KUALA LUMPUR 19 Jun - Ketua Pengarah, Unit Kerjasama Awam Swasta,
Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ali Hamsa, 57, hari ini
diumumkan sebagai Ketua Setiausaha Negara yang baru berkuat kuasa mulai
24 Jun 2012.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata,
beliau menggantikan Tan Sri Mohd. Sidek Hassan yang akan tamat kontrak
perkhidmatannya pada 23 Jun ini.
Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Ali, kata kenyataan itu.
Ali yang dilahirkan di Kluang, Johor pada 29 Ogos 1955, berkelulusan
Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya dan
Ijazah Sarjana Ekonomi serta Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang
Environmental Science & Economics dari Oklahoma State University,
Amerika Syarikat.
Beliau mula berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 5
Jan 1981 sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Perdagangan dan
Perindustrian.
Beliau mempunyai pengalaman kerja yang sangat luas di Unit Perancang
Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dari 16 Dis 1997 hingga 21 April
2009.
Di jabatan itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Seksyen
Pembahagian dan Timbalan Ketua Pengarah, Program National
Transformation & Advancement sebelum menjawat tugas sebagai Ketua
Pengarah, UKAS, JPM pada 22 April 2009.
"Kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih
kepada Tan Sri Mohd. Sidek di atas segala khidmat bakti beliau di
sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara khususnya
dalam usaha-usaha mengukuhkan sistem penyampaian Perkhidmatan Awam
dengan memperkenalkan pelbagai pembaharuan demi memastikan agenda
pembangunan negara yang dirancang dilaksanakan dengan jayanya," kata
kenyataan itu. - BERNAMA
/hwa: utusan.com.my | 19/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan