ZULKIFELI Mohd. Zin bersalaman dengan
anggota MALCON 4 ISAF yang akan berlepas ke Afghanistan di Pangkalan
Udara Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang, Selangor, semalam. -
UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ
*****
KUALA LUMPUR 26 April - Angkatan Tentera Malaysia
(ATM) mengecam dakwaan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang
mengaitkan pasukan itu dengan rampasan kuasa jika Barisan Nasional (BN)
kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Panglimanya, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin menyifatkan tuduhan
itu sebagai berbaur politik dan hasutan sehingga boleh mengelirukan
rakyat serta menjejaskan keselamatan negara.
Sehubungan itu, satu laporan polis akan dibuat oleh ATM terhadap
dakwaan palsu Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang tersebut dalam
masa terdekat supaya siasatan lanjut dapat dilaksanakan dan tindakan
undang-undang sewajarnya boleh diambil.
"Saya mewakili ketiga-tiga cabang pertahanan negara menafikan
sekeras-kerasnya dakwaan tidak bertanggungjawab itu. Ini kerana ia tidak
benar dan berniat jahat.
"Dewasa ini, wujud banyak pihak tidak bertanggungjawab yang sentiasa
berusaha meracuni pemikiran rakyat bertujuan menghakis keyakinan mereka
terhadap ATM dan kerajaan pimpinan BN serta tidak terkecuali individu
tertentu dalam usaha melindungi politik mereka.
"Justeru semua pihak diseru tidak terpengaruh dengan tohmahan pihak
berkaitan kerana ATM sentiasa mendokong Perlembagaan dan bersikap
profesional," katanya pada sidang akhbar di Kementerian Pertahanan di
sini hari ini.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifli Zainal
Abidin; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud dan
Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin
Ali.
Dalam ceramahnya di Ipoh, Perak, Ahad lalu, Mohammad Nizar menyatakan
beliau telah dimaklumkan kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak memanggil dan bertanyakan kepada semua kepimpinan tentera darat
serta udara tentang tindakan mereka sekiranya BN tumbang pada PRU-13.
Ini bukan kali pertama pembangkang mengheret ketumbukan itu ke dalam
kancah politik tempatan kerana sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk
Seri Anwar Ibrahim pernah menjaja nama ATM sebagai 'merestui' pelantikan
beliau sebagai Perdana Menteri keenam pada 16 September 2008.
Pihak pembangkang sebelum ini turut mengaitkan ATM dengan
penyelewengan undi pos kononnya anggota organisasi itu diarahkan oleh
pegawai pemerintah untuk menanda ribuan kertas undi pos.
Bagaimanapun tuduhan-tuduhan berkenaan didapati tidak berasas dan bermotifkan kepentingan politik pembangkang semata-mata.
Sementara itu di LUMUT, Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz
Jaafar menyifatkan kenyataan Mohammad Nizar sebagai satu fitnah.
Beliau menegaskan, angkatan tentera termasuk Tentera Laut Diraja
Malaysia (TLDM) adalah organisasi profesional yang tidak akan memihak
kepada mana-mana parti politik.
"Sudah banyak kali kita terangkan bahawa angkatan tentera termasuk
TLDM adalah profesional dan tidak bersikap berpihak kepada mana-mana
parti politik.
"Apa yang dilemparkan oleh Mohammad Nizar adalah tuduhan berbentuk
fitnah dan ia amat mendukacitakan kerana ia mampu mencetuskan konflik
serta perasaan tidak puas hati kepada banyak pihak terutamanya anggota
tentera," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meraikan 109
anak-anak yatim yang menyertai pelayaran bersama kapal KD Mahawangsa di
sini hari ini.
Abdul Aziz berkata, sebagai organisasi yang bertanggungjawab menjaga
keselamatan negara, TLDM tetap berpegang teguh kepada Perlembagaan serta
sumpah taat setia kepada raja dalam memastikan negara ini dalam keadaan
selamat dan tenteram.
/HWA: utusan.com.my | 27/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan