10 November 2011

Musim haji tahun ini berjaya – TPM Arab Saudi


Jemaah haji berdoa di Jabar Rahmah, Padang Arafah, sebelum menuju ke Mina. – REUTERS

MINA 9 Nov. – Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Naif menggambarkan perjalanan haji pada tahun ini sebagai kejayaan paling gemilang berbanding musim-musim haji sebelum ini.

Naif yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri berkata, situasi antarabangsa telah berubah dan timbul kebimbangan sesetengah pihak akan mengeksploitasi ibadah haji untuk mencetuskan kekacauan, tetapi syukur kepada Allah, perkara itu tidak berlaku.

Beliau bercakap pada satu majlis malam tadi untuk meraikan para pegawai pasukan keselamatan haji di ibu pejabat Kementerian Dalam Negeri di Mekah.

“Hakikatnya kita perlu mengucapkan terima kasih kepada semua jemaah haji kerana mereka telah membuktikan mereka adalah orang Islam yang menunaikan kewajipan agama mereka dan mereka semua telah memberi kerjasama,” ujar Putera Mahkota itu, menurut laporan Arab News.

Kata Naif, pihak berkuasa hanya mahu memastikan seluruh umat Islam dapat menunaikan ibadah haji dengan lancar dan tanpa masalah.

“Kita tidak melihat negara asal jemaah atau mana-mana isu politik.

“Kita melihat mereka sebagai jemaah haji dan Islam, dan kerana itu kita menyediakan apa jua kemudahan yang membolehkan mereka menunaikan haji dengan selesa, selamat, dalam keadaan sihat dan aman,” kata Naif. – Agensi

/hwa: utusan.com.my | 10/11/11

Tiada ulasan: