12 April 2012

Kunjungan PAP: Mana ketelusan KM P. Pinang?

PULAU PINANG 10 April - Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang sebelum ini begitu bangga melaungkan slogan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) dilihat gagal menterjemahkannya berikutan kunjungan 'rahsia' ahli-ahli Parlimen Singapura ke negeri ini.

Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Azhar Ibrahim berkata, perkara itu amat menghairankan kerana ia bukan kunjungan yang melibatkan pelawat biasa, sebaliknya wakil rakyat dari negara luar.
"Jika benar ada perjumpaan, mengapa mesti dirahsiakan daripada pengetahuan rakyat? Jika dua tahun lepas, ketika kedatangan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, kerajaan negeri menghebahkannya tetapi kenapa kali ini dibuat secara tertutup tanpa publisiti?
"Tindakan ini menimbulkan persoalan tentang perkara yang mereka bincangkan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tulisan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia kelmarin yang bertanya secara terbuka kepada Guan Eng apakah benar ada rombongan Ahli Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP) ke negeri ini baru-baru ini dan dirahsiakan daripada pengetahuan umum.
Azhar berkata, beliau sebelum ini pernah mendengar berita mengenai Guan Eng yang kerap berkunjung ke Singapura.
"Kita tahu dia memang selalu ke sana. Mungkin hendak belajar cara mentadbir negeri ini seperti mana kerajaan Singapura tadbir negara mereka, siapa tahu!" katanya.
/HWA: utusan.com.my | 11/4/12

Tiada ulasan: