Telur ikan yang telah disenyawakan diletakkan dalam sebuah tangki khas.
*****
TEKNOLOGI hibrid sebenarnya telah lama kita ketahui malah ramai di
kalangan masyarakat awam turut menyokong penyelidikan dan pengembangan
dalam teknologi ini.
Bermula daripada produk pertanian seperti padi hibrid sehingga kepada kenderaan yang juga dilengkapi teknologi tersebut.
Kini, produk akuakultur juga tidak ketinggalan melalui proses teknologi hibrid.
Terbaru adalah penghasilan kerapu hibrid hasil kacukan induk kerapu harimau (epinephelus fuscoguttatus) dan kerapu kertang (epinephelus lanceolatus).
Kerapu harimau, kerapu kertang dan kerapu hibrid hasil kacukan
kedua-dua spesies tersebut merupakan antara yang paling banyak di ternak
di Malaysia.
Ia berikutan faktor harganya yang mahal di samping memenuhi kriteria
pemilihan spesies untuk akuakultur seperti tahan lasak, tahan penyakit
dan benih yang mudah diperolehi.
Kerapu harimau merupakan spesies bersaiz sederhana yang lebih mudah dibiakkan tetapi agak lambat membesar.
Manakala kerapu kertang merupakan yang paling cepat membesar namun
sukar untuk dibiakkan berikutan kegagalan induk betina mengeluarkan
telur secara semulajadi atau aruhan.
Justeru, kacukan kedua-dua spesies tersebut berjaya menyelesaikan
masalah berkenaan kerana benih kerapu hibrid mewarisi ciri-ciri
perantaraan yang baik daripada kedua-dua induk asal.
Antaranya, lebih tahan penyakit, cepat membesar dan morfologi yang menarik di samping harga yang tinggi dipasaran.
Ciri-ciri tersebut menyebabkan kerapu hibrid menjadi pilihan penternakan marin tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Harga pasaran ikan kerapu hibrid pernah melonjak sehingga RM70
sekilogram (kg). Namun kini harganya agak menurun pada kadar RM40 hingga
RM50 per kg di sebabkan faktor penawaran atau bekalan yang semakin
meningkat.
Menurut Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood, ikan
kerapu menyumbang kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan hasil
pengeluaran akuakultur ikan marin negara.
"Ia mendapat permintaan tinggi dalam bentuk ikan hidup di pasaran luar negara khususnya Hong Kong dan China.
"Malah, hasil pengeluaran akuakultur ikan marin negara kini mencecah
35,000 tan metrik setahun," katanya ketika berucap merasmikan Promosi
Teknologi Akuakultur Ikan Kerapu di Pusat Teknologi Pembenihan
Akuakultur Marin (FRI) Tanjung Demong, Jabatan Perikanan, Besut,
Terengganu baru-baru ini.
Jelas Ahamad Sabki, ternakan ikan kerapu secara komersial dalam sangkar di kawasan laut terlindung bermula sejak 1973.
Antara spesies terawal dan paling digemari pada ketika itu adalah kerapu hijau (epinephelus suillus). Namun bekalan benih ikan tersebut amat terhad dan bermusim serta hanya diperolehi dari sumber semulajadi.
Bermula 1990an, bilangan spesies kerapu yang diternak semakin
bertambah menggunakan benih liar dan benih yang diimport dari Taiwan dan
Indonesia.
Ia termasuk kerapu merah (epinephelus bleekeri), kerapu tikus (cromeleptis altivelis) dan kerapu sunoh (plectropomus leopardus).
Kini, teknologi pembenihan kerapu hibrid berjaya dikembangkan oleh
beberapa pengusaha tempatan termasuk pengusaha pusat pembenihan Industri
Kecil Sederhana (IKS) yang mendapat bimbingan secara terus daripada FRI
Tanjung Demong.
Harga semasa telur kerapu hibrid yang dihasilkan mencecah RM6,000
hingga RM10,000 bagi sejuta biji dan harga benih yang bersaiz 7.5
sentimeter (sm) di antara RM8 hingga RM10 per ekor.
Kerapu kertang dipilih sebagai spesies kacukan kerana ia mempunyai
ciri-ciri fenotip yang baik seperti cepat membesar dan tahan kepada
perubahan persekitaran.
Ciri-ciri tersebut dapat mengurangkan risiko semasa peringkat ternakan.
Kerapu hibrid boleh mencapai saiz pasaran satu kg hingga 1.2 kg dalam
masa yang singkat iaitu 10 hingga 12 bulan berbanding kerapu harimau
sehingga 15 bulan bermula dari peringkat telur.
Proses atau kaedah pembiakan dibuat secara in vitro, di mana mani dan telur disenyawakan di luar badan dengan bantuan suntikan hormon.
Apabila induk kerapu harimau betina telah sedia untuk mengeluarkan
telur, lurutan dibuat pada bahagian abdomen secara perlahan bagi
mengeluarkan telur-telur ke dalam bekas yang kering dan bersih.
Manis kerapu kertang akan dicampurkan dengan telur kerapu harimau dan
di kacau sehingga sebati. Selepas beberapa minit, telur yang tersenyawa
dimasukkan ke dalam tangki yang diisi air laut untuk proses
perkembangan telur berlaku.
Penetasan telur berlaku di antara 16 hingga 18 jam selepas telur
disenyawakan dan dianggarkan 300,000 hingga 500,000 biji telur
diperolehi bagi setiap sekilogram induk betina.
Telur-telur yang disenyawakan akan dipindahkan ke dalam tangki
pembenihan untuk jangka masa 30 hingga 40 hari sehingga selesai
peringkat metamorfosis sebelum dituai.
Perubahan persekitaran dan faktor kualiti telur boleh menyebabkan
kematian (mortaliti) yang tinggi pada peringkat sebelum metamorfosis.
Benih perlu dikelaskan dari masa ke semasa bagi mengurangkan
kanibalisme (tabiat makan sesama sendiri) terutamanya pada saiz 2.5 sm
hingga 7.5 sm.
Pada umur 100 hari selepas ditetaskan kerapu hibrid mencapai saiz
10-12 sm dan sedia untuk dipindah ke dalam sangkar atau kolam
penternakan seterusnya di pelihara sehingga mencapai saiz matang untuk
di jual.
/hwa: utusan.com.my | 27/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan