Nasharudin Mat Isa menyampaikan ceramah bertajuk Seks Songsang: Perspektif Syariah
pada Wacana Kemungkaran Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender
Mengundang Bala Allah anjuran pertubuhan bukan kerajaan, MUAFAKAT di
Universiti Teknologi Malaysia, baru-baru ini.
*****
Nama Sheikh Dr. Yusof al-Qardhawi sering
digunakan pihak pembangkang bagi menggambarkan sokongan ulama tersohor
dunia itu terhadap perjuangan kumpulan mereka dengan harapan ia mampu
meraih lebih banyak sokongan serta simpati rakyat.
Perkara itu bukan satu rahsia kerana selama ini terutama di dalam
beberapa siri ceramah seorang pemimpin utama sebuah parti pembangkang
nama Yusof al-Qardhawi tidak lekang di bibirnya yang bertujuan
menunjukkan betapa akrabnya hubungan ulama tersebut dengan pemimpin
berkenaan.
Di dalam setiap ceramah beliau akan memastikan pertemuannya dengan
Yusof al-Qardhawi ketika berkunjung ke luar negara sentiasa disebut dan
disebarkan supaya rakyat tahu mereka berdua mempunyai hubungan yang
cukup rapat.
Memang tidak dinafikan pengaruh Yusof al-Qardhawi kepada umat Islam
di negara ini begitu kuat kerana beliau merupakan seorang ulama terkenal
dan disebabkan itu tidak hairanlah namanya sering dijaja atas pelbagai
faktor termasuk membabitkan kepentingan politik.
Namun secara ringkasnya sejauh mana akrabnya hubungan Yusof
al-Qardhawi dengan pemimpin berkenaan hanya Allah sahaja yang
mengetahui.
Sementara itu penulis percaya tidak ramai yang mengetahui mengenai
fatwa Yusof al-Qardhawi berhubung isu lesbian, gay, biseksual dan
transgender (LGBT)-ketika ini hak golongan berkenaan sedang hebat
diperjuangkan oleh kelompok tertentu di negara ini atas faktor hak asasi
manusia.
Dalam satu wacana yang dianjurkan oleh Pertubuhan Muafakat Sejahtera
Malaysia (Muafakat) LGBT di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kampus
Antarabangsa Ahad lalu, Pengerusi Pusat Kajian Fiqh Kontemporari,
Nasharudin Mat Isa ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Seks Songsang: Perspektif Syari'ah telah mendedahkan kepada umum mengenai pendirian Yusof al-Qardhawi terhadap isu LGBT.
Nasharudin membacakan fatwa Yusof al-Qardhawi di dalam bahasa Arab
yang kemudian telah diterjemahkan dan apa yang pasti pendirian ulama
tersohor itu berhubung isu berkenaan amat keras.
Yusof al-Qardhawi di dalam fatwanya seperti mana yang dibaca oleh
Nasharudin dengan tegas menyatakan bahawa amalan seks songsang itu wajib
ditentang oleh semua umat Islam termasuk menggunakan kekuatan kerana
perbuatan tersebut amat bertentangan dengan hukum Islam serta fitrah
manusia.
Malah ulama kelahiran Mesir itu turut melarang umat Islam makan atau
minum bersama pejuang, penyokong serta pengamal LGBT apatah lagi berada
di bawah kepimpinan golongan terbabit kerana keadaan mereka yang
sentiasa bergelumang dengan perbuatan yang dilaknat oleh Allah SWT.
''Yusof al-Qardhawi di dalam fatwanya mengenai LGBT cukup jelas.
Beliau mahu kita semua umat Islam menentang habis-habisan termasuk
menggunakan kekuatan terhadap mereka yang menyokong dan mengamalkan LGBT
kerana perbuatan ini bertentangan dengan perintah Allah dan Rasul-Nya.
''Mesej yang mahu disampaikan oleh ulama tersohor ini, umat Islam
wajib menentang kemungkaran dan kita tidak boleh berkompromi dalam soal
melibatkan perbuatan-perbuatan maksiat. Amalan-amalan seumpama ini wajib
ditentang hingga ke titisan terakhir," ujar Nasharudin.
Nasharudin berkata, asas fatwa yang dibuat oleh Yusof al-Qardhawi itu
berdasarkan kepada hak asasi manusia serta kebebasan yang telah
ditetapkan di dalam Islam.
Islam, katanya mengiktiraf hak asasi manusia dan kebebasan tetapi ia tetap tertakluk kepada had serta batas-batas syarak.
''Hak asasi dan kebebasan di dalam Islam dipandu oleh al-Quran,
al-Hadis serta sumber hukum yang lain dan bukannya bersifat mutlak
seperti mana diperjuangkan oleh kelompok-kelompok tertentu di negara
ini.
''Hak asasi manusia dan kebebasan yang bersifat mutlak akan membawa
kepada kekufuran dan kemaksiatan sedangkan ia sesuatu yang amat ditegah
di dalam Islam.
''Saya sebenarnya sengaja membawa fatwa-fatwa yang pernah dikeluarkan
oleh Yusof al-Qardhawi memandangkan beliau amat terkenal dan amat
dikenali oleh umat Islam di negara ini," katanya.
Isu mengenai LGBT di negara mula tercetus pada November tahun lalu
apabila 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Majlis Peguam dan
Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dengan berani menganjurkan program
Seksualiti Merdeka 2011 iaitu satu program yang dibimbangi menggalakkan
seks bebas.
Walaupun Perlembagaan dalam perkara 3 (1) memperuntukkan bahawa Islam
merupakan agama Persekutuan dan menjadi tonggak kepada tertubuhnya
Malaysia, ia tidak menjadi penghalang kepada kesemua NGO terbabit
menunjukkan 'belang' mereka menganjurkan program yang menjijikkan itu.
Bagaimanapun program yang bertujuan memperjuangkan hak LGBT mendapat
bantahan keras daripada pelbagai pihak bukan sahaja di kalangan
masyarakat Islam malah komuniti bukan Islam.
Dalam pada itu, Nasharudin yang juga bekas Timbalan Presiden Pas
berkata, usaha untuk membela hak LGBT sebenarnya cuba mengundang bala
daripada Allah SWT.
Apa yang disampaikan oleh Nasharudin itu berasas kepada hukuman Allah
yang pernah menimpa kaum Nabi Lut a.s kerana membudayakan perbuatan
bercanggah dengan syariat serta fitrah manusia iaitu melakukan hubungan
jenis antara lelaki dan lelaki.
Nasharudin turut menggunakan perumpamaan yang disifatkan sebagai satu
olahan yang boleh membuatkan seseorang itu resah menanti bala Allah
apabila perlakuan seks songsang di negara ini bukan sahaja gay malah
turut melibatkan amalan lesbian, biseksual dan transgender.
"Cuba lihat, pada zaman Nabi Lut hanya ada G (gay) sahaja, itu pun
Allah telah menjatuhkan hukum yang begitu berat. Bayangkan sekarang,
ditambahkan dengan perbuatan LBT (lesbian, biseksual dan transgender).
Mahukah kita undang bala Allah dengan hanya kita berdiam diri?," ujar
Nasharudin.
Jelas, program yang memperjuangkan seks songsang hukumnya haram dan ia dinyatakan sendiri di dalam al-Quran.
Harus diingat perbuatan memperjuangkan LGBT atau apa-apa perjuangan
yang berlawanan dengan ketetapan hukum Allah SWT hanya akan mengundang
kemurkaanNya.
Dalam pada itu, Nasharudin telah mengkategorikan pejuang dan pengamal
LGBT itu sebagai pengikut-pengikut jejak syaitan dengan berdasarkan
firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 208.
Selain Nasharudin kebimbangan yang sama turut disuarakan oleh tiga ahli panel yang bersama-sama menjayakan wacana tersebut.
Mereka ialah Felo Amat Utama Akademik Institut Antarabangsa Tamadun
dan Pemikiran Islam (ISTAC), Dr. Muhammad Uthman El Muhammady ; Ahli
Jawatankuasa Biro Undang-Undang, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
(MAIWP), Mahamad Naser Disa dan Timbalan Presiden Persatuan Peguam
Muslim Malaysia, Abdul Rahim Sinwan.
Kesimpulannya, kesemua ahli panel mengutuk keras perjuangan membela
nasib kumpulan LGBT serta kelompok-kelompok yang mengamalkan perbuatan
songsang itu kerana jelas ia bertentangan dengan perintah Allah SWT dan
Rasulullah SAW.
Sehubungan itu, mereka mahu semua umat Islam bersatu padu menentang
gerakan mereka itu demi memelihara kesucian Islam serta negara negara
ini daripada ditimpa bala Allah SWT.
/HWA: utusan.com.my | 27/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan