AHLI UMNO mengibarkan bendera Barisan
Nasional di Kenduri Rakyat 1Malaysia di perkarangan Sekolah Agama Rakyat
Simpang Tiga, Sungai Acheh, Nibong Tebal, baru-baru ini. - Gambar
hiasan
*****
PARTI UMNO/Barisan Nasional (BN) mengamalkan perkongsian kuasa
melebihi daripada konsep berparti itu sendiri. Perkongsian kuasa antara
parti berbilang kaum yang diterjemahkan sebagai Perikatan dan BN dalam
sistem politik Malaysia amat unik. Ia bermula daripada penubuhan UMNO
pada 1946.
Sejarah perjuangan UMNO bermula apabila Inggeris berhasrat menjajah
secara total Tanah Melayu melalui gagasan Malayan Union. Sejak itu, UMNO
dan BN terus memerintah negara hinggalah ke hari ini.
Sejak 1999, pihak pembangkang banyak meniru cara dan konsep UMNO dan
BN kerana mendapati BN berjaya melayari bahtera parti itu sehingga
banyak menghasilkan kejayaan dalam semua bidang.
Konsep kerjasama Perikatan/BN dilihat mudah, berdasarkan kedudukan
kaum, pragmatik dan saling memerlukan. Manakala kerjasama antara parti
pembangkang lebih tertumpu kepada ideologi politik masing-masing. Sebab
itu sering berlaku konflik ideologi di mana rakyat juga tidak faham
prinsip parti itu dan sering berubah pula.
Oleh sebab negara ini terhasil daripada proses penjajahan yang lama,
maka perjuangan UMNO bukan sahaja untuk kaum bumiputera tetapi juga
mengambil kira kepentingan kaum bukan Melayu melalui konsep BN yang
tentunya diasaskan kepada kedudukan kemajmukan masyarakat yang terdiri
daripada berbilang kaum. Mahu tidak mahu itulah realiti kehidupan
masyarakat negara ini.
Setakat ini, dikatakan hanya parti UMNO yang mewakili orang Melayu,
MCA dan MIC mewakili kaum Cina dan India yang serasi membawa sistem
politik pelbagai parti dan kaum. Konsep itu telah berjaya memenangi hati
rakyat hinggalah pada PRU-12 lalu, apabila BN diuji lagi dengan
mengalami kejutan yang mana parti berkonsepkan pelbagai kaum itu
tercabar. Ia mengalami kemerosotan sokongan daripada pengundi bukan
sahaja orang Melayu tetapi juga bukan Melayu.
Lima buah negeri diperintah oleh pembangkang yang juga berkonsepkan
parti berbilang kaum yang dikatakan sama seperti konsep BN. Sebelum 1999
parti-parti pembangkang bergerak sendiri dengan perjuangan
kemelayuan/keislamannya (Pas), perjuangan kecinaannya (DAP) dan
akhir-akhir ini PKR dengan sosialisme.
Bukanlah menjadi rahsia sebenarnya kejayaan UMNO dan BN sepanjang 66
tahun lalu. Kejayaan besar Perikatan dan BN ialah menjalin hubungan
antara kaum yang kukuh sehingga wujudnya kontrak sosial, yang antara
lain UMNO dan orang Melayu mengakui kehadiran kaum bukan Melayu, memberi
kerakyatan kepada hampir satu juta bukan Melayu pada masa kemerdekaan
dahulu. Dengan pemberian itu ramai daripada mereka bergerak aktif dalam
politik pemerintah dan tidak kurang juga pembangkang hari ini.
Pembentukan Malaysia juga diperjuangkan oleh UMNO dan Perikatan/BN
dan seterusnya memasukkan parti-parti komponen dari Sarawak dan Sabah.
Kekuatan Perikatan/BN itu juga dapat mengurangkan pengaruh komunis, dan
sebahagian orang Cina kembali ke pangkuan masyarakat dan mengakui akan
ketuanan Melayu, bahasa kebangsaan, raja-raja Melayu dan Perlembagaan
Malaysia. Kekuatan Perikatan/BN juga dapat menghadapi Konfrontasi
Indonesia pada 1963 hingga 1966 dahulu.
Semua kaum ada memegang jawatan menteri, timbalan menteri, setiausaha
parlimen, setiausaha politik, senator dan ahli majlis perbandaran,
daerah dan sebagainya. Dengan kekuatan dan kestabilan politik BN juga
DEB diwujudkan pada 1971 dan kini masyarakat bumiputera umumnya
mengalami perubahan besar dalam pembangunan ekonomi dan sosial.
Kadar kemiskinan dari 79 peratus dapat dikurangkan sehingga kurang
dari dua peratus hari ini. Cuma yang digelar sesetengah pihak ialah
komponen-komponen parti dalam BN menjadi boneka UMNO. Gelaran yang sama
diberikan kepada Pas kini yang dikatakan sebagai boneka DAP! Sebenarnya
UMNO tidak begitu.
UMNO adalah sebagai tonggak dalam BN yang mewakili penduduk majoriti
Melayu/bumiputera di negara ini. Berbanding konsep kerjasama
pembangkang, ia nampak stabil di kalangan mereka, tetapi tujuan utama
tidak seperti BN yang mengambil kira kepentingan setiap kaum.
Dalam Pakatan Pembangkang, tujuan utama kerjasama mereka untuk
menumbangkan BN dan menguasai Kerajaan Pusat dan negeri. Hal pembangunan
dan perpaduan antara kaum itu ditolak tepi terlebih dahulu.
Keutuhan Perikatan/BN bukan sahaja tercalar pada PRU-12, 2008 yang
lalu, tetapi pernah mengalami kemerosotan politik pada 1969, apabila
politik perkauman sempit mengambil tempat. Ia berlaku apabila sejumlah
pengundi Melayu beralih kepada Pas dan orang bukan Melayu kepada DAP.
Tetapi apabila Tun Razak mengambil alih pemerintahan negara pada 1970,
BN kembali kukuh dan kaum Cina kembali kepada BN.
Sehinggalah pada 2004 sokongan kaum Cina tidaklah berkurangan, tetapi
pada 2008, ternyata orang Cina dan India beralih semula sokongan kepada
DAP dan pakatan pembangkang. Pada hemat saya, sokongan mereka itu tidak
kekal, sebab tingkah laku pengundi Cina tidaklah selamanya tetap kekal
kepada DAP atau pakatan pembangkang.
Berasaskan kepada realiti politik Malaysia, mungkin sokongan terhadap
pakatan pembangkang tidak berkekalan sebagaimana yang berlaku pada 1974
atau 2004. Mungkin pendapat ini tidak dipersetujui oleh pemerhati yang
mirip pembangkang, kerana situasi dulu tidak sama dengan yang terdapat
hari ini, tetapi itulah politik. Sejarah boleh berulang.
Persoalan masih timbul dalam kalangan para penganalisis politik dan
ahli-ahli politik kini iaitu apakah realiti politik di Malaysia dan
apakah trend sokongan kepada pembangkang seperti PRU-12 yang lalu akan
berkekalan dan muncul lagi pada PRU-13?
DAP yang merupakan parti pembangkang kaum Cina terbesar bergerak
mara hingga membentuk kerjasama longgar dengan Pas pada 1999 dan
kemuncaknya pada PRU 2008 dengan PKR yang turut serta mewujudkan pakatan
sebagai pembangkang tunggal yang mencabar BN, dilihat menghadapi
masalah dengan rakan-rakan komponennya.
Walaupun DAP dalam pakatan pembangkang, ideologi mereka masih tidak
sama dengan ideologi Pas. Tindakan pentadbiran di Pulau Pinang semacam
tidak menggambarkan kerjasama dengan Pas atau PKR. Sebagai komponen
utama pakatan pembangkang, Pas dan PKR juga tidak bersuara dalam hal-hal
seperti ini. Ini berbeza dengan BN yang tentunya tidak menolak sama
sekali akan realiti masyarakat dan sejarah negara ini yang berpaksikan
kemajmukan!
Pendek kata MCA, MIC dan Gerakan lebih praktikal dan tahu akan
sejarah pembentukan negara ini dan menyedari bahawa tanpa bekerjasama
dengan UMNO yang ketika merdeka dahulu mewakili sebahagian besar orang
Melayu, keadaan nasib kaum Cina dan India tidak terjamin.
Begitu juga PKR yang pada mulanya disemarakkan oleh Anwar Ibrahim
yang memimpin PKR dan pakatan pembangkang, maka DAP berserta dengan Pas
juga menghadapi masalah walaupun pada PRU-12 berjaya mempengaruhi
sebahagian daripada pengundi Cina untuk menyokong perjuangan PKR yang
dikatakan mirip ideologi DAP, tetapi kini arah tuju pemimpin itu sudah
tidak keruan.
Sejarah berulang semula! Gelagat Pas kelihatan kurang sedar akan
taktik DAP dan PKR yang mahu menjadikannya alat! Apakah kesudahannya DAP
yang mahu menjadi jaguh kaum Cina dan semakin berlagak menjadi jaguh
pakatan pembangkang? Apalagi dengan Anwar berdepan dengan masalah
peribadinya.
Pakatan pembangkang meniupkan anti-UMNO dan BN serta bercita-cita
hendak menukar sistem politik Malaysia kepada republik dan menentang
sebahagian daripada Perlembagaan negara jelas telah berjaya mempengaruhi
sebahagian pengundi Cina dan juga Melayu yang tidak begitu faham dengan
sejarah dan selok-belok politik negara ini (besar kemungkinan faktor
sejarah kenegaraan kurang dititikberatkan di kalangan generasi muda!)
Ideologi DAP tidak mengakui hakikat masyarakat berbilang kaum dan
tidak mengakui politik berasaskan kerjasama antara kaum. DAP masih
mengharapkan kerja sama dari Pas dan PKR tetapi kedua-dua parti itu juga
tidak dapat dibuktikan boleh memberi jaminan kesejahteraan kepada semua
kaum di negara ini.
Trend kini saya lihat, kehadiran pengundi bukan Melayu telah menyerap
di banyak kawasan Parlimen/DUN yang dulunya didominasi pengundi Melayu
hingga menyebabkan daripada 80 peratus Melayu kepada hampir 50 peratus
sahaja. Pada PRU-PRU sebelum ini tidak menjadi masalah kerana pengundi
bukan Melayu itu menyokong BN. Kini mereka beralih kepada pembangkang!
Nampak kini kebanyakan kerusi Parlimen terutama di Pantai Barat
Semenanjung, pengundi bukan Melayu semakin menjadi penentu kemenangan BN
atau pakatan! Pemimpin UMNO kena lihat landskap politik seperti ini,
jangan sampai mereka menyeberang sempadan yang boleh menggerhanakan
sokongan rakyat kepada BN!
Pada hemat saya, berdasarkan kepada teori politik di Malaysia,
politik pragmatik dan pelbagai kaum adalah paling sesuai, dan yang
berasaskan perkauman sempit tidak dapat diterima untuk jangka panjang.
Sebab itu kerjasama antara parti politik dalam BN kelihatan lebih
ikhlas walaupun dikata pembangkang sebagai parti yang usang. Tetapi
itulah realiti politik Malaysia, yang majmuk sifatnya, yang perlu
bertoleransi, tidak semudah itu bermain politik perkauman! Politik geram
dan sentimen kaum tak ke mana. Percayalah.
PROFESOR DR. AHMAD ATORY HUSSAIN, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia.
/HWA: utusan.com.my | 11/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan