19 April 2012

Demonstrasi cemar imej mahasiswa

KUALA LUMPUR 17 April - Tindakan sekumpulan mahasiswa menyertai demonstrasi membantah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mencemarkan imej penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) keseluruhannya.
Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Mohd. Hafiz Ariffin berkata, sebagai pelajar IPT, mereka sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.
"Bergelar penuntut IPT merupakan perkara yang paling membanggakan dan mereka seharusnya menggunakan peluang itu untuk menimba ilmu dengan sebaik-baiknya.
"Demonstrasi bukanlah jalan terbaik menyuarakan pendapat, sebaliknya, sebarang rasa tidak puas hati perlu disuarakan menerusi rundingan," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan mahasiswa yang berarak kononnya membantah PTPTN dengan membawa gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Dataran Merdeka, kelmarin.
Mohd. Hafiz berkata, demonstrasi itu tidak mempunyai hala tuju dan lebih kepada melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin negara ekoran pengaruh politik pembangkang.
"Banyak isu lain yang boleh dibangkitkan seperti masalah penempatan pelajar kerana kebanyakan universiti tidak dapat menampung jumlah pelajar yang ramai menyebabkan mereka terpaksa menetap di luar kampus," ujarnya.
Dalam pada itu, YDP MPP Universiti Putra Malaysia (UPM), Iqbal Ismat Nordin berkata, pelajar yang terlibat dalam demonstrasi tersebut perlu dibawa ke meja bulat untuk rundingan dan diterangkan mengenai matlamat sebenar PTPTN.
"Saya yakin masih ramai pelajar yang tidak mengetahui tujuan dan fungsi PTPTN dan keadaan itu diburukkan dengan propaganda pembangkang yang meracuni pemikiran mahasiswa.
"Tidak perlu berdemonstrasi sebaliknya gunakan cara yang lebih berhemah, baru sepadan dengan status penuntut IPT," katanya.
Sementara itu, YDP MPP Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Wan Azizul Faiz Zulkifli berkata, siasatan lanjut perlu dilakukan bagi mengenal pasti tujuan penganjuran demonstrasi tersebut.
"Mungkin ada pihak yang menggunakan kumpulan itu sebagai alat untuk kepentingan tertentu dan bukannya benar-benar memperjuangkan kebajikan golongan mahasiswa," ujarnya.
/HWA: utusan.com.my | 18/4/12

Tiada ulasan: