KOTA BHARU 21 Mac - Rakyat Kelantan tidak dapat menerima tindakan
kerajaan Pas negeri yang didakwa telah memajakkan tanah rizab Melayu
kepada syarikat bukan bumiputera kerana menganggap perbuatan itu
mengkhianati bangsa sendiri.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata rakyat Kelantan
yang ditemui menyifatkan, tindakan kerajaan Pas tersebut bertentangan
dengan Perlembagaan Persekutuan yang melindungi hak-hak istimewa orang
Melayu.
Seorang penjawat awam, Mohd. Rashidi Zakaria, 36, berkata, tindakan tersebut tidak boleh dimaafkan kerana ia melibatkan kepentingan kaum Melayu sendiri.
Selain mampu memberi kesan kepada nasib orang Melayu terutamanya
golongan miskin, tindakan tersebut juga katanya, dilihat telah menutup
ruang kepada pengusaha-pengusaha Melayu di Kelantan.
"Saya berharap kerajaan fikirkanlah nasib rakyat di negeri ini,
janganlah asyik mengutamakan keuntungan semata-mata," katanya diminta
mengulas laporan Utusan Malaysia mengenai tindakan kerajaan Pas Kelantan yang didakwa memajak tanah rizab Melayu kepada syarikat bukan bumiputera.
Pelbagai pihak menyifatkan tindakan kerajaan Pas Kelantan memajak
tanah rizab Melayu kepada syarikat-syarikat bukan bumiputera dari luar
Kelantan dan mengenepikan penduduk tempatan yang rata-ratanya miskin
sebagai perbuatan zalim.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed
pula menganggap sikap kerajaan negeri yang berbuat demikian jelas
menganiaya rakyat.
Bagi seorang usahawan, Sharul Fadhel, 32, tindakan kerajaan Pas Kelantan itu akan memberi kesan buruk kepada kaum Melayu di negeri ini pada masa akan datang.
"Mungkin sekarang tidak menampakkan kesan, tetapi bayangkan 20 tahun
ke depan, apa nasib akan diterima generasi akan datang terutamanya
golongan miskin negeri ini.
"Pembangunan yang dilaksanakan syarikat bukan bumiputera ini pasti
akan menenggelamkan golongan Melayu miskin selepas ini," dakwanya.
Mohd. Zaidan Abd. Rahim, 36, pula berpendapat, kerajaan Pas
sepatutnya memelihara tanah rizab Melayu yang ada, bukannya memajakkan
tanah-tanah berkenaan kepada pihak luar.
"Kita mahu tanah Melayu ini dimajukan oleh orang Melayu sendiri,
jangan melibatkan syarikat luar. Pas selama ini sering melaungkan slogan
kerajaan Islam dan kerajaan berkebajikan, namun tindakan yang dilakukan
ini jelas mencerminkan siapa Pas sebenarnya," dakwa beliau.
Arif Hakimi Zulkifli, 32, pula berharap, kerajaan Pas Kelantan
menarik balik tindakan yang dilakukan itu kerana ia akan hanya merugikan
rakyat negeri ini.
"Sepatutnya, sebagai pemerintah keutamaan kepada rakyat mesti didahulukan," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 22/3/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan