NAJIB Tun Razak diiringi Ahmad Husni 
Hanadzlah dan Mohd. Ali Rustam bersalaman dengan orang ramai yang hadir 
pada upacara Perasmian Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Melaka, 
semalam. - MINGGUAN/GAIE UCHEL 
***** 
MELAKA 23 Jun - Penubuhan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang 
pertama di negara ini di Jalan Hang Tuah di sini terbukti memberi 
kepuasan yang begitu tinggi kepada rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk 
Seri Najib Tun Razak.
Menurut beliau, ia merupakan contoh di mana kerajaan Pusat dan negeri
 dapat menjalin kerjasama dengan begitu erat selain menzahirkan satu 
konsep yang memberi kemudahan yang begitu baik kepada rakyat.
Beliau menegaskan, konsep UTC yang diperkenalkan itu dilihat cukup 
mesra rakyat di mana di bawah satu bumbung terdapat 70 kementerian, 
agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta menawarkan 
pelbagai perkhidmatan untuk dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat 
berbilang kaum di negeri ini.
''Saya percaya pusat ini (UTC) setelah beroperasi boleh mendapat 
sambutan yang cukup hangat bukan kerana bangunannya tetapi lebih penting
 dari segi kemudahan dan pengisian perkhidmatan yang begitu hebat 
diberikan kepada rakyat.
''Pusat ini juga berkonsepkan mesra rakyat, bukan sahaja terdapat 70 
kementerian, agensi kerajaan, NGO dan swasta tetapi ia turut menawarkan 
kemudahan sosial seperti pusat jagaan kanak-kanak, perpustakaan, 
gimnasium dan surau.
''Lebih penting lagi, urusan berkaitan dengan orang ramai terdapat di
 sini seperti Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen yang 
membolehkan MyKad serta pasport dapat disiapkan dalam tempoh yang 
singkat,"katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan 
perasmian bangunan UTC Melaka yang pertama seumpamanya di negara ini di 
Jalan Hang Tuah di sini hari ini.
Sejurus menyempurnakan perasmian yang dihadiri kira-kira 100,000 
orang itu, Perdana Menteri turut meluangkan masa membuat lawatan dan 
meninjau perkhidmatan yang disediakan di situ.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua 
Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk 
Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Mengulas lanjut, Najib berkata, selepas Melaka, UTC kedua akan dilancarkan di Pudu Sentral, Kuala Lumpur tidak lama lagi.
Menurutnya, kerja-kerja membaik pulih bangunan Pudu Sentral itu kini sedang giat dijalankan.
''Selepas ini, UTC akan dikembangkan ke setiap bandar lain dan saya 
harap dalam masa tidak lama lagi setiap negeri akan mempunyai UTC 
sendiri," ujarnya.
Beliau turut memuji usaha gigih kerajaan negeri menyiapkan 
kerja-kerja membaik pulih bangunan UTC sembilan tingkat apabila dapat 
disiapkan dalam tempoh hanya enam minggu.
Katanya, ia merupakan satu rekod dari segi kepantasan serta 
pelaksanaan daripada satu keputusan dibuat dari tarikh kemudahan dapat 
disiapkan untuk kegunaan orang ramai.
UTC Melaka beroperasi tujuh hari seminggu dan dibuka kepada orang 
ramai untuk membuat urusan dari pukul 8.30 pagi hingga 10 malam.
/hwa: utusan.com.my | 23/6/12 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan