Najib Tun Razak menyampaikan skim
bantuan Kasih Felda kepada Kamaliah Ahmad (tiga dari kiri) untuk
membaiki rumah ibu tunggal itu di Kampung Teloi Tua, Sik, semalam.
Turut sama, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan (tiga dari kiri) dan Pengerusi
Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad (kiri). - BERNAMA.
*****
SIK 29 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak hari
ini mengumumkan pemberian duit raya berjumlah RM43.2 juta kepada 112,635
peneroka Felda di seluruh negara.
Perdana Menteri berkata, pemberian itu bertujuan menghargai sumbangan
warga peneroka kepada pembangunan Felda serta membantu membuat
persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Beliau berkata, pemberian itu terbahagi kepada dua kategori iaitu
peneroka bersama Felda dan peneroka yang tidak bersama Felda sebagaimana
kaedah yang sama pada 2011.
"Seramai 103,597 orang atau 91.9 peratus peneroka Felda akan menerima
RM400 seorang dan ini melibatkan peruntukan berjumlah RM41.1 juta.
"Seramai 9,038 orang pula atau 8.02 peratus peneroka yang tidak
bersama Felda turut menerima RM200 seorang melibatkan peruntukan
berjumlah RM1.8 juta," katanya ketika berucap pada Program Rahmat
Ramadan Warga Felda 2012 di Sekolah Kebangsaan Beris Jaya, di sini hari
ini.
Menurut Najib, pemberian duit raya kepada peneroka telah dilaksanakan
sejak 2003 dan bayaran pada tahun ini bertambah sebanyak RM0.6 juta
atau 1.39 peratus berbanding 2011 iaitu sebanyak RM42.6 juta.
Katanya, pemberian duit raya itu diharap dapat meringankan beban kewangan dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Tambah beliau, bayaran akan dibuat kepada semua peneroka dalam minggu
kedua bulan Ramadan dan dibayar di peringkat rancangan Felda di seluruh
negara.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan program kerohanian
kepada semua masjid di tanah rancangan Felda iaitu bagi program Ihya
Ramadan sebanyak RM951,000, sagu hati kepada jawatankuasa masjid
(RM792,000) dan program Ihya Ramadan Kawasan Parlimen Felda (RM540,000).
Selain itu, Najib turut memberi duit raya kepada wilayah Alor Setar
berjumlah RM1.58 juta dan durian runtuh kepada penerokawati wilayah
tersebut sebanyak RM20.2 juta.
/hwa: utusan.com.my | 30/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan