Di daerah-daerah yang secara tradisional penduduknya beragama Islam seperti di wilayah barat Qinghai, Gansu dan Yunnan, Kawasan Autonomi Hui Ningxia dan Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang, beribu-ribu Muslimin membanjiri masjid-masjid di seluruh China untuk menunaikan solat Aidiladha dan melakukan ibadah korban.
Meskipun Aidiladha disambut lewat sehari daripada umat Islam di Malaysia yang merayakannya pada 6 November, bagi umat Islam di China - tradisi merayakan Aidiladha adalah sebagai satu kejayaan bagi jutaan Muslimin yang menunaikan ibadah haji di Mekah. Pada masa sama, ia mengingatkan tanggungjawab setiap Muslimin agar saling bantu-membantu kepada mereka yang memerlukan dan menyucikan diri dengan memberikan sedekah.
Lebih penting adalah penghayatan daripada peristiwa Nabi Ibrahim a.s yang diperintahkan oleh Allah SWT supaya mengorbankan putera baginda, Nabi Ismail a.s.
Menjadi salah seorang penduduk Beijing, saya sebenarnya tidak terkecuali menempuh 'pahit-manis' pengalaman menyambut Aidiladha sebatang kara di China - negara yang diperintah Parti Komunis China.
Pahit kerana ini merupakan pengalaman pertama kali saya menyambut Aidiladha tanpa keluarga di sisi selain 'kejutan budaya' meraikan Aidiladha ekoran perbezaan budaya antara Malaysia dan China - meskipun kita meraikan hari raya yang sama.
Pun begitu, ada juga manisnya kerana saya dapat bersama-sama ribuan umat Islam dari hampir sebahagian besar pelosok dunia yang turut mengambil kesempatan menunaikan solat Aidiladha di Masjid Nujie yang terletak di Daerah Xicheng, yang merupakan masjid tertua di Beijing.
Sejarah menarik tentang Masjid Nujie, ia dibangunkan pada tahun 996 Masehi sewaktu China berada di bawah pemerintahan Dinasti Song dan reka bentuk masjid ini amat unik kerana seni binanya memperlihatkan ciri-ciri budaya dan kesenian Cina.
Justeru, sekali pandang Masjid Nujie kelihatan seperti bangunan-bangunan lama Cina yang lain namun kaligrafi dan tulisan Arab yang memenuhi seluruh ruangan masjid itu menyerlahkan identitinya sebagai sebuah rumah ibadah muslimin.
Masjid Nujie menyimpan banyak lipatan sejarah perkembangan awal Islam ke China bahkan di masjid ini jugalah masih tersimpan naskhah tulisan tangan dua ulama tersohor pada zaman pemerintahan Kublai Khan tentang sejarah awal Islam di China.
Catatan sejarah menyebut, sewaktu Kublai Khan yang berbangsa Mongol memerintah China, kerajaannya yang dikenali sebagai Dinasti Yuan mengamalkan dasar pemerintahan memihak kepada umat Islam.
'Kehebatan' sejarah yang disimpan Masjid Nujie inilah yang memungkinkan masjid ini menjadi destinasi tarikan pelancong . Ini turut diakui oleh Muhammad Saddique, 24, dari Pakistan yang merupakan penuntut di Peking University, Beijing.
''Saya lebih suka solat Aidiladha malah solat Jumaat di Masjid Nujie berbanding masjid di Kedutaan Pakistan yang terletak di Daerah Chaoyang kerana keagungan sejarah dan seni bina masjid ini," katanya yang telah empat tahun menetap di Beijing.
Benar, Masjid Nujie bukan sekadar menjadi tempat 'berhimpun' Muhammad dan rakan senegaranya atau bagi penuntut Malaysia dari Beijing Language and Culture University dan Beijing Foreign Studies University atau pelancong dari Indonesia, Singapura dan pelancong-pelancong dari Barat.
Lebih menarik dari semua itu, Masjid Nujie sebenarnya adalah tempat 'bersatunya' penduduk Islam di China yang tidak terbatas kepada etnik Hui yang mewakili 20 peratus penduduk Islam di China semata-mata tetapi juga etnik Uyghur, Kazak, Tartar, Salar, Dongxiang, Tajik, Uzbek dan Baoan.
Malah, bumbung Masjid Nujie ini juga tidak terkecuali 'menyatukan' orang Islam Han yang membentuk majoriti penduduk di negara China dengan etnik-etnik Islam minoriti. Kesempatan meraikan Aidiladha dengan mereka, satu hal yang saya sedari - wajah suku etnik Islam ini ternyata berbeza dengan wajah-wajah orang Cina. Mungkin kerana darah campuran yang mengalir dalam tubuh mereka.
Keunikan ini menjadikan umat Islam di China sebagai suatu kelompok etnik yang istimewa dengan identiti, budaya, dan cara hidup yang unik - satu pengalaman baru yang saya timba pada sambutan Aidiladha di negara ini.
/hwa: utusan.com.my | 9/11/11
Tiada ulasan:
Catat Ulasan