Pemimpin dan penyokong Pas perlu
bermuhasabah untuk menilai apakah tindak-tanduk mereka dalam berpolitik
bersesuaian dengan seruan Islam.
*****
MUNGKIN pemimpin dan penyokong Pas tidak akan
senang dengan pandangan Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh
Dr.Sulaiman Saloomi yang menegaskan, fatwa yang menyatakan undi sesebuah
parti itu akan masuk syurga adalah suatu kejahilan, kebodohan,
kesesatan serta tidak sepatutnya keluar daripada mulut orang berakal,
lebih-lebih lagi daripada seorang muslim yang peka dirinya diawasi Allah
dalam setiap percakapan dan perbuatannya.
Selain itu dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia juga,
Sheikh Dr. Sulaiman turut mengingatkan kaedah kafir mengkafir yang
digunakan oleh seseorang orang Islam dan sesetengah ahli parti politik
adalah tidak dibenarkan.
Bahkan beliau turut mengingatkan bahawa seorang Muslim tidak
dibenarkan untuk bersepakat dengan mana-mana orang bukan Islam dalam apa
juga keadaan sekali pun untuk menentang saudara seIslamnya.
Walaupun dalam wawancara itu beliau tidak menyebut mana-mana parti
politik di negara ini, namun bagi penulis tidak salah jika kita merujuk
apa yang diperkatakan itu berkait rapat dengan amalan politik Pas.
Mungkin seperti biasa pandangan daripada tokoh-tokoh ulama di luar
lingkungan Pas tidak akan dipedulikan oleh penyokong tegar mereka,
maklumlah parti itu sudah ada Dewan Ulama dan mursyidul amnya.
Namun begitu mereka juga perlu faham bahawa Sheikh Dr. Sulaiman tidak
mempunyai apa-apa kepentingan politik. Beliau melahirkan pandangan
tersebut sebagai seorang ulama yang merujuk kepada al-Quran dan hadis.
Oleh itu, pemimpin dan penyokong Pas janganlahterlalujumud untuk
menolak pandangan ulama di luar lingkungan parti mereka semata-mata
kerana ketaksuban kepada politik.
Hakikatnya, sebahagian umat Islam sudah bosan dengan mainan politik
Pas yang dilihat tidak sudah-sudah memperalatkan cogan kata, slogan dan
seruan berbentuk keislaman untuk meraih undi.
Kalau mereka benar-benar memperjuangkan Islam sudah pasti parti itu
akan mengamalkan sikap mengakui antara yang hak dan batil. Jika sesuatu
teguran yang dibuat oleh mana-mana ulama berkaitan dengan tindakan
politik mereka adalah benar maka akui sahaja.
Tetapi malangnya keadaan sering berlaku sebaliknya, malahan masih
jelas di ingatan kita bagaimana Pas menolak dan mempertikaikan keputusan
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan demonstrasi jalanan.
Pelbagai hujah mereka keluarkan bagi mempertahankan tindakan politik
songsang mereka, justeru bukanlah sesuatu yang menghairankan jika
kenyataan Sheikh Dr. Sulaiman turut akan ditolak oleh Pas.
Sikap politik sesetengah pemimpin dan penyokong Pas yang merasakan
hanya ulama mereka sahaja berhak menegur parti itu akan merugikan umat
Islam.
Namun dalam masa sama oleh kerana kejumudan dalam berpolitik, biar
pun teguran dibuat oleh ulama Pas sekali pun kalau ia dilihat tidak
menguntungkan politik parti itu, maka ia akan ditolak bulat-bulat.
Masih ingatkah kita peristiwa Dewan Ulama Pas memberikan kata dua
kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim
sama ada menarik balik kenyataan menyokong sebarang usaha melindungi
keselamatan negara Israel dalam The Wall Street Journal atau menyaman majalah itu.
Ketika itu Anwar dilihat seolah-olah tidak mempedulikan Dewan Ulama
sebaliknya bertemu memberikan penjelasan kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat. Selepas itu isu berkenaan diam begitu sahaja.
Begitu juga dalam isu muzakarah apabila, Ketua Dewan Ulama Datuk Dr.
Harun Taib menegaskan ia perlu diadakan tanpa syarat, adakah ia
didengari oleh kepimpinan Pas biar pun ia bertepatan dengan kehendak
Islam?
Sudah pasti tidak sebaliknya, Pas menolak mentah-mentah usaha itu
biar pun ia idea asal mereka dengan alasan isu tersebut sudah
dimanipulasikan.
Biarpun dari semasa ke semasa banyak tindakan politik Pas
bertentangan dengan seruan Islam dan telah pun mengubah haluan
perjuangannya dari negara Islam kepada negara berkebajikan namun Pas
tetap menganggap mereka parti Islam.
Sebab itulah, Pas lebih cenderung untuk menuduh UMNO menolak Islam
dengan matlamat bagi membuktikan merekalah perjuang Islam sebenar.
Tetapi dalam masa yang sama banyak tindakan Pas boleh menjejaskan
imej Islam, ini termasuklah bersekongkol dengan mereka yang menyokong
pluralisme dan seks songsang.
Walaupun pemimpin Pas memahami bahawa mereka tidak sepatutnya berbuat
demikian tetapi parti itu sudah tidak ada pilihan kerana terikat dengan
perjanjian politik merebut kekuasaan dengan PKR dan DAP.
Keadaan itu diburukkan lagi dengan sikap kemaruk Pas untuk menagih
undi daripada bukan Melayu, oleh itu Pas cuba tidak begitu menunjukkan
keghairahan mereka bagi memperjuangkan Islam.
Keadaan ini sudah tentulah mengelirukan umat Islam kerana mereka tidak pasti apa sebenarnya yang diperjuangkan oleh Pas.
Atas sebab itulah, wawancara dengan Sheikh Dr. Sulaiman harus
diteliti dan dinilai dengan sebaik-baiknya oleh Pas jika benar mereka
mengaku pejuang Islam.
Apa yang dihujah dan dinyatakan oleh ulama tersebut adalah demi
kebaikan umat Islam di negara ini yang semakin berpecah-belah kerana
perbezaan ideologi politik.
Sebab itulah Sheikh Dr. Sulaiman menekankan bahawa perkara utama yang
perlu diselesaikan terlebih dahulu ialah masalah perpecahan supaya umat
Islam menjadi umat yang bersatu.
Tetapi impian itu tidak akan tercapai di negara ini jika Pas terus
memikirkan kepentingan politik semata-mata dan terus berpegang kepada
pendirian bahawa UMNO menolak Islam.
Walaupun dakwaan terhadap UMNO itu dibuat secara konsisten oleh
seorang sahaja pemimpin Pas namun beliau mempunyai pengaruh yang cukup
besar dalam parti berkenaan.
Lebih malang lagi, Pas bersedia bekerjasama dengan PKR yang
memperjuangkan kesamarataan dan DAP yang menolak penubuhan negara Islam
semata-mata kerana mahu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang
tonggak utama ialah UMNO - iaitu parti Melayu dan umat Islam terbesar
di negara ini. Kalau beginilah sikap Pas yang sanggup melakukan apa
sahaja demi meraih kuasa, bagaimana mungkin umat Islam di negara ini
akan bersatu padu dan bertambah kukuh.
Sekarang bukanlah masa untuk menuding jari menuduh siapa yang
bertanggungjawab memecah belah ummah, kalau hujah ini mahu diperdebatkan
sudah pasti Pas akan kalah. Ia kerana apa yang dicatatkan dalam
perjalanan sejarah politik negara tidak akan mampu dipadamkan oleh Pas.
Pemimpin dan penyokong Pas boleh sahaja membutakan mata dan
memekakkan telinga terhadap apa yang disarankan oleh Sheikh Dr.
Sulaiman. Namun mereka perlu memahami bahawa pendekatan politik yang
diamalkan oleh parti itu sekarang sama sekali tidak akan menguntungkan
Pas.
Mungkin Pas perlu merenung ingatan Sheikh Dr.Sulaiman,''Apa yang
dituntut oleh dalil ialah memelihara persaudaraan Islam dan memilih
mereka yang paling sesuai dan berkelayakan untuk memimpin ummah. Inilah
politik umat Islam yang sebenar.''
Soalnya apakah sikap ini ada pada Pas yang memukul canang mengatakan mereka masih parti Islam? Fikirkanlah!
/hwa: utusan.com.my | 28/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan