Jacob George menunjukkan salinan
aduan polis dan keratan media mengenai kelemahan pentadbiran kerajaan
DAP Pulau Pinang pada sidang akhbar di Batu Feringgi, Pulau Pinang,
semalam.
PULAU PINANG 23 Mac - Rakyat berpendapatan rendah
di negeri ini mula merasakan mereka dan generasi akan datang tidak
mempunyai masa depan cerah jika kerajaan DAP Pulau Pinang terus
memerintah.
Maklum balas tersebut diperoleh daripada kaji selidik yang dijalankan
oleh Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) terhadap orang
ramai di sini sejak tiga hari lalu.
Presiden CASSA, Datuk Dr. Jacob George berkata, golongan tersebut
melihat pembangkang gagal menyediakan polisi yang boleh melindungi hak
selain menjaga kebajikan mereka.
Menurutnya, rakyat berpendapatan rendah khususnya di bahagian pulau
bimbang mereka suatu hari nanti akan dihalau berikutan projek kediaman
mewah yang semakin bercambah, seolah-olah tiada kawalan daripada
kerajaan negeri.
"Saya dukacita sebab sudah ada persepsi bahawa Pulau Pinang adalah
untuk orang Cina sahaja.
"Mereka (rakyat) meluahkan perasaan kepada saya dengan mengatakan
mereka sudah jauh ketinggalan, seolah-olah Pulau Pinang hanya untuk
orang kaya dan terkenal," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kaji selidik berkenaan merupakan yang pertama dilakukan oleh CASSA di
luar kawasan Subang dan Shah Alam sempena Pilihan Raya Umum Ke-13
nanti.
Ia bertujuan memberi kesedaran kepada para pengundi untuk membuat
pilihan bijak dan tepat pada pilihan raya umum akan datang berdasarkan
keadaan semasa.
Jacob memberitahu, keadaan di negeri itu seolah-olah dikawal oleh
pemaju apabila mereka dengan rakusnya membina projek-projek kediaman
mewah dan dibiarkan sahaja oleh kerajaan negeri.
"Dalam laporan akhbar, ada pemaju secara terbuka menyatakan rasa
bangga kerana berjaya membina begitu banyak rumah mewah sedangkan polisi
itu sepatutnya diputuskan oleh kerajaan negeri.
"Kenapa membenarkan spekulator mengawal negeri ini? Kenapa perlukan
pelaburan yang tidak menjaga hak rakyat Malaysia? Macam tiada esok lagi
buat rakyat Pulau Pinang," tegasnya.
Jelasnya, CASSA menerima banyak aduan daripada orang ramai di negeri
itu mengenai perkara tersebut dan ia menunjukkan bahawa mereka semakin
terdesak serta tertekan.
"Mereka meminta bantuan kita kerana takut maklumat mereka bocor
seterusnya dicaci dan dihina pihak-pihak tertentu," ujarnya.
Beliau berkata, CASSA menyediakan talian 016-3261700 bagi membolehkan
orang ramai dari seluruh negara menyalurkan maklumat atau membuat
aduan.
/hwa: utusan.com.my | 24/3/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan