MUHYIDDIN Yassin diiringi Pengerusi
Pondok Genting, Abdullah Sa'amah (tiga dari kiri) melawat kawasan pondok
sekolah pada Majlis Pemimpin Bersama Ulama di Pondok Tok Guru Haji Lah,
Genting, Tumpat, Kelantan, semalam.
******
KOTA BHARU 24 April - Ketua Pembangkang, Datuk
Seri Anwar Ibrahim sekali lagi bakal melakukan pembohongan besar apabila
mendakwa ada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Sabah akan menyertai
pakatan pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Anwar
bakal mengulangi pembohongan besar yang dilakukannya pada 16 September
2008 kononnya pembangkang akan membentuk kerajaan berikutan penghijrahan
ramai wakil rakyat BN, walhal perkara itu tidak berlaku sehingga
sekarang.
Menurut beliau, kenyataan Anwar tersebut tidak lebih untuk
menunjukkan dia mendapat sokongan besar sehingga sanggup melakukan
pembohongan demi pembohongan.
"Apakah rakyat masih nak terpedaya dengan kenyataan Anwar Ibrahim
tentang hal itu? Dia fikir kalau ada orang kita nak duduk dekat sebelah
dia bercakap, nak masuk ikut dialah.
"Pemimpin-pemimpin utama BN tahu lebih-lebih lagi dalam keadaan
sekarang, baik di Sabah, Kelantan, Sarawak sokongan meningkat dan jelas
terbukti memang rakyat mahukan pimpinan BN," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan khas
bersama pesara-pesara kerajaan, guru, tentera dan polis di sini.
Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri
Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek
Hussin.
Muhyiddin diminta mengulas kenyataan Anwar yang mendakwa beberapa wakil rakyat BN di Sabah akan menyertai pakatan pembangkang.
Mengulas lanjut, Timbalan Presiden UMNO itu berkata, rakyat boleh
menilai prestasi parti pakatan pembangkang khususnya di negeri-negeri
yang mereka kuasai.
"Pelbagai ideologi, pendekatan yang sememangnya menimbulkan keresahan
masyarakat, dasar tidak konsisten, pakatan yang rapuh, strategi yang
makan diri, pendirian tidak tegas, ini dapat kita lihat berlaku dalam
tempoh tiga tahun (pentadbiran pembangkang)," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, berdasarkan tinjauan lawatan
beliau ke Kelantan mendapati rakyat negeri itu semakin berminat dan ada
kesungguhan untuk bersama-sama dengan UMNO dan BN.
Sementara itu, Muhyiddin turut memberitahu, Kerajaan Pusat
memperuntukkan RM100,000 bagi menyediakan sistem penapis air di 30 buah
sekolah di negeri ini yang menghadapi masalah bekalan air bersih.
Katanya, usaha tersebut dilakukan kerana kerajaan bimbang penularan
penyakit dalam kalangan pelajar disebabkan bekalan air tidak bersih di
sekolah-sekolah.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keutamaan diberikan
kepada sekolah-sekolah yang berdepan masalah bekalan air bersih serius
termasuk di kawasan luar bandar, sebelum diperluaskan ke seluruh negeri.
"Masalah air bersih isu besar di Kelantan dan kita bimbang kalau
anak-anak kita tak dibekalkan air bersih di sekolah, ini akan jadi satu
isu kesihatan yang boleh mengganggu pelajaran mereka," katanya.
Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan berjumlah
RM120,000 kepada empat persatuan iaitu Persatuan Bekas Tentera Malaysia,
persatuan bekas polis, persatuan pesara kerajaan dan persatuan pesara
pendidikan Kelantan.
Mengulas sikap kerajaan Pas Kelantan yang menganggap isu bekalan air
bersih sebagai 'remeh', Timbalan Perdana Menteri menegaskan, ia berlaku
disebabkan ketidakupayaan kerajaan Pas untuk menyelesaikan masalah
tersebut.
/HWA: utusan.com..my | 25/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan