IPOH 10 April - Rakyat wajar mengambil iktibar
daripada perlakuan biadab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang
Pulai, Chan Ming Kai yang mencetuskan kekecohan pada hari terakhir
Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-12 semalam.
Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Perak,
Md. Yusuf Alang Ahmad berkata, sikap keterlaluan wakil rakyat Parti
Keadilan Rakyat (PKR) itu yang naik ke podium Speaker jelas tidak
menghormati kemuliaan dewan.
''Apakah budaya ini yang hendak ditunjukkan kepada rakyat negeri
Perak? Tindakan tersebut merupakan satu nilai yang bertentangan dengan
norma masyarakat di negara ini.
''Perkasa Perak berharap insiden ini akan menjadi iktibar kepada kita
semua untuk menolak pemimpin yang berbudaya negatif," katanya kepada Utusan
Malaysia di sini hari ini.
Ming Kai yang mencetuskan kekecohan pada hari terakhir Sidang DUN
Ke-12 semalam diarahkan keluar dewan setelah bersikap biadab terhadap
Ganesan dengan menaiki podium Speaker dan meminta soalan yang
dikemukakannya dijawab dalam persidangan.
Tindakan itu mencetuskan kemarahan para penyokong kerajaan sebelum
Ganesan menggunakan Perkara 44 (3) Perintah Tetap DUN untuk mengarahkan
Ming Kai keluar dewan dan tidak dibenarkan meneruskan persidangan.
Kekecohan sekali lagi tercetus apabila Ming Kai berdegil dengan
memasuki dewan pada sebelah petang sebelum diarahkan keluar.
Dalam pada itu, Md. Yusuf berharap agar semua wakil rakyat
menunjukkan contoh teladan terbaik khususnya kepada generasi muda yang
bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara.
''Ini selaras dengan nilai-nilai murni yang ingin disemai dalam
matlamat Falsafah Pendidikan Negara menerusi pengajaran di sekolah
mahupun institusi pengajian tinggi (IPT)," ujarnya.
/HWA: utusan.com.my | 11/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan