12 April 2012

Peneroka Felda jangan termakan hasutan pembangkang


Liow Tiong Lai (kanan) bersalaman dengan M. Ammani ketika menziarahi pesakit tulang belakang itu di Felda Sertik, Bentong, semalam.


BENTONG 10 April - Para peneroka Felda diminta membuat pilihan bijak dan tidak terpengaruh dengan hasutan pembangkang yang memainkan isu Felda Global Ventures Holding (FGVH) bagi memancing undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yakin masyarakat peneroka hari ini mampu berfikir dan menilai kebaikan yang dilaksanakan kerajaan menerusi pelbagai program bagi meningkatkan taraf hidup mereka.
Menurut beliau, penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia dilihat memberi banyak manfaat kepada peneroka, namun ia diputarbelitkan oleh pembangkang untuk kepentingan mereka.
Sehubungan itu, beliau menasihati warga peneroka supaya mendapatkan maklumat tepat mengenai FGVH daripada para pegawai Felda atau beliau sendiri supaya memahami isu yang dieksploitasikan oleh pembangkang.
"Saya lihat kekerapan kehadiran pemimpin pembangkang ke daerah ini bertujuan memutarbelitkan isu dan memesongkan kepercayaan penduduk.
"Namun, saya yakin penduduk daerah ini tidak mudah terpengaruh kerana sudah diberikan pendedahan menerusi program turun padang pemimpin dari peringkat akar umbi hingga atasan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi peneroka Felda Sertik, M. Ammani, 61, yang kini menderita sakit tulang belakang dan baru menjalani pembedahan di Hospital Assunta, Petaling Jaya, dekat sini petang semalam.
Pada lawatan itu, Tiong Lai yang juga Ahli Parlimen Bentong turut menjelaskan Yayasan MCA akan membayar baki hutang pembedahan Ammani yang masih tertunggak RM20,000.
Tiong Lai berkata, beliau sendiri akan selalu turun padang dengan lebih kerap bertemu penduduk dan menjelaskan isu semasa supaya maklumat disampaikan jelas serta tepat.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, pakatan pembangkang kini berbalah untuk bertanding di Parlimen Bentong sehingga menimbulkan masalah kepada mereka siapa yang sebenarnya akan bertanding di situ nanti.
Katanya, perkembangan itu menyaksikan kedua-dua parti tersebut gagal mencapai kesepakatan dan bagi menutup masalah tersebut, mereka memutarbelitkan pelbagai isu untuk meraih sokongan masyarakat di daerah ini.
Katanya, dalam meredakan masalah berkenaan, mereka mengetengahkan kehadiran pemimpin tertinggi pakatan pembangkang iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim turun ke Bentong bagi menyampaikan ceramah di sini.
''Sebenarnya, masing-masing dilihat mahu bertanding di kerusi Parlimen Bentong dan ia memperlihatkan wujud masalah antara parti pakatan pembangkang itu sendiri," katanya.
"Jadi, untuk menutup masalah itu supaya tidak diketahui umum, mereka cuba memutarbelitkan isu semata-mata meraih sokongan penduduk dengan mengetengahkan kehadiran pemimpin tertinggi tersebut ke daerah ini," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 11/4/12

Tiada ulasan: