Mohd. Ridzuan Abdullah (tiga dari
kiri) bersama para peniaga Jalan Tuanku Abdul Rahman yang terjejas
pendapatan akibat perhimpunan Bersih 3.0 selepas membuat laporan polis
di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, semalam.
*****
KUALA LUMPUR 1 Mei - Pertubuhan Ikatan Usahawan
Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) hari ini membuat laporan polis
meminta siasatan dan tindakan diambil terhadap peniaga warga asing haram
yang didakwa turut menyertai perhimpunan Bersih 3.0 pada Sabtu lalu.
Presidennya, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, ramai peniaga di ibu
negara tampil membuat aduan kepada pihaknya memaklumkan mereka mengalami
kerugian besar akibat kekecohan yang tercetus semasa perhimpunan Bersih
3.0.
Beliau berkata, kerugian tersebut adalah kali kedua ditanggung oleh
peniaga berkenaan selepas melalui pengalaman sama semasa Bersih 2.0 pada
Julai tahun lalu.
"Kami membuat laporan kerana ramai peniaga di sekitar Kuala Lumpur
telah membuat aduan memaklumkan mereka mengalami kerugian besar akibat
Bersih 3.0.
"Semasa perhimpunan tersebut, difahamkan ramai peniaga warga asing
haram mengambil bahagian dan kita mahu pihak Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur (DBKL), Imigresen dan polis mengambil tindakan terhadap peniaga
berkenaan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu
Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.
Mohd. Ridzuan berkata, pihaknya juga meminta Suruhanjaya Hak Asasi
Manusia Malaysia (Suhakam) dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein supaya mengambil tindakan terhadap penganjur
Bersih 2.0, Bersih 3.0, Himpunan Patriot (Patriot) serta pemimpin
pembangkang yang terlibat dalam perhimpunan sebelum ini.
Beliau berkata, disebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak
mengambil tindakan terhadap penganjur Bersih 2.0, maka Bersih 3.0 muncul
pada Sabtu lalu dan tidak mustahil penganjur akan merancang mengadakan
Bersih 4.0 pada masa hadapan jika tiada tindakan tegas diambil terhadap
mereka.
Katanya, Ikhlas mewakili 317 peniaga yang terjejas pendapatan semasa
Bersih 2.0 juga kesal kerana permohonan pengesahan pihaknya untuk
menuntut ganti rugi sebanyak RM817,205 yang sudah diserahkan kepada
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail tidak mendapat maklum balas
sehingga kini.
"Kepada Peguam Negara, kita minta beliau segera memberi jawapan
kepada permohonan tersebut atau meletak jawatan jika gagal kerana
sikapnya adalah bertentangan dengan gagasan 1Malaysia yang mahu
direalisasikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu
'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'," ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd. Ridzuan turut menggesa para peniaga dan
pertubuhan bukan kerajaan di negara ini agar berhenti memberi sokongan
kepada pembangkang yang jelas tidak menghormati undang-undang dan sering
menyusahkan rakyat melalui tindakan mereka menganjurkan perhimpunan
haram seperti Bersih 3.0.
Katanya, tindakan menyokong pembangkang bukan sahaja menjejaskan
pendapatan peniaga tetapi ekonomi Melaysia secara keseluruhannya kerana
pelabur akan takut untuk datang ke negara ini apabila berlaku huru-hara.
/HWA: utusan.com.my | 2/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan