2 November 2011

USM jayakan misi ke Bangladesh


Sekumpulan doktor dan jururawat dari USM Kampus Kesihatan yang menyertai misi kemanusiaan pembedahan sumbing bibir dan lelangit di Hospital Komuniti Dacca , Bangladesh baru-baru ini.

KOTA BHARU 1 Nov. – Misi Kemanusiaan Pembedahan Kanak-kanak Sumbing Bibir dan Lelangit Universiti Sains Malaysia (USM) dan Mercy Malaysia ke Bangladesh tercapai apabila 68 kanak-kanak dan remaja miskin di negara itu berjaya menjalani pembedahan di Hospital Komuniti Dacca baru-baru ini.

Kejayaan itu memberi makna cukup besar kepada anggota misi yang dimulakan sejak 2005 dan telah berjaya memulihkan kecacatan sumbing bibir dan lelangit hampir 300 kanak-kanak dan remaja miskin di negara berkenaan.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pengajian Siswazah Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM Kampus Kesihatan, Prof. Ahmad Sukari Abdul Halim memberitahu, kejayaan tersebut cukup menggembirakan ibu bapa kanak-kanak berkenaan setelah melihat wajah anak mereka kembali normal.

“Melihat kepada kehidupan mereka, tidak mungkin ibu bapa kanak-kanak terbabit mampu mendapatkan rawatan untuk ‘mengembalikan’ wajah anak mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya sekembali daripada menyertai misi berkenaan.

Beliau yang mengetuai sekumpulan pakar perubatan USM Kampus Kesihatan dalam misi itu berkata, kejayaan pembedahan itu diharap akan mengubah kehidupan anak-anak terbabit pada masa hadapan.

“Mereka juga akan mendapat pekerjaan di samping rasa selesa bergaul dengan orang ramai setelah tidak lagi cacat seperti sebelum ini,” jelasnya.

Menurut beliau, kejayaan tersebut hasil kerjasama Hospital Komuniti Dacca yang merupakan sebuah hospital amal bagi membantu keluarga miskin terpilih mendapatkan pembedahan tersebut secara percuma.

“Jumlah awal melibatkan lebih 80 orang, tetapi setelah disaring, mereka yang berisiko seperti pesakit jantung dan sebagainya terpaksa ditolak. Hanya 68 orang berusia antara setahun hingga 16 tahun boleh dibedah dan kerja-kerja itu terpaksa dilakukan dalam tempoh lima hari.

“Dengan hanya tiga doktor pakar, dua pakar bius dan tiga jururawat, kami membedah purata 18 orang sehari, enam orang bagi setiap doktor,” jelasnya.

Ahmad Sukari berkata, pembedahan itu cukup mencabar kerana lazimnya, di Malaysia ia hanya dilakukan sehingga pukul 4 atau 5 petang, tetapi dalam misi tersebut pembedahan berlarutan sehingga pukul 8 malam.

“Cabaran lain yang terpaksa dihadapi ialah apabila berlaku bekalan elektrik terputus, walaupun cuma selama dua tiga minit, tetapi pembedahan sedang dijalankan dan kami terpaksa menggunakan lampu suluh. Ketika itu kami benar-benar menggunakan segala kepakaran yang dimiliki supaya pesakit mendapat hasil terbaik daripada pembedahan tersebut,” ujar beliau lagi.

Menurutnya, USM Kampus Kesihatan memperuntukkan kira-kira RM31,000 setahun untuk menjayakan misi tersebut, manakala perbelanjaan selebihnya hasil sumbangan orang ramai yang disalurkan kepada Mercy Malaysia.

/hwa: utusan.com.my | 2/11/11

Tiada ulasan: