13 November 2011

Jangan boikot parti


AHLI Parlimen Sepang, Datuk Mohd. Zin Mohamed (dua dari kanan) bersama Khairy Jamaluddin pada Program Jom Kayuh BN Sepang di Dengkil, semalam.

DENGKIL 12 Nov. - Pemimpin Pemuda Barisan Nasional (BN) yang tidak dipilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dinasihatkan agar tidak berpaling tadah dan memboikot calon yang menjadi pilihan rakyat.

Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu perlu dipandang serius kerana jika berlaku ia akan memberi masalah besar kepada parti untuk berdepan dengan PRU-13.

Beliau berkata, pendekatan baru yang diumumkan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak amat tepat pada masanya kerana calon pilihan rakyat amat diperlukan untuk kejayaan parti.

"Jika tidak tersenarai sebagai calon kelak, jangan ada yang kecil hati dan bawa penyokong sendiri untuk boikot parti. Kita perlu bersatu padu demi memastikan kemenangan berpihak kepada kita.

"Tidak kira siapa dan dari parti komponen mana yang bertanding, apa yang penting adalah kita sokong seratus peratus," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Khairy melepaskan 1,000 peserta Program Jom Kayuh BN Sepang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Dengkil di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Khairy memberitahu, Pemuda BN telah mengadakan pelbagai persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Terbaru katanya, Pemuda BN kini dalam proses terakhir untuk mengenal pasti pengundi-pengundi muda di setiap kawasan dan proses tersebut dijangka mengambil masa dua bulan.

"Persediaan rapi perlu dilakukan oleh semua parti komponen bagi memperoleh sokongan rakyat terutama generasi muda kerana mereka akan menilai kerajaan berdasarkan perhatian dan bantuan yang diberikan," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 13/11/11

Tiada ulasan: