Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor
bersama Ng Yen Yen (lima dari kiri) dan James Dawos Mamit (kiri) melihat
gimik pelancaran Malaysia International Tourism Exchange 2012 di
Serdang, semalam. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN
*****
KUALA LUMPUR 31 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata, setiap lapisan masyarakat bertanggungjawab membantu kerajaan
memastikan Malaysia kekal aman dan terus menjadi destinasi pilihan
pelancong dalam dan luar negara.
Perdana Menteri berkata, kesejahteraan negara bukan sahaja mampu
menjana sektor pelancongan yang menyediakan banyak peluang pekerjaan
tetapi turut menarik dan merangsang pelaburan dalam negara.
Justeru, katanya, pihak berkepentingan seperti pertubuhan bukan
kerajaan (NGO), pekerja awam dan swasta serta individu biasa harus
mempromosikan keamanan negara dalam menarik kehadiran pelancong,
seterusnya menjana ekonomi negara.
"Kita perlu memastikan Malaysia aman dan bebas daripada segala
keganasan, kita perlu mengekalkan keamanan serta kestabilan, menghormati
undang-undang dan memastikan komitmen kita terhadap komuniti
antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian
'Malaysia International Tourism Exchange (MITE) 2012' di Serdang dekat
sini hari ini.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri
Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dan timbalannya, Datuk Dr. James
Dawos Mamit.
Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berharap MITE 2012
yang julung kali diadakan tahun ini muncul sebagai pameran pelancongan
terbaik di rantau ini, jika tidak di dunia.
Kata beliau, pameran yang mengumpulkan para pengusaha serta pembekal
perkhidmatan dari serata dunia itu akan menjadi platform buat para
pelabur luar mempertimbangkan negara ini sebagai pusat operasi mereka.
"Kita boleh melakukan pelbagai strategi promosi dan pemasaran yang
menakjubkan tetapi para pelancong perniagaan ataupun pelancong santai
harus mendapatkan pengalaman mengagumkan di Malaysia.
"Tiada apa yang lebih buruk selain daripada seseorang pelancong itu
pulang ke negara mereka dan merungut (mengenai Malaysia)," katanya.
Sementara itu, MITE 2012 yang dianjurkan selama empat hari sehingga
Ahad ini menyaksikan penyertaan lebih 600 pempamer dari 33 negara dan
dijangka menarik kira-kira 600,000 pengunjung.
/hwa: utusan.com.my | 2/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan