PEMBENTANGAN Rang Undang-Undang Kesalahan
Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 di Dewan Rakyat untuk bacaan
kali pertama kelmarin membuktikan keikhlasan kerajaan Barisan Nasional
(BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk
melakukan transformasi.
Transformasi bermaksud perubahan secara menyeluruh dalam segenap
bidang kepada bentuk yang lebih baik berbanding reformasi yang lebih
menjurus kepada perubahan sempit untuk mengubah tingkah laku buruk yang
diamalkan seseorang itu.
Sebenarnya, transformasi yang dibawa BN dengan memperkenalkan
idea-idea baru bagi melakukan lonjakan berganda kepada negara adalah
lebih baik berbanding reformasi jalanan pembangkang yang sarat dengan
idea-idea lama yang langsung tidak menyumbang apa-apa kepada negara.
Salah satu transformasi yang telah dibuat BN melibatkan penggubalan
dan pembentangan rang undang-undang terbaru tersebut.
Ia dilakukan secara terperinci melalui perbincangan dengan
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Majlis Peguam dan
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak dua tahun lalu.
Perubahan ini selari dengan perkembangan demokrasi dunia sekali gus
memenuhi kehendak rakyat yang mahukan undang-undang lapuk, Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dimansuhkan.
Selain ISA, Najib pada September tahun lalu turut mengumumkan
pemansuhan dua akta lain yang dianggap sudah ketinggalan zaman iaitu
Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Buang Negeri 1957.
Jika sebelum ini, ISA membolehkan sesiapa yang dianggap mengancam
keselamatan negara termasuk ahli politik ditahan polis tanpa bicara,
rang undang-undang baru itu dengan jelas menggariskan tiada sesiapa
boleh ditangkap dan ditahan semata-mata atas kepercayaan atau aktiviti
politiknya. Mereka yang ditahan itu juga hendaklah dibicarakan di
Mahkamah Tinggi.
Sehubungan itu, mana-mana pihak tidak boleh lagi menyamakan Malaysia
dengan kerajaan junta tentera Myanmar yang sebelum ini menahan ikon
demokrasi negara itu, Aung San Suu Kyi kerana fahaman politiknya yang
berbeza.
Malaysia jelas sekali lebih baik berbanding Singapura yang telah
menangkap dan memenjarakan pemimpin pembangkang republik itu, Dr. Chee
Soon Juan semata-mata kerana berlainan fahaman politik.
Rang-rang undang itu menggariskan empat kesalahan bukan politik yang
dianggap mengancam keselamatan negara termasuk menyebabkan keganasan
terancang terhadap orang atau harta.
Ia juga membabitkan kesalahan membangkitkan perasaan tidak setia
terhadap Yang di-Pertuan Agong, memudaratkan ketenteraman awam dan untuk
mendapatkan perubahan selain dengan cara yang sah.
Rang undang-undang baru itu turut menetapkan tempoh maksimum
penahanan seseorang individu tidak melebihi 28 hari bagi tujuan siasatan
berbanding ISA sehingga 60 hari atau penahanan tanpa perbicaraan selama
dua tahun jika diluluskan Menteri Dalam Negeri.
Satu keunikan selaras dengan perkembangan zaman adalah pemasangan
peranti pengawasan elektronik dengan kelulusan mahkamah di badan tiga
kumpulan individu yang disyaki melakukan kesalahan keselamatan, tetapi
dilepaskan oleh polis dengan jaminan.
Ia melibatkan seseorang yang berumur di bawah 18 tahun, seorang
perempuan dan seorang yang sakit atau uzur.
Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz yang mengulas perkembangan
itu berkata, ia membuktikan kerajaan menepati janji untuk melakukan
pelbagai penambahbaikan setelah memansuhkan ISA.
Beliau berkata, pemindahan kuasa penahanan suspek kepada mahkamah
merupakan salah satu aspek penambahbaikan yang ditunggu banyak pihak.
"Sebelum ini, kita bimbang suspek tidak berpeluang mendapat pembelaan
sekiranya kuasa menahan itu diletakkan pada individu tertentu (Menteri
Dalam Negeri) sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, pakar undang-undang, Prof. Salleh Buang turut
sependapat dengan Shamrahayu bahawa banyak penambahbaikan telah dibuat
terhadap rang undang-undang baru itu.
"Rang undang-undang ini secara keseluruhan tidak menafikan hak
tertuduh untuk membela diri dari segi undang-undang.
"Hak asasi tertuduh juga lebih terjamin memandangkan hanya mahkamah
yang boleh mengeluarkan arahan penahanan atau pemasangan peranti
pengawasan elektronik terhadap suspek," ujarnya.
Jelasnya, perbezaan lain berbanding ISA adalah ia turut membenarkan
waris dimaklumkan tentang penahanan suspek.
Sementara itu, Pengarah Kriminologi, Pusat Pengajian Sains
Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P.
Sundramoorthy berkata, langkah memperkenalkan rang undang-undang baru
itu tidak harus disalah tafsir kononnya kerajaan tidak serius melakukan
transformasi.
Beliau berkata, langkah itu dibuat berikutan kerajaan memerlukan satu
instrumen perundangan khusus bagi memastikan keselamatan dan kestabilan
negara ini terus terjamin.
"ISA tidak sewajarnya dimansuhkan tanpa digantikan dengan
undang-undang lain yang mampu membanteras ancaman keselamatan terhadap
negara," katanya.
Tambah beliau, rang undang-undang baru itu dilihat berupaya
melaksanakan fungsi itu secara berkesan.
"Kita dapat melihat undang-undang serupa turut dikuatkuasakan di
negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom.
"Memang ada pihak di negara ini yang tidak mahu undang-undang lain
diwujudkan bagi menggantikan ISA. Namun, kerajaan perlu memberi
keutamaan terhadap aspek keselamatan negara," tegasnya.
Pembentangan rang undang-undang berkenaan jelas membuktikan
janji-janji kerajaan untuk membawa transformasi dalam segenap aspek
bukan sesuatu yang retorik.
Oleh itu, diharap pihak pembangkang yang dilihat sudah mula
mengeluarkan komen-komen sinis mempertikaikan rang undang-undang ini
menggunakan peluang pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat mulai Isnin ini
untuk mengemukakan syor bagi memantapkannya.
Kita yakin, kerajaan BN yang ikhlas untuk melakukan transformasi
tidak akan menolak cadangan pihak pembangkang terbabit jika ia baik
untuk rakyat dan negara.
/HWA: utusan.com.my | 12/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan