14 April 2012

Mustafa Ali didesak lagi nyatakan niat pertahan Anwar

KUALA LUMPUR 12 April – Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali sekali lagi didesak supaya menyatakan niat sebenarnya di sebalik tindakannya yang bersungguh-sungguh mempertahankan isu moral Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Pemuda Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Faizal Jaafar berkata, Mustafa tidak sepatutnya membuat kenyataan membela Anwar sebelum berbincang atau mengadakan mesyuarat bersama ahli parti mengenai perkara itu.
Menurut beliau, sepatutnya Mustafa berbincang dengan ahli parti dahulu sama seperti apa yang dilakukan semasa hendak menyingkirkan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali.
“Kenyataan yang dikeluarkan tanpa merujuk kepada ahli parti yang lain menunjukkan seolah-olah ada sesuatu muslihat yang sedang disorokkan olehnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Mustafa yang bersungguh-sungguh mempertahankan isu moral melibatkan Ketua Pembangkang itu di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Menurut Faizal, Datuk S. Nallakaruppan yang berkawan baik dengan Anwar juga telah mendedahkan perangai sebenar Penasihat PKR itu, sekali gus menimbulkan persoalan mengapa Mustafa bertindak melindunginya.
“Mustafa bukan sahabat baik Anwar tapi kenapa dia mempertahankan Ketua Pembangkang itu? Adakah dia dipaksa oleh puak Anwarinas untuk melakukannya?
“Ini juga menunjukkan ada rahsia mengenai Mustafa yang sedang disembunyikan oleh puak Anwarinas,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau meminta Mustafa tampil memberi penjelasan yang sebenarnya mengenai tindakannya supaya tidak wujud kekeliruan orang ramai.
/HWA: utusan.com.my | 12/4/12

Tiada ulasan: