Ahamad Sabki Mahmood memberi makan
anak ikan kerapu hidrid di Pusat Teknologi Pembenihan Akuakultur Marin
(FRI) Tanjung Demong, Jabatan Perikanan, Besut, Terengganu baru-baru ini
sambil diperhatikan loleh Pegawai Penyelidik, Jabatan Perikanan, Sufian
Mustafa.
*****
Pusat Teknologi Pembenihan Akuakultur Marin (FRI) Tanjung Demong ,
Jabatan Perikanan merupakan antara pusat seumpamanya yang dimiliki oleh
jabatan tersebut,
Pada tahun 1988, (FRI) di Tanjung Demong memulakan inisiatif
pembenihan ikan kerapu setelah berjaya mengeluarkan benih ikan siakap.
Dua tahun kemudian, institut berkenaan berjaya mengeluarkan benih kerapu hijau dan dikenali di seluruh negara.
Bagaimana pun teknologi tersebut tidak berjaya dikembangkan kepada
pihak industri ekoran terdapat beberapa kerumitan dari segi teknikal
yang berkaitan ciri-ciri biologi spesies tersebut.
Antara permasalahan yang dikenalpasti ketika itu adalah nisbah
jantina yang tidak seimbang (kekurangan induk jantan yang ketara), kadar
hidup yang rendah di peringkat pembenihan dan ternakan akibat pelbagai
masalah penyakit yang sukar dikenal pasti dan dirawat
Pada tahun 1994, pusat berkenaan telah mengambil inisiatif
memperkenalkan spesies baru iaitu kerapu harimau dan setahun kemudian
berjaya mengeluarkan benih kerapu tersebut secara besar-besaran.
Malah, teknologi pembenihan kerapu harimau turut dikembangkan di
kalangan pengusaha tempatan biarpun agak perlahan berbanding di
Indonesia kerana kekangan bekalan induk yang hanya boleh diperolehi di
Sabah.
Aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) pembenihan kerapu di
FRI tersebut terhenti. Namun ia dibangunkan semula pada tahun 2004 untuk
membiak kerapu kertang.
Pihak FRI Tanjung Demong turut mengalami masalah kerana kerapu
kertang agak sukar dibiakkan berikutan tahap kematangan induk-induk
betina yang dipelihara di pusat pembenihan tidak mencapai tahap optimum
untuk tujuan aruhan pengeluaran telur.
Bagi induk jantan pula, biarpun telah berada pada tahap optimum, bilangannya yang rendah menyukarkan proses pembiakan.
Namun kejayaan sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Sabah
(UMS) menghasilkan benih kerapu hibrid telah mendorong FRI Tanjung
Demong mengambil inisiatif untuk turut menghasilkan kerapu hibrid
menggunakan stok induk kerapu kertang dan kerapu harimau yang sedia ada.
Justeru, mulai pada tahun 2009, melalui kerjasama R&D antara FRI
Tanjung Demong dan Seraya Akuatik Sdn. Bhd., teknologi pembenihan kerapu
hibrid berjaya dibangunkan secara besar-besaran.
/hwa: utusan.com.my | 28/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan