KUALA LUMPUR 22 Mei - Pemimpin-pemimpin tertinggi
Pas dicabar untuk membuat kenyataan sama ada bersetuju atau tidak
dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu individu bukan Melayu iaitu
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menjadi perdana menteri.
Cabaran itu dilontarkan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) yang melihat insiden kononnya Karpal hampir tersasul menyebut Guan
Eng sebagai Perdana Menteri pada satu majlis di pasar Air Itam, Pulau
Pinang semalam sebagai bukan disengajakan.
Sebaliknya, NGO-NGO berkenaan melihat pihak berkenaan sudah memasang
niat untuk memastikan perkara itu berlaku jika pembangkang menang pada
Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Setiausaha Gabungan NGO Malaysia, Mohd. Jurit Ramli berkata,
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presidennya, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang perlu tampil untuk menjawab persoalan tersebut.
"Sanggupkah mereka menerima kenyataan tersebut dalam keadaan umat
Melayu Islam sekarang berpecah-belah akibat dolak-dalik yang dibuat oleh
pemimpin Islam Pas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam insiden berkenaan yang dilaporkan oleh The Star hari ini, Karpal seterusnya menjelaskan bahawa tiada salahnya dengan konsep bukan Melayu menjadi perdana menteri.
Menurut Mohd. Jurit, Pas pada hari ini sudah dilihat oleh umat Islam
sebagai kuda tunggangan DAP, malah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar
Ibrahim sendiri mengaku bersedia menjadi kuda tunggangan DAP, justeru
kenyataan Karpal itu bukanlah suatu mainan.
Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah juga mencabar pemimpin tertinggi Pas untuk menjawab kenyataan Karpal itu secara terbuka.
"Apa yang diucapkan oleh Karpal itu bukan perkara mustahil dan kita
mahu parti sekutu DAP iaitu Pas untuk menjawab sama ada setuju atau
tidak kerana kita tengok sejak kebelakangan ini Pas meletakkan
kepentingan yang pelik-pelik dalam partinya," katanya.
Kata beliau, Pas perlu sedar bahawa mereka sepatutnya menjadi parti
yang dominan dalam pakatan pembangkang, bukan membiarkan DAP
menjadikannya sebagai kuda tunggangan yang sekali gus akan menghancurkan
umat Islam dan Melayu.
/hwa: utusan.com.my | 23/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan