizul akan menjadi simbol rakyat berjiwa merdeka dari sebuah negara yang prihatin terhadap kesengsaraan dunia luar. Allahyarham akan tersemat sebagai hero generasi merdeka Malaysia. Alfatihah.
Bangkai gajah
Di sebalik tercetus beberapa isu baru, Awang tertanya-tanya mengapa sampai hari ini, belum lagi ada pendirian Pas berhubung isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam (JAIS) terhadap sebuah gereja.
Hairan, sebuah parti yang boleh mengeluarkan pelbagai fatwa dan menjatuhkan ‘hukuman’ ke atas golongan dan individu Islam yang lain, terus berdiam seperti tikus ketakutan.
Walaupun ada desakan daripada Ketua Dewan Pemuda, Nasruddin Hassan agar Pas menyatakan pendirian sebenar, namun parti itu tunduk layu.
Jika berdasarkan reaksi para pemimpin kanannya, parti itu tidak sanggup mengambil pendirian membela JAIS dalam menjaga kesucian Islam daripada ancaman memurtadkan orang Islam.
Gara-gara untuk menjaga undi bukan Melayu dan mengikut telunjuk DAP, Pas lebih rela mengorbankan kepentingan Islam. Tidak pernah dalam sejarah Pas, parti itu begitu dayus malah terkeluar daripada landasan perjuangan sebenar. Yang jelas, satu demi satu pengkhianatan yang dilakukan oleh Pas terhadap Islam.
Ketika menghadiri beberapa majlis rumah terbuka, isu tersebut antara yang menjadi perhatian termasuk dari kalangan penyokong Pas.
Rupa-rupanya dalam diam, ia belum reda walaupun cuba dialih perhatian oleh pemimpin mereka. Bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru.
Ayah Pin, Mat Sabu...
Sejarah bukan alat untuk manipulasi politik. Di negara Barat yang kaya dengan tamadun, golongan yang menyalahgunakan sejarah untuk kepentingan yang sempit, dianggap bertaraf kelas rendah. Golongan itu tidak mendapat tempat dalam arus perdana.
Di China, mereka yang cuba menulis sejarah sesuka hati, dilabel sebagai bangsat. Malah peradaban tanah besar itu pernah menyaksikan ramai yang dihukum bunuh kerana menafikan hakikat sejarah.
Sejarah yang telah didokumen dan diterima oleh beberapa generasi tidak wajar dirungkai. Apatah lagi melibatkan para pahlawan dan pejuang yang berkorban nyawa demi tanah air.
Sebarang tafsiran baru memerlukan kajian lengkap dan menyeluruh melibatkan penilaian pakar-pakar sejarah. Ia tidak boleh sekadar dinyatakan berdasarkan cakap-cakap mengikut selera politik serta sentimen tertentu semata-mata.
Jika gejala itu dibenarkan, sejarah termasuk fakta lampau boleh diubah begitu sahaja tanpa rasa bertanggungjawab terhadap negara. Awang tertarik dengan cabaran tokoh sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim agar Timbalan Presiden Pas , Mohamad Sabu tampil menemui beliau untuk ‘belajar’ sejarah tanah air. Rasanya, beliau seorang yang kurang membaca dan cetek pengetahuan tentang sejarah negara sendiri. Walaupun mungkin kurang cerdik, politikus mesti budiman. Awang setuju dengan pandangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Pas makin banyak bertindak untuk mengubah sejarah dengan memburuk-burukkan pemimpin negara terdahulu yang banyak berjasa. Jika dibuat analisis di Barat, perseteruan politik tidak menjadikan sejarah sebagai mangsa. Biarlah berbeza aliran politik namun sejarah tetap dipertahan.
Mohamad Sabu sendiri tentu tidak mahu suatu hari nanti, dia diberikan gambaran salah oleh sejarah. Bayangkan nanti, cucu-cicitnya dikejutkan dengan tafsiran baru oleh politikus ketika era itu yang melihat Mohamad Sabu lebih sebagai penyangak, penipu dan pengkhalwat - bukannya pemimpin Pas yang menyumbang kepada parti dan masyarakat.
Ketika itu, mana tahu, pengamal ajaran sesat, Ayah Pin akan dianggap hero sementara Mat Sabu cuma dilabel pak turut Lim Guan Eng. Hujah yang boleh diberi kewajaran bahawa kemudaratan yang diakibatkan oleh Mat Sabu (dan beberapa pemimpin Pas lain) terhadap kepentingan Islam adalah lebih besar berbanding Ayah Pin. Setidak-tidaknya Ayah Pin tidak membawa perpecahan kepada umat Islam. Maknanya nilai diri Ayah Pin lebih tinggi berbanding Timbalan Presiden Pas. Mana tahu juga, suatu hari nanti, bekas perogol, peliwat, pembunuh dan perompak, yang kemudian menyokong Pas, diangkat menjadi hero. Si mangsa pula dihina. Apakah ini nilai masyarakat berperadaban yang diperjuangkan oleh Islam? Walaupun Mohamad Sabu tidaklah banyak jasa dan cuma hebat kontroversinya, namun beliau juga berhak diadili sebaik mungkin oleh sejarah suatu hari nanti.
Prinsip Zaki
Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi akan bersara mulai 12 September. Pada tarikh itu, beliau mencapai usia persaraan 66 tahun.
Minggu lalu, Zaki menarik perhatian dengan kenyataan terbuka bahawa beliau tidak mahu perkhidmatannya disambung selama enam bulan lagi.
Dua sebab mengapa beliau membuat keputusan itu. Pertama, telah berjanji kepada isterinya tidak akan berkhidmat lebih lama daripada sepatutnya. Kedua, yang lebih penting, beliau meletakkan keyakinan kepada penggantinya untuk melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik.
Awang angkat topi kepada Zaki. Ketika sebahagian penjawat kanan perkhidmatan awam ghairah mahu khidmat mereka disambung, beliau tidak bersikap sedemikian.
Menurut laporan media, sejak menjadi Ketua Hakim Negara pada Oktober 2008, beliau telah melaksanakan banyak pembaharuan. Ini termasuk penggunaan teknologi moden dan kaedah alternatif menyelesaikan pertikaian antaranya melalui proses pengantaraan.
Perubahan-perubahan yang diperkenalkan terbukti berjaya sehingga bilangan kes tertunggak makin berkurangan. Awang turut menerima banyak maklum balas positif berkaitan perkhidmatan Zaki.
Walaupun dilihat banyak pihak mempunyai merit untuk terus menerajui badan kehakiman, Awang boleh baca, beliau ada prinsip sendiri. Mudah sahaja. Berilah peluang kepada orang lain. Jawatan, pangkat dan kedudukan bukan segala-galanya dalam hidup.
/hwa: utusan.com.my | 4/9/11
Tiada ulasan:
Catat Ulasan