11 April 2012

Cadang wujud Majlis Syura Ekonomi Islam

KUALA LUMPUR 9 April - Majlis Perundingan Melayu bersama 164 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu mencadangkan Majlis Syura Ekonomi Islam Negara diwujudkan untuk memantau pelaksanaan sistem ekonomi Islam negara.
Pengerusi Biro Ekonomi dan Kemakmuran majlis tersebut, Tan Sri Dr. Kamal Salih berkata, ia turut berfungsi sebagai penasihat kepada Majlis Raja-Raja Melayu selain Kerajaan Pusat, dalam usaha memastikan pembangunan dan kesejahteraan ummah tercapai.
Beliau berkata, cadangan penubuhan majlis itu merupakan salah satu daripada Resolusi Kolokium Pelan Tindakan Model Ekonomi Islam yang akan dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu tidak lama lagi.
"Majlis Perundingan Melayu menerusi resolusi-resolusi yang dibentangkan bagaimanapun tidak sesekali mengetepikan Kerajaan Pusat sebaliknya turut meminta pandangan daripada pihak kerajaan termasuk kerajaan negeri.
"Resolusi yang dibentangkan dalam kolokium itu juga akan diperinci dari semasa ke semasa dan ia masih belum konkrit tetapi cadangan-cadangannya telah diteliti khususnya di kalangan profesional bidang ekonomi Islam," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Biro Politik dan Governance badan tersebut, Datuk Seri Dr. Mohd. Hilmi Ismail dan Setiausaha Agungnya, Dr. Hasan Mad.
Kamal berkata, turut dicadangkan adalah penggubalan Akta Perbankan dan Kewangan Islam yang tidak bercanggah dengan peruntukan Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA).
Katanya, akta itu bagi membolehkan penubuhan Bank Islam Sosial yang dilihat mampu mengatasi beban yang ditanggung oleh peminjam institusi kewangan Islam.
Antara lain dalam resolusi itu menurutnya, badan itu mahu institusi-institusi agama Islam terutama majlis agama Islam negeri ditingkatkan kepentingannya agar tidak bersifat eksklusif sebaliknya inklusif.
"Hasrat itu sekali gus akan memperkasakan institusi mufti supaya fatwa yang berbeza di setiap negeri diseragamkan atau diselaras supaya tidak lagi bertentangan dan tidak wujud kekeliruan di kalangan masyarakat negara ini," katanya.
Beliau berkata, sistem wakaf turut menjadi agenda utama resolusi kerana ia wajib diperhebat menerusi kajian insentif yang boleh diberikan oleh kerajaan termasuk pelepasan cukai bagi menggalakkan sumbangan untuk wakaf dalam kalangan masyarakat Islam.
"Contoh kajian lain adalah kaedah untuk meningkatkan keberkesanan wakaf termasuk pendekatan 'wakaf korporat' yang kini dipelopori Johor Corp dan boleh diperluas ke badan pelaburan lain seperti Permodalan Nasional Berhad dan Lembaga Tabung Haji," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 10/4/12

Tiada ulasan: