MELAKA 21 Mei - Tindakan lebih tegas termasuk dilucut keahlian akan
diambil terhadap anggota UMNO yang dikesan mensabotaj parti itu sebelum
pilihan raya umum akan datang.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan
itu bertujuan mengelak risiko kehilangan lebih banyak sokongan terhadap
parti itu.
Beliau berkata sebelum ini tindakan tata tertib hanya dilakukan
selepas pilihan raya berakhir namun ia sudah terlewat untuk mengatasi
segala permasalahan yang timbul.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata masalah dalaman parti
kebanyakannya berpunca daripada individu yang merasakan mereka layak
menjadi calon pilihan raya namun tidak dipilih parti bagi bertanding di
sesebuah kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Pihak ibu pejabat (UMNO) telah meminta tiga nama bagi tiap-tiap
kawasan DUN dan Parlimen dan tidak mustahil dua daripada tiga nama itu
akan marah kerana tidak dapat menjadi calon, ditambah pula mungkin ada
calon-calon yang datang daripada senarai yang tidak dikemukakan oleh
bahagian tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks
Mutiara Pernama Kem Terendak di sini, hari ini.
Malah, katanya, mengikut kajian yang dilakukannya, sebanyak 47
kawasan Parlimen di seluruh negara disabotaj anggota parti sendiri pada
pilihan raya umum 2008 menyebabkan masalah kehilangan sokongan terhadap
parti itu.
Justeru, Ahmad Zahid berkata Jawatankuasa Disiplin UMNO kini telah
menjelajah ke seluruh negara bagi menjelaskan tindakan undang-undang dan
tata tertib yang boleh diambil jika terdapat sabotaj oleh anggota parti
itu. - BERNAMA.
/HWA: utusan.com.my | 21/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan