Faekah Husin
*****
KUALA LUMPUR 24 Jun - Parti Keadilan Rakyat (PKR)
Selangor mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
menggantung sementara jawatan Setiausaha Politiknya, Faekah Husin dan
melakukan siasatan berhubung isu penggunaan kepala surat Pejabat Menteri
Besar Selangor.
Ketua Penerangannya, Shuhaimi Shafie berkata, Abdul Khalid seharusnya
bersikap konsisten dengan tindakan dan kenyataannya sebelum ini, selain
perlu mencadangkan siasatan penuh terhadap Faekah.
''Saya rasa lebih baik digantung dahulu tugas pegawai yang terlibat
(Faekah) supaya siasatan dapat dilakukan. Ia juga bagi mengelakkan rasa
tidak puas hati. Elok digantung dulu sama seperti kes-kes sebelum ini
kerana tindakan itu dilihat lebih konsisten.
''Jadi tidaklah nanti ia menjadi tuduhan-tuduhan besar kononnya
Menteri Besar melindungi Setiausaha Politiknya,'' katanya dalam laman
blog Antarapos.com di sini hari ini.
Faekah baru-baru ini didakwa telah menyalahgunakan kedudukannya untuk
mempengaruhi sebuah syarikat milik kerajaan negeri bagi memberi peluang
perniagaan kepada sebuah firma guaman yang dikatakan mempunyai hubungan
keluarga dengannya.
Shuhaimi seterusnya dilihat mempertikaikan pendirian Menteri Besar
dan Faekah berhubung isu surat berkenaan dengan merujuk perenggan
terakhir yang ditulis oleh Setiausaha Politik itu kepada Ketua Pegawai
Eksekutif Syarikat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Datuk Ahmad
Omar.
Beliau menyifatkan maksud pada perenggan itu tidak kena pada
tempatnya kerana boleh diibaratkan sebagai cubaan mempengaruhi proses
dalaman PNSB melantik panel guamannya.
''Perenggan itu menyebut, 'Pentadbiran ini (Abdul Khalid) juga
berpandangan bahawa peluang harus diberikan (kepada syarikat Zeenat
Asyiqin & Associates) selagi ia tidak menyalahi mana-mana peraturan
syarikat,'' katanya.
Shuhaimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda
berpandangan bahawa apabila surat itu dikeluarkan oleh Pejabat Menteri
Besar, maka dari awal lagi ia boleh menimbulkan tanggapan yang terarah
kepada 'untuk diberi lantikan kepada syarikat yang terlibat'.
Beliau juga memberitahu, Menteri Besar itu sebelum ini telah
mengeluarkan arahan melarang surat-surat berbentuk sokongan daripada
jentera kerajaan negeri kepada individu dan syarikat yang mahu
mendapatkan projek serta tender kerajaan negeri.
''Jika Menteri Besar pernah mengeluarkan arahan seumpama itu dalam
bentuk perniagaan, maka dalam kes ini (Faekah), surat itu nampaknya
bertentangan dengan arahan yang dikeluarkan,'
''ADUN-ADUN pakatan pembangkang masih mengeluarkan surat sokongan,
namun dengan peruntukan jelas. Bagi kita, memanjangkan surat atau
memberi surat sokongan adalah perkara biasa. Terpulang kepada syarikat
terbabit untuk mempertimbangkan atau menolak,'' katanya.
/hwa: utusan.com.my | 25/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan