BEBERAPA akhbar nasional minggu lalu melaporkan senarai warga
Malaysia terkaya. Laporan yang memetik artikel majalah Malaysian
Business menonjolkan Robert Kuok sebagai warga Malaysia terkaya dengan
nilai harta RM45.7 bilion. Kuok diikuti Ananda Krishnan dengan RM42.9
bilion milik beliau.
Daripada jumlah 10 orang terkaya dalam senarai itu terdapat cuma
seorang anak Melayu, iaitu Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary di tempat
kelima (RM9.5 bilion). Ini bermakna, dari segi jumlah bilangan 10
bilionair terkaya, Melayu mempunyai bahagian 10 peratus. Namun, dari
segi nilai kekayaan, nilai harta Syed Mokhtar cuma merupakan 6.1 peratus
daripada jumlah RM155.7 bilion yang dimiliki oleh 10 bilionair terkaya
di Malaysia.
Dalam senarai 40 orang warga terkaya Malaysia pula terdapat lapan
orang Melayu-Muslim, iaitu cuma 20 peratus. Namun dari segi nilai harta,
lapan orang Melayu- Muslim memiliki hanya RM19.9 bilion, atau 1.03
peratus daripada jumlah besar RM193.2 bilion nilai harta milik 40 warga
terkaya. Jelas sekali ketinggalan dan betapa jauh terpinggirnya Melayu
dalam pembahagian harta kekayaan negara berdasarkan pembahagian milik
individu.
Laporan menyenaraikan individu jutawan dan bilionair terkaya menjadi
satu ‘trend’ yang semakin menarik perhatian masyarakat Malaysia. Ia
sebenarnya mencontohi negara kapitalis Barat, terutama Amerika Syarikat
(AS), yang ghairah menjadikan jutawan dan bilionair individu sebagai
ikon masyarakat menerusi senarai “Fortune 500” dan majalah Forbes.
Di Barat, khasnya di AS yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis
berciri individualistik ekstrem, keghairahan menonjolkan individu
terkaya sememangnya menjadi tradisi. Semua warga bisnes dan korporat
akan berlumba- lumba mendapat tempat dalam senarai seperti ini. Siapa
yang tidak mahu jadi kaya-raya! Memasuki dan mendapat tempat dalam
senarai jutawan dan bilionair menjadi aspirasi hidup setiap warga bisnes
dan korporat Amerika, iaitu dalam konteks sebuah negara
sekular-materialis dengan falsafah hidup mengutamakan kebendaan.
Justeru, mana-mana golongan dalam masyarakat Barat yang kecil jumlah
jutawannya, akan dianggap lemah berbanding golongan lain, tidak berjaya,
dipandang rendah dan disifatkan “masih belum sampai - has not arrived!”
Apakah dengan rendahnya bilangan jutawan dan bilionair individu
Melayu-Muslim, umat Islam Malaysia harus turut memandang diri mereka
kerdil, lemah dan “belum sampai” ke satu taraf ekonomi yang boleh
membanggakan? Adakah kerana itu mereka ketinggalan, justeru darjat
sosial mereka juga harus di pandang jauh lebih rendah daripada kaum
lain? Ada bahayanya jika kita terlalu terpengaruh dengan persepsi Barat
terhadap hak milik harta kekayaan peribadi dan individualistik. Kerana
persepsi ini membuat ramai Melayu memberi keutamaan kepada dasar dan
strategi menambah bilangan jutawan dan bilionair individu Melayu-Muslim.
Kesannya, ada yang akan sanggup mencipta “ bilionair segera” dengan
menswasta atau “memfaraidkan” ekuiti milik GLC kepada individu.
Kerajaan juga boleh terpengaruh dengan pendekatan liberalisasi
sehingga merancang untuk melepaskan pegangan dalam GLC tanpa berfikir
panjang terhadap kesan sampingan yang memudaratkan kepentingan masa
depan bangsa dan negara.
Apakah ada pilihan alternatif bagi Melayu- Muslim menguasai syarikat
berbilion ringgit tanpa melebarkan jurang kaya-miskin, juga tanpa
mengakibatkan ketidakadilan meluas yang berlaku sekiranya hak milik GLC
diswastakan? Paradoks ini penting diatasi dengan penuh hikmah. Kerana,
berlainan dengan nilai hidup Amerika yang berciri individualistik,
masyarakat Melayu yang beragama Islam adalah berciri umat jamaah. Nilai
hidup berjemaah menuntut pendekatan dasar dan strategi bercorak ijtimaai
yang berupaya menggembleng tenaga dan keupayaan individu, tetapi bukan
untuk kepentingan peribadi semata-mata.
Islam tidak anti kekayaan, malah kuat pro-bisnes sebagai salah satu
sunnah besar Rasulullah SAW. Demikian juga, Islam tidak anti harta milik
peribadi. Malah harta kekayaan peribadi dan swasta dilindungi dengan
tegas oleh syarak. Masyarakat Islam Malaysia telah pun menyambut seruan
ini, menjadikannya falsafah dan prinsip yang diterap ke dalam pendekatan
dan strategi nasional, terutama di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Jutawan individu diketengahkan, tetapi bukan dengan mengetepikan hak dan
kepentingan masyarakat besar dan kepentingan jangka panjang generasi
muda dan generasi akan datang.
Di sinilah letaknya rasional dan pertimbangan utama negara dalam
menentukan supaya sebahagian daripada hak milik ekuiti negara dipegang
oleh institusi amanah dan GLC. Perhatikan, dengan kehadiran GLC sebagai
institusi amanah dari sejak DEB dilancar, kepentingan besar masyarakat
Malaysia untuk semua kaum dan keturunan lebih terjamin, terlindung dan
terpelihara. Hasil daripada DEB, keadilan ekonomi dan kesejahteraan
sosial dapat kita nikmati sampai ke hari ini.
Perhatikan juga betapa hak milik GLC sebagai institusi amanah
berupaya memperkasa rakyat majoriti dan membela kedudukan mereka.
Kehadiran GLC besar impaknya kepada pemerkasaan ummah, sekalipun
semuanya bukan milik mereka secara langsung di sisi undang-undang.
Sebagai bukti, daripada 20 syarikat tersenarai (PLC) di Bursa
Malaysia pada 17 Februari, 2012, 8 adalah milik GLC. Nilai pasaran modal
(market capitalization) 8 syarikat ini berjumlah RM304.7 bilion, iaitu
42.9 peratus daripada jumlah nilai untuk ke 20 syarikat PLC teratas.
Seterusnya, GLC seperti Johor Corporation memiliki 4 syarikat PLC dalam
senarai 100 syarikat terbesar. Nilai keseluruhan syarikat PLC ini
berjumlah RM13.7 bilion, iaitu memberikan kumpulan JCorp kedudukan ke 25
antara syarikat PLC di Malaysia, mengatasi syarikat Nestle Bhd. Selain
itu, peranan GLC sebenarnya diiktiraf di beberapa negara lain seperti
China, Singapura dan Brazil.
Majalah The Economist, The World in 2012 menyatakan nilai pasaran
modal Bursa China membabitkan 80 peratus milik GLC, dan di Brazil 38
peratus. China, Singapura dan Brazil berpendirian tegas tidak menciplak
sepenuhnya sistem kapitalis Barat dan sedang giat membina sistem pasaran
alternatif. Kenapa pula Malaysia harus menciplak Kapitalis Barat secara
membabi-buta?
Malangnya, nilai tinggi harta milik GLC sebagai institusi amanah
langsung tidak diambil kira dalam senarai 40 warga terkaya Malaysia,
kerana tumpuan masyarakat turut keterlaluan memberi keutamaan kepada
harta milik peribadi. Seperti dinyatakan, ekuiti milik GLC dalam
syarikat tersenarai melebihi 42 peratus, iaitu satu jumlah yang bukan
kecil. Dalam kata lain, setelah diambil kira kepentingan nilai aset
milik GLC yang mewakili semua warga negara, golongan majoriti rakyat
Malaysia yang sebahagian besarnya bukan dari kalangan bisnes dan
korporat, termasuk golongan miskin, turut mendapat tempat dan diperkasa
kedudukan ekonomi dan sosial mereka.
Justeru, kedudukan kepentingan majoriti rakyat dalam ekuiti negara
yang dimiliki menerusi institusi amanah GLC wajar dan wajib
dipertahankan. Alangkah baiknya, untuk memantapkan lagi kepentingan
rakyat jelata supaya lestari dan kekal berpanjangan, sekiranya
sebahagian daripada ekuiti amanah milik GLC ini diwakafkan di bawah
kendalian institusi Waqaf Korporat! Mewakafkan sebahagian ekuiti milik
GLC menepati potensi wakaf sebagai penjana pembangunan umat, di samping
menjanjikan hak milik kekal berpanjangan insya Allah, sekali gus
menegakkan keadilan masyarakat. Mewakafkan ekuiti sebenarnya juga
merupakan langkah “penswastaan”, iaitu mengikut kaedah Islamik.dah
berasaskan institusi. Ia jelas menepati seruan titah Raja Muda Perak,
Raja Dr Nazrin Shah di Seminar Wakaf di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Antara lain, Baginda berpendapat Waqaf Korporat “…adalah kaedah yang
berupaya menampung lubang ketirisan yang pernah berlaku. Ia adalah jarum
dan benang yang berupaya menjahit dan mencantumkan kembali DEB yang
dirobek dan dikoyakkan oleh perbuatan menyimpang di masa lalu.”
PENULIS ialah Timbalan Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM).
/hwa: utusan.com.my | 23/2/12
/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan