Najib Tun Razak bersalaman dengan
orang ramai pada Majlis Penyerahan Rumah Mampu Milik Berkualiti di Taman
Intan Duyung, Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam. - BERNAMA
TELOK KEMANG 24 Mac - Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak hari ini membayangkan Pilihan Raya Umum Ke-13
semakin dekat dan yakin Barisan Nasional (BN) akan terus memegang tampuk
pemerintahan negara.
Katanya, keyakinan itu berasaskan kepada sokongan rakyat yang semakin
meningkat dari semasa ke semasa.
''Saya rasa-rasalah dan bila sudah ada rasa tu, bunyinya sudah
dekatlah tu (pilihan raya umum)," katanya dalam ucapan pada majlis
penyerahan 70 unit rumah mampu milik berkualiti tinggi di Taman Intan
Duyung, Port Dickson, dekat sini.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi
Penyelaras BN Telok Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad serta beberapa
menteri Kabinet dan pemimpin parti komponen BN.
Perdana Menteri berkata, kerajaan BN sebagai kerajaan yang terbaik
untuk rakyat, tidak akan menabur pelbagai janji yang tidak mampu
ditunaikan seperti yang dilakukan pembangkang.
Najib berkata, tanpa perlu menabur janji-janji, kerajaan BN tetap
akan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat.
"Pembangkang ini senjata pada tangannya adalah jual janji, tapi
apabila kita timbang punya timbang, janji itu mustahil untuk
dilaksanakan," katanya
Perdana Menteri juga berkata pelbagai janji pembangkang sekiranya
dilaksanakan juga akan menyebabkan negara muflis dan menjadi lebih teruk
daripada apa yang berlaku di negara Greece sekali gus menyebabkan
rakyat hilang keyakinan.
Mengenai keinginan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu
menjadi Perdana Menteri, Najib berkata, ketua pembangkang itu itu tidak
layak kerana ramai pengikutnya sudah mula meninggalkannya selepas hilang
keyakinan.
Beliau berkata, pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr. Chandra
Muzaffar yang sudah meninggalkan Anwar pernah menyatakan bahawa jika
Anwar menjadi Perdana Menteri, satu malapetaka besar akan berlaku kepada
negara.
"Kalau kita pasang billboard dan letak gambar orang yang sudah
meninggalkan dia (Anwar), saya rasa kena guna billboard yang besar
kerana ramai sudah meninggalkan dia dari Chandra Muzaffar, bekas
setiausaha politiknya, Ezam Mohd. Nor, bekas setiausaha sulit Anuar
Shaari dan peguam dia Zulkifli Nordin," katanya.
Najib kemudiannya menghadiri jamuan makan tengah hari bersama lebih
30,000 penduduk dan anggota tentera.
/hwa: utusan.com.my | 25/3/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan