Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pemimpin Islam pada masa ini lemah kerana negara Barat atau kuasa-kuasa besar menguasai media antarabangsa sehingga menyukarkan usaha memberi pemahaman mengenai Islam.
"Dengan keadaan itu, pandangan daripada sudut orang Islam tak dapat didengar atau dibaca oleh pihak lain.
"Al-Jazeera walaupun ia dimiliki orang Arab, tetapi pemberitanya terdiri daripada orang lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pecah tanah projek pembinaan Dewan Centennial, Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) yang disempurnakan oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di kolej berkenaan di sini hari ini.
Ditanya apakah Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Liga Arab sudah hilang taring dalam memperjuangkan kepentingan umat Islam, Dr. Mahathir berkata, kedua-dua organisasi itu perlu lebih berani bersuara dan bertindak.
"OIC dan Liga Arab tak pernah ada taring, macam mana nak hilang (taring)," ujar beliau.
Mengenai tindakan AS melabel umat Islam sebagai pengganas sejak tragedi serangan ke atas WTC sedekad lalu, bekas Perdana Menteri itu berkata, ia tidak sepatutnya dilakukan oleh negara yang menggangap diri mereka sebagai demokratik.
Kata beliau, negara berkenaan yang melakukan diskriminasi apabila menuduh pengganas Islam terlibat dalam serangan tersebut.
Dr. Mahathir turut mengulangi pendirian bahawa beliau tidak yakin serangan berkenaan dilakukan oleh pengganas Islam seperti yang didakwa.
"Wujud sedikit keraguan, ramai orang Amerika Syarikat sendiri melakukan siasatan yang mereka fikir ia bukan dilakukan oleh pengganas Islam. Ia dilakukan sebagai alasan terakhir untuk menyerang Iraq," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 12/9/11
Tiada ulasan:
Catat Ulasan