Institut Wasatiyah ditubuh
KUALA LUMPUR 17 Jan. - Penubuhan Institut
Wasatiyah yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini
merupakan salah satu inisiatif terbaru kerajaan mempromosikan gerakan
kesederhanaan dan keseimbangan dalam semua aspek kehidupan.
Selain institut itu yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri,
Najib turut mengumumkan penubuhan Kursi Wasatiyah di Universiti Malaya
(UM) serta Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global.
"Penubuhan Institut Wasatiyah itu nanti akan berperanan memberi
tumpuan terhadap aspek kesederhanaan dan keseimbangan menerusi rasa
hormat terhadap demokrasi, peraturan dan undang-undang, pendidikan,
maruah dan harga diri seseorang serta keadilan sosial," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Pergerakan Kesederhanaan Global di sini hari ini.
Persidangan yang julung kali diadakan itu berlangsung selama tiga
hari bermula hari ini dan dihadiri oleh kira-kira 300 delegasi dari
dalam dan luar negara termasuk pemimpin-pemimpin utama dunia.
Dianjurkan oleh Persatuan Alumni Universiti Islam Antarabangsa
(UIAM), persidangan itu akan mengupas mengenai aspek kesederhanaan
menerusi 13 topik berkaitan termasuk kewangan global, keamanan sosial
dan polisi luar.
Pada majlis sama, Najib turut melancarkan buku berjudul Global
Movement of Moderates yang merupakan hasilan nukilan beliau sendiri dan
akan diterbitkan oleh Razak School of Government.
Beliau menambah, penubuhan Kursi Wasatiyah di UM bertujuan melahirkan
lebih ramai sarjana dan cendekiawan yang menerajui semangat
kesederhanaan dan keseimbangan seperti tokoh Islam terkemuka al-Imam
Ibnul Qayyim dan pemegang kursi itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Penubuhan Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global pula jelas beliau,
bagi mengangkat peranan GMM sebagai pusat penyatuan kepada usaha
menentang keganasan dan ekstremis sama ada yang digerakkan oleh agensi
kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Selain menjadi inisiatif eksklusif yang digerakkan oleh Malaysia,
GMM juga akan menyokong inisiatif lain yang digerakkan oleh badan
antarabangsa ke arah mempromosikan gerakan kesederhanaan dan
keseimbangan termasuk dialog dan kerjasama sama seperti United Nations
Alliance of Civilisations (UNOAC)," katanya.
Dalam ucapannya juga, Perdana Menteri memberi penekanan terhadap
gerakan kesederhanaan atau wasatiyah bukanlah bermaksud perlu menjadi
lemah atau mengalah sebaliknya semakin berani untuk melangkah ke depan
dan mencipta sesuatu yang lebih baik.
Lebih daripada itu, kata beliau, kesederhanaan dan keseimbangan juga
merupakan pendekatan terbaik dalam menolak fahaman ekstremis kerana
keganasan tidak boleh didepani dengan keganasan kerana ia hanya akan
mengakibatkan lebih banyak kemusnahan.
"Fahaman ekstremis tidak pernah dialu-alukan dalam mana-mana agama
dan sejarah juga tidak pernah dicatatkan oleh mereka yang menyokong
amalan ekstremis sebaliknya oleh mereka yang kekal pada landasan
perjuangan kesederhanaan dan kesimbangan tanpa mengorbankan kepercayaan
mereka," katanya.
Dalam hubung kaitnya dengan ekonomi pula, Najib berkata, amalan
kesederhanaan dan keseimbangan bermaksud pasaran tidak boleh dibenarkan
bersifat bebas dan neutral serta membawa pulangan yang tidak adil dan
saksama kepada semua pihak.
"Malah dalam ajaran Islam sendiri, struktur dan prinsip kewangan
Islam telah lama meletakkan kepentingan awam lebih tinggi daripada
kepentingan peribadi," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 18/01/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan