HARI ini bangsa Melayu menghadapi suasana politik yang jelas sekali
berpecah belah. Tiada tanda-tanda yang suasana politik berupaya
mengembalikan perpaduan Melayu dalam tempoh terdekat, mahu pun dalam
jangka masa sederhana.
Tambahan pula dengan kaedah amalan demokrasi yang semakin bercorak
politik pertarungan kalah mati atau “zero-sum game” dalam perebutan
kuasa pemerintahan.
Bangsa Melayu terpaksa menerima hakikat perpecahan politik berparti
sebagai realiti hidup bermasyarakat dan berdemokrasi. Persoalan yang
timbul dari realiti perpecahan ini adalah:
Sementara dipupuk semula perpaduan, apakah yang harus Melayu lakukan
supaya mereka terus membina kekuatan ekonomi, tidak terlepas peluang
bisnes dan melangsungkan kedudukan kuasa korporat untuk menjadi bangsa
maju?
Dalam kata lain, bangsa Melayu wajib menggunakan kebijaksanaan dan
segala hikmah untuk menentukan, di samping perbezaan dan perpecahan
politik, supaya usaha membina kekuatan ekonomi Melayu tidak tergugat.
Bangsa Melayu mesti pandai melayari gelora dan badai politik yang
berpecah belah ini untuk menentukan akhirnya perahu Melayu akan selamat
sampai ke destinasi yang dituju. Mereka wajib menyusun semula strategi
supaya ‘perahu’ tidak karam dan mereka tidak terus ketinggalan sebagai
bangsa yang ‘hanyut’ ekonomi, tanpa arah dan tujuan.
Sesungguhnya ini boleh mereka lakukan. Negara-negara lain yang
mengamalkan sistem perebutan kuasa pemerintahan berdemokrasi seperti ini
juga kerap diancam ketidakstabilan dan perpecahan politik; namun tetap
berupaya meningkatkan prestasi bisnes dan korporat hingga tinggi
pencapaian ekonomi.
Hal ini dapat disaksikan di hampir semua negara demokrasi maju yang
mengamalkan sistem seperti ini. Beberapa negara pula, seperti Israel
sekalipun – politik kerap bergolak dan keselamatan terancam, namun
ekonomi dapat terus berkembang pesat. Kedudukan keselamatan serta
pertahanan Israel, misalnya, tetap tidak dapat digugat oleh sesiapa.
Jika diperhatikan, mereka semua bijak ‘menginstitusikan’ kepentingan
bisnes dan korporat (dan dalam kes Israel, menginstitusikan keupayaan
keselamatan dan pertahanan) supaya tidak dipolitikkan dan terdedah
kepada sorong tarik dan sepak terajang politik berparti. Sekalipun
politik bergolak, institusi pertahanan, keselamatan, ekonomi dan bisnes
tetap mantap lagi perkasa. Bagaimana mereka lakukan semua ini?
Antara kaedah paling berkesan adalah menentukan kepentingan bisnes
dan korporat tidak dipaksikan kepada kepentingan parti politik tertentu
atau kepentingan peribadi pemimpin politik.
Sekalipun terdapat hubungan, bisnes dan korporat dilekangkan dari
politik, diurus secara berautonomi oleh pengurusan profesional dan
berwibawa. Dengan demikian tidak mudah berlaku tindakan cantas-mencantas
yang diperhatikan kerap menjadi punca utama kemerosotan dan kemusnahan
kepentingan bisnes dan korporat milik Melayu apabila terlalu
dipolitikkan.
Selain politik cantas-mencantas menjadi antara faktor utama
menyebabkan kemerosotan kepentingan bisnes dan ekonomi Melayu, kini
terdapat satu lagi ancaman besar yang berpotensi memusnahkan langsung
benteng ekonomi bangsa. Puncanya terbit setelah Melayu digesa supaya
menciplak ideologi politik berteraskan liberalisasi ekonomi.
Jelas sekali, dalam kita menciplak sistem politik demokrasi Barat,
kita perlu waspada kesan dan impak yang kadang kala boleh memudaratkan.
Justeru, bangsa Melayu juga perlu bijaksana dalam memilih ideologi
politik, khasnya yang membawa impak negatif terhadap kepentingan
ekonomi.
Hari ini terdapat gagasan politik liberalisasi ekonomi yang menuntut
supaya syarikat berkaitan kerajaan atau GLC diswastakan. Ungkapan yang
kerap dilaungkan adalah “government has no business to be in business –
kerajaan tiada sebab untuk terbabit dalam bisnes.”
Ideologi liberalisasi ini besar pengaruhnya di kalangan golongan yang
probisnes dan propasaran. Pada mereka penglibatan kerajaan merosakkan
pasaran dan menggugat persaingan, langsung mengancam prospek pertumbuhan
pesat ekonomi.
Dasar memperjuangkan liberalisasi ekonomi ini tidak mahukan kerajaan
terlibat, sekalipun untuk menseimbangkan sistem, menegakkan keadilan
ekonomi, merapatkan jurang kaya miskin dan membela nasib rakyat
termiskin. Justeru mereka lantang dengan menjadikan penswastaan sebagai
satu agenda utama politik. Pada mereka semua GLC wajib segera
diswastakan!
Sebenarnya tuduhan campur tangan kerajaan merosakkan pasaran dan
merendahkan keupayaan bersaing serta melemahkan ekonomi negara tidak
lagi masuk akal. Kerana hari ini banyak contoh di mana kepimpinan
ekonomi kerajaan dengan GLC di barisan depan pasaran, berupaya membina
usaha dan memperkasa ekonomi. Contoh terbaik adalah Republik Rakyat
China. Kepesatan ekonomi China berjaya menjadikannya ekonomi kedua
terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat.
Antara lain, ekonomi China dipacu GLC hingga mereka memiliki 80
peratus nilai pasaran modal (market capitalization) saham-saham di Bursa
China. Kini kaedah pendekatan China dengan peranan besar GLC dilihat
sebagai berpotensi menjadi model alternatif kepada sistem kapitalis
Barat. Sebaliknya, negara besar Barat kelihatan giat meninjau semula
ideologi kapitalisme amalan mereka selama ini setelah digugat krisis
global.
Dalam menangani krisis kewangan dan beban hutang negara yang semakin
mengancam kestabilan ekonomi masing-masing, Amerika Syarikat dan
Kesatuan Eropah banyak menggunakan kaedah campur tangan kerajaan dan
kelihatan tidak ragu mengetepikan liberalisasi untuk mencari jalan
keluar.
Tiba masanya Malaysia juga mengenepikan ketaksuban kepada ideologi
liberalisasi ekonomi yang kuat dianjurkan oleh beberapa pihak tertentu.
Sebaliknya, peranan strategik GLC membina ekonomi perlu diiktiraf dan
diperkasa.
Di Malaysia, dalam kalangan syarikat tersenarai (PLC) di Bursa
Malaysia, syarikat GLC kini memiliki lebih 40 peratus daripada nilai
pasaran modal. Syarikat PLC ini berperanan sebagai institusi amanah.
Prestasi positif syarikat GLC ini tidak menjadi persoalan dan nyata
sekali kerajaan semakin bijak menentukan supaya GLC tidak dipolitikkan
untuk terus berupaya mengurus aktiviti bisnes mengikut kaedah pasaran.
Kesimpulannya, jelas sekali syarikat GLC Malaysia menyumbang kepada
pertumbuhan nilai ekonomi negara. Mereka juga tidak merosakkan pasaran.
Justeru, atas dasar apa harus mereka diswastakan seperti dituntut oleh
puak liberalisasi?
GLC Malaysia juga telah diilhamkan penubuhannya oleh Dasar Ekonomi
Baru (DEB) yang bertujuan menyeimbangkan ekonomi dan merapatkan jurang
kaya-miskin rakyat Malaysia. Kenapa pula harus dirombak ideologi ekonomi
yang sangat penting dan strategik dalam usaha menegakkan keadilan dan
melindungi nasib golongan miskin yang dahagakan pembelaan?
Sebenarnya sebaliknya lebih wajar dilakukan. GLC berwibawa harus
digalakkan memainkan peranan amanah yang lebih besar dan luas. GLC boleh
dijadikan institusi teras (seumpama “guang xi” dalam masyarakat China
dan “kieretsu” di kalangan Jepun), untuk membina jaringan bisnes PKS dan
menggalakkan PKS bangkit ke depan bertumbuh dan membesar sehingga
menerajui ekonomi negara dan memenuhi barisan jutawan dan bilionair
negara masa depan.
Jangan swastakan GLC. Malah perhebatkan peranan mereka sebagai
institusi amanah. Kerajaan juga harus lebih tegas menjamin autonomi
mereka daripada dicerobohi kepentingan politik. Ini penting dalam
konteks menghidupkan kembali semangat DEB dan menegakkan keadilan
ekonomi negara.
(Sedutan daripada ceramah bertajuk “Jihad Bisnes dan Waqaf Korporat”
oleh Tan Sri Muhammad Ali Hashim, Timbalan Presiden, Dewan Perdagangan
Islam Malaysia (DPIM) dalam sesi Ceramah GABEM di Kuala Lumpur pada 15
Mac lalu).
/hwa: utusan.com.my | 21/3/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan