Penguat kuasa Jabatan Agama Islam
Wilayah Persekutuan merampas buku pendukung lesbian, gay, biseksual dan
transeksual (LGBT) berjudul "Allah, Liberty and Love" tulisan Irshad
Manji di kedai buku kompleks beli-belah di Kuala Lumpur, Mei lalu.
*****
PADA awal abad ke-20 (1905-1980), ahli falsafah
Perancis yang terkenal Jean Paul-Sartre mencabar kewujudan Tuhan dengan
menyatakan: "Sekalipun Tuhan itu ada, ia masih boleh ditolak, kerana
Tuhan menghalang kebebasan kita".
Sartre, pemenang Hadiah Nobel 1964, antara ilmuwan besar Barat yang
mempromosi aliran pemikiran existensialisme. Aliran ini kemudiannya
meledakkan bahana fikir yang amat besar di seluruh dunia, malah sangat
dibangga-banggakan oleh masyarakat sastera sejagat.
Existensialisme sangat berkembang-biak dalam budaya cerdik pandai
masyarakat Barat, dan menjadi tunjang kepada kebangkitan sastera di
Eropah dengan dikepalai oleh Albert Camus (1913-1960) melalui novel The Outsider (1942). Camus dengan sumbangan seninya yang mempertikaikan Tuhan, turut menerima Anugerah Nobel (1960).
Seratus tahun kemudian, Barat dipenuhi dengan kepelbagaian gerakan
"ilmiah" yang saling bersekutu dalam menentang Tuhan dan nilai-nilai
agama. Ancamannya di dunia Islam pada awal hingga pertengahan abad ke-20
amat terkekang. Namun kehadiran Salman Rushdie melalui novel The Satanic Verses pada
1988 mula menggoncang keadaan. Akhirnya, pada dekad pertama abad ke 21,
gerakan anti agama menyerap masuk ke negara Islam dan mula bersikap
anti Islam.
Kehadiran pelobi liberalisme, pluralisme dan penyokong kemerdekaan
seks untuk pengamal Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT)
adalah kombinasi sekutu-sekutu gerakan anti Tuhan/Agama yang mula
berdiri dengan berani mendepani masyarakat Malaysia yang selama ini
ditunjangi oleh nilai agama sebagai amalan kehidupan. Sekali gus
menentang Islam.
Selain negara ini, ancaman gerakan penentang Tuhan ini turut
mengancam masyarakat Indonesia yang juga berpegang pada Islam sebagai
nilai kehidupan.
Menurut Ketua Program Pendidikan Islam, Universiti Ibnu Khaldun,
Bogor Indonesia, Dr. Adian Husaini, pelobi liberalisme mengambil
kesempatan di atas meledaknya gerakan keterbukaan dunia terhadap
ekonomi, politik dan hak asasi, dengan menyusup masuk ke akar umbi
negara bangsa untuk menentang nilai-nilai agama terutama di kalangan
masyarakat yang berpegang teguh pada hukum agama sebagai teras kepada
nilai kehidupan.
"Pelobi liberalisme mahu setiap agama tunduk kepada perubahan. Idea terpenting dalam liberalisasi ialah the idea of progress yakni
idea tentang kemajuan dan tidak ada yang tetap. Bagi pelobi sekularisme
dalam mengembangkan pluralisme, tiada lagi syariat dan hukum. Agama
hendaklah berubah mengikut peredaran masa," jelasnya.
Justeru katanya, kehadiran Irsyad Manji untuk mencabar amalan Islam
dan budaya luhur di Malaysia dan Indonesia, adalah agenda yang jelas
untuk mempromosi liberalisasi antara pelbagai agama.
"Mengapa dia mengembangkan liberalisme? Baginya Irshad Manji,
sekarang tidak lagi sekatan, contohnya perkahwinan Muslim dan bukan
Muslim. Itu boleh demi liberalisasi," kata Adian.
Dr. Adian berkata demikian ketika dijemput menjadi panel Bicara
terbitan TV Alhijrah baru-baru ini. Turut hadir sebagai panel,
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail. Program Bicara
yang bersiaran langsung selama sejam ini, dihoskan Pakar Motivasi, Amin
Idris.
Berhubung isu penyebaran dan penularan gerakan sekularisme yang
sangat agresif dalam mempromosi budaya menentang Tuhan dan nilai-nilai
beragama di kalangan umat Islam, Shahlan berkata, sekularisme ini ialah
ibu segala macam pemikiran yang berkembang dengan kaedah perancangan
jahat untuk memisahkan kehidupan duniawi dan ukhrawi.
"Mereka menolak nilai-nilai umat Islam yang selama ini berpegang pada
iktikad keyakinan wujudnya Hari Kebangkitan. Jika sudah tidak ada lagi
iktikad kebangkitan semula, apa ertinya dosa dan pahala, apa erti syurga
dan neraka," tegasnya.
Bagi pelobi sekularisme yang berjuang mempromosi liberalisme dan
pluralisme pula, beliau menyifatkannya sebagai golongan yang menolak
Islam dan Rukun Negara. Bukankah Rukun Negara pertama itu sendiri
meletakkan Kepercayaan Kepada Tuhan, jika tidak percaya wujudnya Tuhan,
"nanti akan timbul pula isu atheist.
Mereka mahukan segala nilai Islam yang berkaitan dengan keimanan
turut ditolak. Tiada lagi panduan nilai agama dan tidak ada lagi
kepercayaan kepada ketuhanan apa lagi hal-hal keimanan kepada yang
ghaib, juga tidak ada lagi hukum hakam dalam Fiqh," katanya.
Shahlan turut menyeru cendekiawan Islam supaya bersatu dalam soal
mendepani dan menentang gerakan anti agama ini. Katanya, pemikir dan
aktivis Islam harus duduk bersama, bersepakat dan menyusun strategi yang
ampuh bagi menyingkir pengaruh serta penularan idea sekularisme yang
berpaksikan pada pluralisme, liberalisme dan mendokong gerakan LGBT yang
terang-terangan didokong oleh beberapa pemimpin dan nama-nama tempatan
yang sengaja mencabar Islam dan institusi kenegaraan.
"Bahayanya tuntutan golongan Liberalisme ini dalam konteks Malaysia,
mereka menolak apa yang telah termaktub dalam perlembagaan kita. Jika
dibiarkan mereka akan menuntut supaya anak yang baru lahir dalam
keluarga Islam pun tidak secara automatiknya beragama Islam," katanya.
Tegas Shahlan lagi, anasir sekularisme ini turut mendesak supaya
mualaf yang memeluk Islam juga bebas kembali ke agama asal mereka.
Malah, bagi isu tuntutan untuk bertukar agama, tidak perlu dirujuk di
mana-mana mahkamah Syariah, malah sebaliknya, tiap pemohon bebas
bertukar agama dengan memohon di mahkamah sivil.
Merujuk kepada suasana di Indonesia masa kini, Dr. Adian melahirkan
kebimbangan kerana penyusupan gerakan anti agama ini kini bertapak kukuh
dan mempunyai pengaruh di negara umat Islam terbesar dunia itu.
"Akar liberalisme agama sebenarnya berakar dari Yahudi. Munculnya liberal judaism membentuk sektor utama dalam agama Yahudi," tegasnya.
Malah Dr. Adian turut membentangkan fakta, betapa Indonesia sangat
terbuka pada pengaruh sekularisme yang bersifat memusuhi agama kerana
negara itu antara yang terawal di rantau ini disusupi aliran freemason
yang dianggap ibu bagi segala pemberontakan terhadap agama.
"Gerakan liberal Barat yang digelar freemason bermula pada 1717,
kemudian masuk ke Amerika pada 1735. Freemason Berjaya melaksanakan
Revolusi Amerika pada 1176 dan 12 tahun sebelum kejayaan revolusi itu,
mereka sudah bertapak di Indonesia pata 1764," jelasnya.
Disoal mengenai Irshad Manji, Dr. Adian menjelaskan, Irshad Manji
berani berterus terang sebagai wanita Muslim yang mengamalkan gaya hidup
lesbian, malah mencabar Fatwa Majlis Ulama Indonesia (MUI) berhubung
pengharaman lesbian.
"Irshad Manji menolak dan mencabar MUI dan menyifatkan fatwa
pengharaman itu sebagai tidak merujuk pada al-Quran. Malah dicelanya
ulama sebagai golongan yang belum tentu diterima Tuhan," katanya.
Dengan nada memperingatkan pejuang Islam di Malaysia agar
berhati-hati dan bersiap-siaga mendepani jihad menentang golongan anti
Islam ini, Dr. Adian mendedahkan, liberalisme ini akhirnya akan
menghancurkan agama. Golongan anti agama ini tidak mahu berpegang pada
hukum Allah malah mahu mengaturkan hidup berdasarkan nilai-nilai
kebebasan dalam tafsiran mereka sendiri.
Mengakhiri debat dalam Bicara, Shahlan turut mengingatkan remaja
Islam agar berwaspada dengan gejala hedonism (hiburan tanpa batas), yang
turut dilihat sebagai anasir anti agama yang menyusup masuk ke dalam
masyarakat melalui keindahan 'seni' yang mereka cipta.
"Hedonisme turut menjadi alat penyusupan ideologi pluralisme dan
sekularisme, kerana hedonisme turut mempromosi budaya kebebasan berhibur
yang semata-mata untuk memuaskan nafsu," tegasnya.
Shahlan meminta umat Islam menelaah diri, serta kekal konsisten dalam
mempertahankan Islam. Umat Islam sudah terlalu terbeban dengan masalah
perpecahan dan sengketa sesama umat. Anehnya di saat-saat kita menghulur
tangan untuk bersatu padu sesama agama dan bangsa, ada saja suara-suara
yang menolak atas berbagai alasan.
Hal ini harus difikirkan oleh kita bersama bahawa siapakah
watak-watak yang mahukan kita berterusan berpecah seperti hari ini. Kata
Perdana Menteri bahawa pintu perbincangan sentiasa terbuka antara UMNO
dengan pihak-pihak lain tetapi apakah jawapan yang telah mereka berikan.
"Agenda idealisme anti-Islam ini harus diperangi. Adalah malang bagi
umat Islam sekiranya, gerakan jahat ini berjaya menjajah kita
semata-mata kerana Islam itu menjadi lemah kerana perpecahan dan
sengketa sesama umatnya," tegasnya mengakhiri perbincangan.
/hwa: utusan.com.my | 23/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan