KUALA LUMPUR 10 April - Ketua Menteri Pulau
Pinang, Lim Guan Eng adalah seorang pengecut kerana sanggup menyekat
ilmu daripada sampai kepada murid-murid di sekolah jenis kebangsaan Cina
(SJKC) di negeri itu dengan memberi amaran agar tidak melanggan Utusan
Malaysia demi kepentingan politiknya.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, perkara
itu adalah sesuatu yang amat memalukan kerana ia sama sekali
bertentangan dengan asas kebebasan bersuara seperti sering dilaungkan
DAP dan pembangkang.
Jelasnya, perkara itu juga membuktikan betapa Guan Eng merupakan
diktator yang tidak boleh menerima kritikan serta tidak gentleman
dalam berpolitik.
"Nampak sangat Guan Eng tidak demokratik. Ini muslihat agar teguran
ke atasnya tidak sampai ke pengetahuan pihak lain dan akhirnya anak-anak
di sekolah menjadi mangsa.
"Beliau jelas takut pada bayang-bayang sendiri dan bimbang dengan
kebebasan akhbar yang dilaungkannya. Disebabkan itu, saya menganggap
tindakannya itu hanyalah tindakan seorang pengecut," katanya kepada Utusan
Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Cheng Guan
mendedahkan bahawa Guan Eng dalam ucapannya pada Majlis penyampaian
bantuan kepada SJKC pada 7 April lalu memberi amaran agar 84 sekolah
jenis itu di negeri tersebut berhenti melanggan Utusan Malaysia.
Tindakan itu turut dilaporkan akhbar Sin Chew Jit Poh dan Guan
Eng secara berseloroh turut menyatakan bahawa kerajaan negeri akan
menarik balik bantuan sekiranya perkara itu tidak dituruti.
Puad menambah, tindakan Guan Eng itu juga boleh disifatkan sebagai
menganiaya pelajar-pelajar sekolah yang mahu memperbaiki mutu bahasa
kebangsaan mereka selain memperolehi manfaat lain dari akhbar ini secara
percuma.
"Tidak setakat memperbaiki bahasa Melayu, pelajar juga berpeluang
mendapatkan ilmu tambahan menghadapi peperiksaan melalui sisipan ADaP
dalam Utusan Malaysia.
"Jika sekolah yang melanggan akhbar, tentunya ramai pelajar yang
mendapat manfaat pendidikan tersebut secara percuma. Justeru tidak ada
sebab untuk mereka dijadikan mangsa kezaliman politik dengan ugutan dan
amaran seperti ini," ujarnya.
/HWA: utusan.com.my | 11/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan