KUALA LUMPUR 29 Jan. - Dakwaan Datuk Seri Anwar
Ibrahim, kononnya kenyataan beliau yang menyokong segala usaha untuk
menjaga keselamatan negara Israel, sengaja diputar-belit oleh media
tempatan adalah satu lagi bukti sikap lidah bercabang Ketua Pembangkang
itu.
Sambil mempersoalkan sejak bila hak rakyat Palestin dibela oleh
Israel sehingga ketua pembangkang itu sanggup menyokong keselamatan
negara Yahudi itu, Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor berkata,
tindakan Anwar bertujuan menyuci dosanya terhadap zionis.
"Ini bukti satu lagi sikap lidah bercabang. Sejak bila hak rakyat
Palestin dibela Israel? Rakyat Palestin setiap hari dibunuh oleh Israel,
apakah Anwar tidak tahu? Anwar sedar semua ini tetapi demi kepentingan
politik beliau sanggup mengutamakan Yahudi demi menjaga hati zionis.
"Ini kerana Anwar mahu barat melihat beliau kawan kepada zionis dan
golongan neo konservatif (kumpulan pro-Yahudi) selepas terlajak
menghentam Apco Worldwide tempoh hari," katanya dalam satu kenyataan
kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Kenyataan kontroversi Anwar itu terbongkar apabila akhbar The Wall Street Journal
pada Khamis lalu mendedahkan sokongan Ketua Pembangkang tersebut kepada
Israel apabila dipetik sebagai berkata: "Saya menyokong segala usaha
untuk melindungi keselamatan negara Israel."
Bagaimanapun selepas dikecam pelbagai pihak, Anwar menuduh
kenyataannya berhubung isu Israel dan Palestin sengaja diputar-belit
oleh media tempatan bagi menggambarkan beliau mengkhianati aspirasi
rakyat Palestin.
Sebaliknya, menurut Anwar, kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti
dibela dan jika syarat itu dipenuhi, maka, wajar hak rakyat Israel juga
dihormati, selaras dengan pendirian Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam
membela hak sesiapa sahaja yang dirampas dan dizalimi.
Mengulas isu sama, bekas Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Mohd. Zahid
Md. Arip berkata, alasan yang diberi dalam menghalalkan sokongan ke atas
Israel membuktikan Anwar buta sejarah kerana zionis tidak pernah
mengiktiraf hak rakyat Palestin mahu pun orang Islam.
"Golongan Yahudi ini memang telah ditegaskan dalam al-Quran bahawa
mereka akan sentiasa memerangi dan menindas orang Islam khususnya bangsa
Palestin. Jadi di mana logik alasan yang diberikan Anwar untuk beliau
menghalalkan sokongannya kepada Israel.
"Semua ini sebenarnya cerminan sikap beliau yang sejak dahulu
pro-Yahudi. Sebab itu Anwar tergamak menyokong segala usaha demi
keselamatan Israel ketika rakyat Palestin setiap hari dibunuh dengan
kejam dan hak mereka sebagai manusia dinafikan," katanya.
Sehubungan itu, Mohd. Zahid mencabar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar menyatakan sokongan ke
atas Anwar dalam isu negara Israel dengan segera, kerana beliau adalah
calon Perdana Menteri bagi pihak pembangkang.
Menurut beliau, Pas perlu menyatakan pendirian dengan jelas berhubung
sokongan Anwar ke atas keselamatan Israel itu kerana pendedahan
mengenainya, dibuat oleh akhbar antarabangsa yang sangat dipercayai
pihak pembangkang dan bukannya media tempatan.
/hwa: utusan.com.my | 30/1/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan