JAMIL Khir Baharom berjabat tangan
dengan Dekan Fakulti Syariah, Universiti Al-Bayt Jordan, Syeikh Dr.
Mohammad Ali Ibrahim Alzoghool sambil diperhatikan oleh
pembentang-pembentang kertas kerja pada Seminar Antarabangsa Fiqh
Mentaati Pemimpin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.
*****
KUALA LUMPUR 17 Jun - Umat Islam mesti dididik menilai kerajaan dan
pemimpin dengan tanda aras yang betul berdasarkan fakta, bukannya
mengikut emosi serta sentimen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom
berkata, umat Islam perlu didedahkan dengan kerangka fiqh yang tepat
bagi menyusun kesetiaan dan mengeratkan hubungan antara rakyat dengan
kerajaan dalam satu model politik yang syarie.
"Ahlus Sunnah Wal-Jamaah mempunyai kaedah yang sangat jelas dan nyata dalam menilai keperluan mentaati pemimpin.
"Ajaran kita mewajibkan kita mematuhi segala peraturan dan
undang-undang yang ditetapkan oleh pemimpin selagi mana ianya tidak
bertentang dengan dalil-dalil syarak," katanya ketika berucap pada
majlis perasmian penutup Seminar Antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin di
Pusat Dagangan Dunia Putra ( PWTC) di sini hari ini.
Menurut Jamil Khir, Islam membenarkan umatnya menyatakan rasa tidak
setuju kepada pemimpin tetapi ia mesti disantuni dengan adab dan tidak
memecah belahkan umat secara keseluruhannya.
"Perkara-perkara asas ini mestilah difahami dan dihayati dengan
sebaik-baiknya. Sayangnya, di atas landasan dendam kesumat, umat Islam
mengenepikan prinsip-prinsip asas. Menjadikan individu yang rendah moral
sebagai pilihan kepada seorang pemimpin lain yang berjiwa besar,"
katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa banyak negara-negara Islam yang
sedang menghadapi dugaan dari segi politik dan ekonomi disamping masih
ada lagi negara yang dihimpit kemiskinan.
"Atas nama demokrasi total, mereka masih berhempas-pulas dalam
menentukan jalan hadapan kepada negara dan umat Islam di negara
masing-masing. Semua ini realiti baru yang perlu ditangani oleh umat
Islam dengan penuh bijaksana dan penuh hikmah," katanya.
Sementara itu, pada sidang akhbar kemudian, Jamil Khir memberitahu
penubuhan Institut Wasatiyyah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak kini berada dalam peringkat perincian dan dijangka
dapat digerakkan dalam tahun ini.
"Kita tidak mahu masyarakat melihat tafsiran wasatiyyah hanya sebagai
sederhana, ia juga membawa konsep terbaik dan terunggul dalam mencari
keseimbangan antara dunia dan akhirat," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 18/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan