17 Jun 2012

Sultan dan agama jadi permainan?

ISU sensitif terutamanya melibatkan agama Islam, raja-raja Melayu dan perkauman seolah-olah menjadi permainan harian berpolitik selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.
Walaupun rata-rata rakyat sudah muak dengan cara berpolitik yang tidak matang dan ekstremis oleh individu mahupun kumpulan politik tertentu, isu sama terus dimainkan dengan beraninya tanpa segan silu.
Terbaru, isu Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mempersoalkan pembelian nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi laman sosial Twitter miliknya.
Selepas ribuan rakyat Johor berang dan pelbagai pihak berterusan mengecam keterlanjuran Mohammad Nizar itu, beliau telah menyatakan kesediaan menghadap Sultan Ibrahim bagi memohon maaf dan memberi penjelasan.
Walaupun kebanyakan pihak dan blog mengecam keceluparan bekas Menteri Besar Perak itu, blog PapaGomo (www.papagomo.com) memberi pandangan berbeza dengan mengaitkannya dengan agenda membunuh karier politik Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayob.
Menurutnya: "Gomo dimaklumkan sewaktu kekecohan mengenai penghinaan Mohammad Nizar ke atas Tuanku Sultan Johor berhubung plat WWW 1, Salahuddin begitu marah dengan tindakan itu yang telah menjejaskan reputasi beliau yang cuba kembali ke negeri Johor dalam pertandingan PRU13 akan datang.
"Pertelagahan juga didakwa berlaku ketika Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian dilaporkan berjumpa Mohammad Nizar sehingga terpaksa diredakan beberapa ahli Pas lain.
"Apa yang Gomo lihat di sini adalah 'game plan' yang dilakukan dalam mematikan karier politik Salahuddin dengan mencetuskan kemarahan rakyat Johor yang secara automatiknya akan memastikan Naib Presiden Pas itu tidak berkesempatan menang jika bertanding di mana-mana kerusi di Johor pada PRU13.
"Gomo akui Mohammad Nizar bukan bergerak keseorangan dalam isu tersebut yang mana Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Husam Musa merupakan orang yang berada di belakang dalam mengerakkan usaha agar Salahuddin terkubur karier politiknya," jelas beliau.
Katanya, sekiranya Salahuddin tewas pada PRU13 nanti akibat penghinaan ke atas Sultan Johor itu, maka pengaruh beliau akan berkurangan dan menggagalkan usahanya mempertahankan jawatan Naib Presiden mahupun jika bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas.
"Peluang akan lebih tertumpu kepada Husam dari Kelantan serta Mahfuz yang cukup ligat membiayai pergerakan ahli Pas dan Mohammad Nizar akan mendapat sokongan daripada pihak Erdogan haluan kiri yang kini menguasai Pas," dakwa PapaGomo.
Ketika isu tersebut semakin panas dan telah disiasat polis mengikut Akta Hasutan, timbul pula isu baru melibatkan agama Islam apabila ada saranan agar ahli Pas menangguhkan ibadah haji tahun ini bagi menghadapi PRU13.
Blog Pisau.net (www.pisau.net) menempelak tindakan itu yang bertujuan membolehkan orang Islam meninggalkan haji asalkan boleh 'pakoh bulan'.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan tidak pernah pula bercadang mengadakan pilihan raya semasa umat Islam menunaikan haji.
"Pas memang merancang tak mahu rakyat tunaikan haji tahun ini. Tak pasal umat Islam seluruh negara terpaksa menanggung kesan mereka 'berdemo' di Madinah dan Mekah, sekarang mahu alihkan isu kononnya kerajaan mahu adakan PRU13 semasa musim haji," ujarnya.
Selain isu haji, blog Pisau.net turut membangkitkan beberapa isu melibatkan penggunaan agama dalam politik yang berlaku kebelakangan ini.
Ini termasuk video kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang didakwanya menggambarkan 'Islam membenarkan kroni' seperti yang dilakukan Rasulullah SAW terhadap empat sahabatnya.
Menurutnya: "Sebelum ini pakatan haprak menyelar Barisan Nasional (BN) kononnya mengamalkan kronisme.
"Mereka menyerang BN dan UMNO semata-mata mahu menutup perbuatan mereka, Nik Aziz bersama anak menantunya, Lim sekeluarga termasuk anak menantu, ini termasuklah Karpal dan anak-anaknya. Anwar bersama isteri dan anaknya termasuklah kroni seperti Azmin."
Turut diselar blog Pisau.net adalah kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Harakah yang didakwa cuba menyamakan perjuangan Nabi Muhammad SAW di Mekah dengan perjuangan komunis di Malaysia demi menyelamatkan Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Sabu daripada pendakwaan mahkamah.
Tegasnya: "Apa kena mengena Rasullulah SAW berperang dengan kafir dengan perjuangan komunis?
"Adakah komunis memperjuangkan agama Islam? Adakah komunis mempertahankan bangsa dan tanah air? Murtad pun sudah halal, sekarang komunis pun dah jadi perjuangan fisabillillah...."
Blog House PK (parpukari.blogspot.com) turut menyelar tindakan berpolitik parti pembangkang sehingga mencemar agama Islam apabila Majlis Fatwa Kebangsaan dicap haram kerana ada pihak mahu membela Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga.
"Aku terpanggil untuk bercakap tentang Presiden Indian Rights Action Force (Indraf), Tasleem Mohamed Ibrahim yang menjatuhkan hukum 'haram' kepada Majlis Fatwa Kebangsaan kerana katanya majlis itu telah menjatuh hukuman demonstrasi Bersih 3.0 sebagai 'haram'.
"Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim telah memaklumkan bahawa majlis berkenaan tidak pernah mengeluarkan sebarang fatwa berhubung demonstrasi Bersih 3.0 tetapi memberikan 'nasihat' bahawa perhimpunan dan demonstrasi yang didalangi oleh pakatan pembangkang itu bersifat 'haram'," katanya.
Tambahnya: "Yang paling aku tak sangka ialah apabila Tasleem berceramah 'Majlis Fatwa Kebangsaan adalah haram' di hadapan orang-orang beragama Hindu dalam program 'sembahyang khas' untuk Ambiga.
"Apa kena-mengena Majlis Fatwa Kebangsaan dengan masyarakat Hindu? Kalau pun nak tarik undi dan sokongan daripada masyarakat India, apa perlu dia menjaja tentang Majlis Fatwa?
"Majlis Fatwa Kebangsaan kalaupun keluarkan fatwa, ialah untuk orang Islam. Orang bukan Islam, apa kena-mengenanya?"
/hwa: utusan.com.my | 15/6/12

Tiada ulasan: