KUALA LUMPUR 22 Mei - Bekas Ketua Polis Negara
(KPN), Tan Sri Musa Hassan mendedahkan, beliau pernah dipelawa untuk
menyertai sebuah parti politik pembangkang ketika masih berkhidmat dalam
Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Musa yang bersara pada 12 September 2010 berkata, pelawaan itu datang
daripada presiden parti tersebut ketika beliau bertugas sebagai Ketua
Polis Negara.
"Bagaimanapun, saya menolak pelawaan itu kerana dalam pasukan polis,
kami tidak diajar untuk mencampuri urusan politik dan hal-hal lain
dengan tugas.
"Sehingga sekarang, saya masih mengekalkan prinsip sama iaitu tidak
akan terlibat dengan mana-mana parti politik kerana ia membuatkan saya
lebih bebas untuk bersuara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 4 Mei lalu, Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat
Polis Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari menyertai Pas dengan alasan untuk
membantu parti tersebut.
Borang keahlian Fauzi diserahkan kepada Presiden Pas, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang pada Majlis Pengisytiharan Perdana Bekas Pegawai
Tertinggi PDRM Sertai Pas di Taman Kota Wira, Ulu Sepetang di Taiping,
Perak.
Ditanya mengenai penglibatan bekas pegawai polis itu dalam politik
berkata, Musa berkata, Fauzi berhak menyertai mana-mana parti politik
kerana itu hak beliau selain kedudukannya yang sudah bersara.
Bagaimanapun, katanya lagi, beliau kini lebih selesa menghabiskan
usia persaraan bersama ahli keluarga terutama dengan cucu-cucunya
daripada melibatkan diri dengan politik.
"Saya lebih gembira melayan kerenah cucu-cucu kerana dulu semasa berada dalam polis saya kesuntukan masa untuk berbuat demikian.
"Oleh itu, mustahil jika saya menyertai parti politik ketika ini
walaupun dipelawa. Dalam tempoh persaraan ini, saya tidak pernah lagi
menerima pelawaan untuk menjadi ahli parti tertentu," ujarnya.
Musa kini bertugas sebagai tenaga pengajar di Universiti Teknologi
Mara (UiTM) Shah Alam di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan
Informasi.
"Lebih elok saya menyampaikan ilmu kepada remaja tentang keselamatan
negara serta mendidik mereka supaya dapat menjaga keselamatan negara
pada masa depan.
"Saya gembira dapat menyumbangkan ilmu dan berkongsi pengalaman
dengan pelajar kerana mereka adalah pewaris masa depan negara," kata
beliau.
/hwa: utusan.com.my | 23/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan