PULAU PINANG 20 Mei - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad
melahirkan rasa sedih dengan nasib orang Melayu di negeri ini yang
dilihat semakin ketinggalan dari arus pembangunan terutama tempat
tinggal mereka.
Beliau berkata, kediaman orang Melayu di sini masih daif meskipun
terdapat banyak bangunan yang cantik dan moden di sekelilingnya.
Menurutnya, gambaran sedemikian tidak sepatutnya berlaku di negara ini yang majoriti penduduknya terdiri daripada orang Melayu.
"Bila datang ke Pulau Pinang, saya rasa sedih kerana orang Melayu
nampak jauh ketinggalan. Mereka masih di tahap lama sedangkan di
sekelilingnya banyak bangunan pencakar langit yang indah-indah belaka,"
katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Bicara Minda anjuran Perhubungan Veteran UMNO negeri di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perhubungan Veteran UMNO Pulau Pinang,
Datuk Ismail Din dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk
Zainal Abidin Osman.
Dr. Mahathir memberitahu, orang Melayu di Pulau Pinang hidup seperti
golongan minoriti kerana mereka tidak mampu hidup selesa berbanding kaum
lain disebabkan hasil pendapatan yang kecil.
Kata bekas Perdana Menteri itu, beliau khuatir keadaan tersebut akan
merebak ke negeri-negeri lain jika orang Melayu tidak berbuat sesuatu.
Sehubungan itu, jelasnya, orang Melayu perlu memainkan peranan pada
Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan menentukan calon yang tepat untuk diundi.
"Meskipun orang Melayu kini berpecah kepada tiga parti iaitu UMNO,
Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), mereka masih boleh memainkan
peranan dengan menjadi penentu kepada keputusan pilihan raya umum nanti.
"Sebagai contoh, jika calon-calon MCA dan DAP bertanding di satu-satu
kawasan, kita (orang Melayu) perlu bijak untuk menentukan siapa yang
menang supaya kita boleh mendapat manfaat daripada pilihan kita itu,"
ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 21/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan