11 September 2011

Kakak mati ditembak komunis


Sekiranya dapat saya kembalikan masa, nescaya saya akan bersama arwah ayah untuk berjuang menentang komunis dan menuntut bela di atas kematian kakak saya yang dibunuh kejam oleh komunis
Omar Ali
Anak kepada seorang Konstabel Khas


ALOR GAJAH 10 Sept. - "Sekiranya dapat saya kembalikan masa, nescaya saya akan bersama arwah ayah untuk berjuang menentang komunis dan menuntut bela di atas kematian kakak saya yang dibunuh kejam oleh komunis."

Demikian luahan Omar Ali, 62, yang merupakan anak kepada seorang Konstabel Khas (SC) yang berjuang menentang kemaraan komunis di Simpang Renggam, Johor pada zaman darurat.

Menurutnya, tahun 1948 akan terus diingati kerana pada tahun berkenaan, kakaknya, Mahani yang umurnya baru menjangkau 12 tahun telah ditembak mati oleh komunis yang menyerang berek dihuni beberapa keluarga dan anggota keselamatan di Estet Sembrong, Simpang Renggam.

"Biarpun tidak dapat melihat dan mengenali kakak kerana semasa kejadian saya belum dilahirkan, namun perasaan marah dan dendam terhadap komunis masih kekal membara," katanya.

Beliau berkata, serangan komunis dilancarkan pada waktu subuh semasa ibu dan enam adik-beradiknya sedang tidur manakala bapanya SC Ali Buntar sedang menjalankan rondaan.

Katanya, dalam serangan itu pihak komunis telah melepaskan tembakan secara rambang dari bahagian bawah berek berkenaan menyebabkan beberapa orang termasuk kakaknya terbunuh.

"Semasa serangan berlaku, anggota keselamatan mengarahkan semua penghuni berek meniarap namun taktik kotor komunis yang melakukan serangan dari bawah berek menyebabkan ramai terbunuh termasuk kakak saya yang dadanya ditembusi peluru komunis," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di sini, kelmarin.

Omar berkata, bukan sahaja kakak, malah abangnya, Daud yang berada dalam berek berkenaan juga cedera terkena tembakan di buku lali dan menderita sehingga menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 60 tahun.

"Dalam kejadian itu, ayah saya dan rakan-rakannya berjuang bermati-matian bagi mempertahankan keluarga masing-masing, maruah negara dan agama sehingga butiran peluru terakhir dan parang panjang digunakan sebagai pengganti menentang komunis," katanya.

Sementara itu, Omar yang pernah bekerja di Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan menghabiskan kira-kira lapan tahun membuat kajian mengenai ideologi komunisme dan meneliti laporan kejadian serangan komunis mendakwa tidak ada satu fakta yang boleh menobatkan komunis sebagai pejuang.

Katanya, tindakan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang menjunjung perjuangan komunis dan mengangkat mereka sebagai wira boleh disifatkan sebagai buta sejarah.

Beliau berkata, Mat Sabu perlu mempelajari sejarah dan memahami ideologi komunisme yang dibawa Parti Komunis Malaya (PKM) sebelum melabelkan mereka sebagai pejuang atau wira.

/hwa: utusan.com.my | 11/9/11

Tiada ulasan: