Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul
Halim Mu'adzam Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah
Hamidun yang disayangi oleh seluruh lapisan rakyat. – BERNAMA
HARI ini, 11 April 2012 Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu‘azam
Shah, yang naik takhta menggantikan Tuanku Mizan dari Terengganu,
ditabalkan sebagai Yang di Pertuan Agong ke-14. Ini adalah satu-satunya
peristiwa kenegaraan tertinggi bagi Malaysia.
Peristiwa ini menepati kehendak Perkara 32(1) Perlembagaan
Persekutuan yang antara lain memperuntukkan: “Maka hendaklah ada seorang
Kepala Utama Negara bagi Persekutuan digelarkan Yang di-Pertuan Agong,
yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan …”
Frasa Kepala Utama Negara di bawah Perkara 32(1) itu tanpa sebarang
keraguan atau kesamaran meletakkan Raja bagi Persekutuan Malaysia
sebagai peneraju utama bagi negara ini.
Peruntukan ini yang telah sedia sedemikian semenjak berkuatkuasanya
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, susulan kepada syor yang
dikemukakan oleh Suruhanjaya Lord Reid selaku pembentuk kerangka
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
Pada masa sama, Perkara 32(2) pula memperuntukkan bahawa “Permaisuri
Yang di-Pertuan Agong yang digelar Raja Permaisuri Agong adalah
mengambil keutamaan mengatasi segala orang lain dalam Persekutuan
selepas Yang di-Pertuan Agong.” Sementara Perlembagaan Persekutuan
menentukan format dan bentuk lafaz sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong
dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong seperti yang terkandung di Jadual
Ke-4, Permaisuri Agong tidak dikehendaki melafaz apa-apa bentuk sumpah
jawatan sekalipun Baginda diberi penarafan dan kedudukan tertinggi
selepas Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong (SPBYDA).
Tuanku Abdul Halim adalah satu-satunya Sultan yang berpeluang
ditabalkan sebagai SPBYDA bagi kali kedua. Baginda menduduki takhta
SPBYDA ke-5 bagi tempoh 1970 hingga 1975, tempoh yang ditransisikan
masing-masing oleh Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak sebagai
Perdana Menteri pertama dan kedua. Tuanku Abdul Halim adalah kemenakan
kepada Tunku.
Dalam konteks sejarah juga, Tuanku Abdul Halim juga menempa sejarah:
Perdana Menteri dalam tempoh Pemerintahan Baginda ialah Tun Abdul Razak.
Kini anakandanya, Dato’ Sri Najib pula sebagai perdana menteri. Baginda
juga adalah SPBYDA pertama yang mula bersemayam di Istana Negara Baru.
Pada majlis gilang gemilang 11 April, SPBYDA yang ke-14 akan menjalani
semua acara tradisional di-Raja pada sebelah pagi hingga malam apabila
jamuan Pertabalan di-Raja berlangsung.
Lunas sejarah
Sebagai lunas perbandingan sejarah, jawatan Kepala Utama Negara
seperti yang terdapat pada Perkara 32(1) pada mulanya dicadangkan oleh
Suruhanjaya Reid sebagai Yang di-Pertuan Besar – sesuatu yang
mencerminkan cadangan Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Pertama
Malaysia susulan pengamatan beliau setelah meneliti sistem Raja
bergiliran di Negeri Sembilan.
Sebagaimana dimaklum, di Negeri Sembilan para Undang Yang Empat
sebagai “Rulers” atau Pembesar-pembesar Memerintah tempatan memilih
seorang Raja bagi negeri itu mengikut peraturan adat di Negeri Sembilan.
Apabila semua pihak yang mewakili Raja-Raja Melayu, UMNO dan Perikatan
serta pandangan pelbagai pihak, panggilan Yang di-Pertuan Besar diganti
dengan Yang di-Pertuan Agong atas alasan supaya tidak timbul sebarang
kekeliruan dengan Raja yang memerintah di negeri beradat itu.
Dari sudut sejarah juga jelas bahawa jawatan Yang di-Pertuan Agong
adalah lahiran Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (1957) dan
kemudiannya disambung oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia (1963).
SPBYDA adalah berasaskan konsep Raja Berperlembagaan atau Constitutional
Monarchy yakni Raja yang sentiasa kena mematuhi nasihat Jemaah Menteri
atau salah seorang yang mewakilinya (biasanya Perdana Menteri) seperti
yang dikehendaki Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.
Dari sudut kuasa legislatif pula SPBYDA adalah salah satu daripada 3
komponen yang mewujudkan Parlimen (Dewan Rakyat, Dewan Negara dan
SPBYDA). Parlimen di Malaysia tidak lengkap tanpa SPBYDA sebagai salah
satu komponennya. Sebab itu Baginda wajib menandatangani semua Rang
Undang-Undang yang diluluskan kedua-dua Dewan.
SPBYDA perlu dianggap sebagai mercu perlambangan ketua negara yang
paling tinggi lagi utama. SPBYDA sebagai Kepala Utama Negara (Paramount
Ruler) merupakan mercu kedaulatan Malaysia.
Semua rakyat tanpa mengira kaum, latar belakang agama, kebudayaan
atau kepercayaan sedia terpanggil untuk memberi penghormatan dan
pengiktirafan terhadap SPBYDA. Benar, Baginda adalah Raja berketurunan
Melayu yang beragama Islam, tetapi dari sudut kenegaraan Baginda adalah
Raja bagi Malaysia dan rakyatnya.
Larasan yang paling mudah ialah Ratu (Queen) Elizabeth di United
Kingdom yang melambangkan pihak di-Raja bagi semua rakyat Britain yang
sebahagian besar kini mewakili pelbagai kaum dan etnik. Cuma Ratu
Elizabeth tidak digilirkan kedudukan di-Rajanya lantaran pemerintahan
beraja secara Anglo-Saxon menjangkau 400 tahun lampau manakala di-Raja
Scotland dan England bersatu pada tahun 1603.
Selepas 11 April nanti gambar rasmi SPBYDA dan SPB Permaisuri Agong
seperti yang tertera pada rencana ini akan dipaparkan di semua pejabat
rasmi Kerajaan di setiap negeri. Begitu juga halnya di semua 104
kedutaan Malaysia di seberang laut.
Raja Berperlembagaan
Konsep dan amalan Raja Berperlembagaan di Malaysia diterima dan
disahkan oleh pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Reid sebagai paling
sesuai bagi negara ini. Ini adalah kerana sebelum mencapai kemerdekaan,
Raja-Raja Melayulah yang memegang tampuk kekuasaan dan kedaulatan bagi
setiap negeri. Walaupun dalam proses pergolakan bersejarah,
negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah berakhir
dengan ketiadaan Raja, pemerintahan beraja terus-menerus beroleh
pengiktirafan, khasnya di bawah pentadbiran kolonial British.
Selepas 1963 semua negeri yang tiada Raja (Pulau Pinang, Melaka,
Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan ) secara automatik menerima
SPBYDA sebagai Raja Berperlembagaan walaupun tiada perisytiharan dibuat
baginya untuk maksud itu.
SPBYDA merupakan Raja yang memerintah mengikut nasihat cabang
Eksekutif, Baginda. Sebenarnya baginda mempunyai senarai tanggungjawab
dan fungsi yang panjang lagi rumit bagi ketiga-tiga cabang Kerajaan –
Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman. Baginda melantik Perdana Menteri,
para Menteri dan Timbalan Menteri, Peguam Negara, para hakim mahkamah
semua peringkat (kecuali mahkamah mejistret) dan menauliahkan para duta
Malaysia untuk bertugas di kedutaan seberang laut.
Baginda menurut Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan menjadi Ketua
Turus Angkatan Tentera Malaysia di samping bertindak sebagai pihak yang
boleh mengampunkan atau menangguhkan bagi semua kesalahan yang
dijatuhkan mahkamah tentera dan kesalahan-kesalahan yang dilakukan di
wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Semasa Akta
Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) masih berkuatkuasa, Baginda juga
boleh bertindak atas hal berkaitan rayuan daripada Lembaga Penasihat
ISA.
Majlis Raja-Raja (MRR)
Majlis Raja-Raja (MRR) yang merupakan badan tertinggi di-Raja dan
yang memilih SPBYDA dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong diperuntukkan di
bawah Perkara 38. Walaupun hal-hal dasar kenegaraan juga boleh
diagendakan untuk MRR, kebanyakan hal yang dipertimbangkannya adalah
berkisar kepada perkara-perkara kedi-Rajaan, pengampunan, reprief dan
respit, adat-istiadat Melayu dan hal-hal yang berkaitan agama Islam.
Biasanya MRR juga memberi perhatian kepada pelantikan-pelantikan
tertentu seperti para hakim dan peraturan-peraturan yang diperbuat di
bawah Perkara 32 mengenai perkhidmatan awam.
Pendeknya SPBYDA terlibat dalam banyak hal dan urusan berkaitan
jawatan Baginda sebagai Kepala Utama Negara.
Program
Program-program khas mulai 11 April hingga 21 April tentunya mendapat
perhatian rakyat. Walaupun dari segi amalan dan susunannya tidak banyak
berbeza daripada amalan perayaan yang dijalankan pada masa lampau
lantaran perlu menjejak turutan tradisi, penegasan Jawatankuasa Induk
Pertabalan SPBYDA tertumpu kepada tema Raja dan Rakyat Berpisah Tiada.
Istiadat Pertabalan yang bakal dihadiri semua pihak diraja dan
Gabenor negeri-negeri pada 11 April (Rabu) akan diadakan mulai 9 pagi.
Ringkasnya, tema ini menegaskan perihal ‘tiada rakyat tiada Raja’ dan
hubungan antara kedua-dua entiti itu harus dipelihara dengan cermat lagi
berkesan dalam erti kata kepentingan rakyat tidak diabaikan. Sementara
itu institusi diraja Berperlembagaan sentiasa dipelihara dan dihormati.
Pada 12 April (Khamis) diadakan bacaan Yassin di Masjid Negara dan
disusuli dengan khutbah khas pada Jumaat 13 April.
Dijadualkan juga acara-acara keagamaan lain yang memberi ucap selamat
untuk SPBYDA melalui sesi agama masing-masing kaum. Satu pertandingan
golf diadakan pada 14 April (Sabtu) di Glenmarie Golf & Country
Club, Shah Alam mulai 7.40 pagi.
Pameran Raja Kita pada 15 April (Ahad) mulai jam 11 pagi di Istana
Negara Lama dijangka menarik minat rakyat. Pameran ini memuatkan
pelbagai aspek pemerintahan beraja dan institusi SPBYDA semenjak Merdeka
1957 hinggalah ke hari ini.
Sempena ini kira-kira 50,000 buku kecil Raja Kita akan diedarkan
khasnya bagi murid-murid sekolah dan generasi muda untuk mengenal dan
menghalusi ilmu pengetahuan darihal institusi diraja khasnya SPBYDA.
SPB Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajjah Haminah akan meraikan
sekumpulan besar kanak-kanak di Dewan Serbaguna Istana Negara Baru pada
21 April mulai 9 pagi.
Pelbagai acara keceriaan kanak-kanak akan berlangsung sekali gus
menggagaskan kepentingan kanak-kanak yang dilayani dengan penuh mesra.
Program raksaksa Persembahan Raja dan Rakyat Berpisah Tiada sebelah
malam 21 April di Dataran Merdeka adalah kemuncak perayaan pertabalan.
Pada malam itu diketengahkan pelbagai persembahan budaya pelbagai
kaum, hiburan muzik serta nyanyian dan acara-acara selingan yang
setimpal dengan malam kemuncak kepada perayaan Raja Kita.
Keunikan
Apa yang akan dilangsungkan bagi tempoh 11 hingga 21 April tentunya
akan menonjolkan satu keunikan bagi masyarakat yang berpaksikan Komuniti
1Malaysia: kita satu dalam kepelbagaian. Kita satu dalam menentukan
matlamat kenegaraan dan kita berani berbeza pendapat untuk melahirkan
yang terbaik untuk Malaysia.
Dalam usaha inilah institusi diraja – Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong menjadi paksi keutuhannya. Baginda bukan sahaja lambang
kenegaraan, keutuhan dan kesatuan tetapi juga simbolisme yang penuh
daulat.
Daulat Tuanku, Daulat Tuanku,
Daulat Tuanku
Rakyat dan Raja Berpisah Tiada
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaa, DATUK SERI DR. RAIS YATIM, Pengerusi Pertabalan SPBYDA ke-14.
/HWA: utusan.com.my | 11/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan