MOHD. Shafie Apdal bersalaman
dengan penduduk Kampung Jusung Melanta pada Majlis Pemimpin Bersama
Rakyat di Pulau Bum Bum, Semporna, semalam.
SEMPORNA 25 Mac - Parti pembangkang di negara ini
langsung tidak mempunyai rekod yang boleh dibanggakan berbanding apa
yang telah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, mereka
telah diberi peluang memerintah beberapa buah negeri tetapi malangnya
tidak berusaha membawa kemajuan, sebaliknya lebih mementingkan agenda
peribadi berbanding keperluan rakyat.
Sebaliknya, menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak sejak memegang teraju negara telah melaksanakan pelbagai usaha
transformasi untuk membawa negara ke landasan tepat menjadi sebuah
negara maju.
"Tetapi apa yang dilakukan oleh pembangkang di beberapa buah negeri
seperti Kedah dan Kelantan? Dalam tempoh tiga tahun, mereka berada dalam
kucar kacir, hendak melantik Exco pun sudah bergaduh di Kedah. Ini baru
perintah negeri, cuba bayangkan jika perintah negara.
"Di Kelantan selepas 20 tahun, apa yang Pas buat? Segala pembangunan
yang terdapat di negeri itu adalah hasil usaha gigih BN," katanya kepada
pemberita selepas majlis penutup Program Mesra GiatMara Sabah di sini
hari ini.
Mohd. Shafie yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah
diminta mengulas mengenai kecenderungan pemimpin pembangkang yang sering
membuat ceramah dengan memfitnah dan memburukkan kerajaan BN.
Tegas beliau, senjata utama pembangkang hanya satu iaitu berbekalkan
siri-siri ceramah dengan memfitnah kerajaan dan pada masa yang sama
menjanjikan 'bulan dan bintang', sesuatu yang mereka tahu ia mustahil
untuk ditunaikan.
"Kepada rakyat, buatlah penilaian terbaik berdasarkan rekod prestasi
terbaik, insafi apa yang pembangkang buat di negeri-negeri yang
diperintah dan nilai pula apa yang dilakukan oleh kerajaan BN selama
ini," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 26/3/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan