KUALA LUMPUR 14 Jun - Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin (gambar) menyifatkan cita-cita Pas untuk menggantikan UMNO umpama jauh panggang dari api.
Tegas beliau, UMNO merupakan parti dominan dalam Barisan Nasional
(BN), sebaliknya Pas dalam pakatan pembangkang hanya sebagai 'pak
turut'.
"Kita lihat di Selangor, Pas mempunyai enam Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) yang dulu diketuai oleh Datuk Dr. Hasan Ali sebagai bekas
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan
Kemudahan Awam negeri.
"Tetapi apabila Hasan cuba menerapkan perjuangan Pas yang kononnya
mencegah kemungkaran akhirnya beliau dipecat setelah ditekan DAP.
"Kalau Pas betul dominan, sepatutnya pengganti Hasan adalah dari
parti itu juga, bukannya Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ini menunjukkan
Pas sebagai pak turut dalam pakatan pembangkang," katanya ketika menjadi
panel dalam rancangan Soal Jawab TV3 semalam.
Zulkifli turut mendedahkan dalam kerajaan Kedah walaupun hanya ada
seorang ADUN DAP tetapi ia cukup berkuasa dalam membuat keputusan dalam
isu tertentu.
"Kerajaan Pas kata nak roboh pusat penyembelihan babi di kampung
Melayu di Alor Setar tetapi apabila ADUN DAP ugut untuk keluar daripada
pakatan pembangkang, mereka terpaksa tunduk.
"Bukan itu saja, Pas pula yang terpaksa meminta maaf daripada DAP.
Adakah ini yang dinamakan dominan dan layak untuk ganti UMNO?," soalnya.
Beliau juga memberikan contoh kedudukan Pas di Pulau Pinang yang
tidak diberikan tempat seperti dijanjikan walaupun mempunyai seorang
ADUN iaitu Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd. Salleh Man.
"Dulu dijanjikan untuk memegang jawatan Exco agama tetapi sekarang lain jadinya.
"Nak jadi pengerusi majlis agama negeri itu tidak dibenarkan. Ini
menunjukkan mimpi Pas untuk ganti UMNO tidak akan tercapai," katanya.
Beliau juga berkata, pembangkang sanggup berbuat apa sahaja termasuk
mereka-reka dan mengada-adakan cerita pembohongan dalam usaha menarik
sokongan rakyat.
"Contohnya dalam isu pembelian kapal selam negara iaitu Scorpene dan
pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang telah dijadikan modal politik sejak
2002.
"Ketika saya menjadi peguam bela Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar
Ibrahim, beliau mengarahkan saya untuk mencipta bukti untuk mengaitkan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Tetapi saya enggan berbuat demikian kerana tidak ada satu bukti pun
menunjukkan Najib terlibat dengan pembunuhan Altantuya dan sebab itu
saya tarik diri daripada menjadi peguam Anwar," katanya.
Zulkifli menambah, pembangkang mencipta persepsi itu berdasarkan
perkara yang tidak benar serta putar belit untuk kepentingan politik
mereka.
"Sepatutnya rakyat perlu menilai apabila Najib sendiri telah
bersumpah sebanyak tiga kali bagi menunjukkan beliau tidak bersalah.
"Tetapi Anwar hanya suka bersumpah ketika mengangkat sumpah menerima
jawatan. Jika benar dia tidak bersalah mengapa tidak berani bersumpah
seperti Najib," ujarnya.
Tambahnya lagi, setelah ditunjukkan kebenaran oleh Allah SWT, beliau
dan rakan-rakan yang pernah menyokong Anwar akan turun memberi
penerangan kepada rakyat tentang Anwar.
"Melalui Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), saya
bersama beberapa bekas rakan baik Anwar akan terus bersama memberi
penerangan agar rakyat tidak mengikut langkah kami.
"Dulu kami tidak nampak tetapi sekarang, kami akan tebus kesalahan dengan TIBAI," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 15/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan