Liu Yang
*****
SEMALAM majlis pembukaan temasya sukan Olimpik dianggap paling
bersejarah dari segi gilang-gemilangnya. London boleh senyum bergaya.
Pesta Olimpik merupakan perhimpunan kemanusiaan terbesar yang berjaya
menyumbangkan perasaan kesejagatan sesama insan tanpa mengira bangsa,
agama dan fahaman politik melalui semangat kesukanan.
Ia adalah lebih bermakna dalam menyatukan tumpuan manusia di seluruh
dunia berbanding institusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Lebih-lebih lagi pada zaman dunia dikecilkan dan disatukan melalui
rangkaian media sosial yang telah menyelubungi keseluruhan planet bumi.
Inilah istimewanya sukan.
Maka dari satu segi, Olimpik London kali ini bersejarah kerana
liputan acaranya ke seluruh dunia secara lintas langsung bukan saja
melalui televisyen tetapi juga telefon pintar dalam bentuk Internet dan
media sosial, khususnya facebook dan twitter.
Teknologi maklumat dan komunikasi mengubah dunia dan manusia dengan
tahun 2012 ini melihat kecanggihan yang lebih tinggi. Bukan saja tablet
sedang mengubah dunia tetapi telefon pintar yang memiliki pelbagai ciri
canggih seperti antaranya diperkenalkan oleh Samsung mampu mengatasi
Apple, dengan persaingan bertambah sengit.
Namun begitu, teknologi dalam bentuk kejuruteraan juga sedang
mengubah pemahaman manusia terhadap kewujudan ini. Selain daripada
pembinaan roket dan kapal angkasa, manusia juga mampu melakukan
penyelidikan ke atas zarah-zarah yang kecil dengan menggunakan teknologi
tinggi ini.
Justeru bagi 2012 yang sudah masuk separuh keduanya, mungkin
pencapaian terbesar manusia tahun ini ialah penemuan partikel Boson
Higgs yang diumumkan 4 Julai lalu di Pertubuhan Eropah bagi Penyelidikan
Nuklear (CERN) di Geneva, Switzerland.
Penemuan partikel ini mengesahkan teori berkaitan Model Standard
fizik partikel dalam menjelaskan alam subatomik partikel asas dan daya
interaksi antara mereka. Ia merupakan suatu langkah penting bagi ilmu
fizik memahami alam.
Keupayaan ahli-ahli fizik pelbagai bangsa membuat penemuan itu hanya
dapat dilakukan melalui uji kaji dengan menggunakan penjana pecutan
Large Hadron Collider (LHC), sebuah alat berupa terowong keliling 27
kilometer di bawah tanah di Geneva, Switzerland.
Justeru, kesemua ini adalah merupakan hasil daripada teknologi yang
dicapai oleh manusia dengan Eropah dapat menawarkan tempat serta
kemudahan bagi pencarian penemuan baru untuk ahli-ahli fizik.
Ketika mana ahli-ahli fizik bidang berkenaan dari pelbagai negara
meraikan kejayaan itu, penduduk Eropah sendiri sedang dicabar dengan
krisis kewangan yang menggugat bukan saja sistem kewangan mereka melalui
Eurozone tetapi juga idealisme perpaduan benua itu dalam gagasan
Kesatuan Eropah (EU).
Krisis ekonomi yang kini melanda Greece dan sedang merebak ke
Sepanyol mengakibatkan pendapatan rakyat di sana terhakis teruk di
samping meningkatkan pengangguran.
Keadaan ini menggugat kepercayaan penduduk Eropah tentang kemapanan
Eurozone dan EU sendiri. Jerman sebagai negara yang mempunyai kemampuan
menyelamatkan sistem ini tidak jelas untuk membantu kerana bantahan
penduduk mereka sendiri. Tanpa penyelesaian yang berkesan, penyatuan
Eropah boleh tergugat kerana krisis ini.
Apa yang berlaku di Eropah ini hanya menambahkan cabaran terhadap
sistem ekonomi kapitalisme sejagat itu sendiri. Dengan cabaran krisis
kewangan Amerika Syarikat sejak dua tahun lalu, berpunca daripada
pinjaman hartanah yang tidak baik dan penyelewengan saham membawa kepada
persoalan terhadap sistem kapitalisme itu.
Setelah sistem ini berjaya mengalahkan kaedah komunisme apabila blok
Soviet terlerai, pada tahun ini terserlah suatu ironi global yang
menuntut penilaian semula cara manusia menjalankan kehidupan ekonominya.
Ironi global yang dimaksudkan di sini ialah dunia kapitalisme Barat,
baik di Amerika mahupun Eropah kini bergantung kepada sebuah negara yang
masih mengisytiharkan dirinya komunis walaupun ia mengamalkan sistem
pasaran terbuka. Negara itu ialah Republik Rakyat China yang
menghasilkan barangan-barangan murah untuk kegunaan seluruh dunia.
Kekuatan ekonomi China ini tentu mengukuhkan kedudukan politiknya di
mata dunia. Suatu petanda utama kedudukannya yang kuat kini ialah
usahanya yang berterusan untuk meneroka angkasa lepas. China yang tahun
ini mengirim angkasawan wanita pertamanya, Liu Yang berazam untuk
mendaratkan manusia di muka bulan.
Dalam keadaan sebegini kuat, China tidak perlu takut pada sesiapa,
walaupun Amerika Syarikat. Maka ia dengan mudah membina kota Sansha di
pulau terpencil di Laut China Selatan.
Pulau ini, Yongxing adalah sebahagian daripada kepulauan Paracel.
Kepulauan ini bukan saja dituntut oleh China tetapi juga Vietnam dan
Filipina. Langkah China untuk mengisytiharkan Sansha sebagai
munisipaliti terbarunya adalah merupakan usaha untuk mengukuhkan
tuntutannya ke atas kepulauan-kepulauan Paracel, Spratly dan Tebing
Macclesfield.
Kepulauan Spratly dan sebahagiannya juga dituntut oleh Malaysia, Brunei dan Taiwan, selain daripada Vietnam dan Filipina.
Ini bermakna negara-negara ASEAN berdepan dengan China dalam soal
tuntutan kepulauan ini yang pasti menimbulkan rasa tidak senang antara
kedua belah pihak.
Bukan itu saja, rencana pengarang akhbar milik Parti Komunis China, The Global Times telah menggesa kerajaannya membuat tuntutan pula ke atas pulau Jepun, Okinawa sebagai miliknya.
Sejak kebangkitan China, pihak negara-negara ASEAN sedar bahawa
mereka harus bersatu dan mengukuhkan diri untuk dapat berdepan dengan
China.
Dalam tahun ini, perkembangan yang baik bagi ASEAN ialah Myanmar mula
membuka sistemnya dan berduyun-duyunlah pelabur dari Barat datang.
Sememangnya diharapkan Myanmar akan bangkit untuk menjadi makmur dan
bersama-sama negara-negara lain dalam ASEAN memperkukuhkan kekuatan
untuk menghadapi cabaran ekonomi China dan India,
Tetapi malangnya ketika mana Myanmar menampakkan sinar, terserlah
pula masalah Muslim Rohingya yang ditolak hak kewarganegaraannya oleh
kerajaan mereka sendiri.
Nasib yang menimpa Rohingya ini menimbulkan kemarahan umat Islam
bukan saja di negara-negara ASEAN tetapi juga di Pakistan, malah
sehingga di Tunisia. Di negara-negara itu, bantahan dibuat kerana
layanan buruk yang diberikan oleh kerajaan Myanmar terhadap bangsa
Rohingya.
Inilah pertama kalinya terdengar rakyat Tunisia menyatakan prihatin
terhadap nasib umat Islam yang begitu jauh dari tempat mereka.
Tunisia baru saja mendapat kerajaan baru melalui sistem demokrasi.
Apa yang disebut sebagai kebangkitan Musim Bunga Arab yang bermula di
Tunisia telah pun turut mengubah kerajaan di Libya dan Mesir. Kesemuanya
didorong oleh media sosial.
Kini, kebangkitan itu berubah dalam bentuk perang saudara di Syria.
Maka berlakulah pembunuhan sesama Islam, malah pada bulan Ramadan.
Tetapi Syria kini menjadi persimpangan bagi geopolitik dunia.
Masing-masing pihak kerajaan dan pemberontak menjadi proksi dalam
persaingan lama yang diperbaharui antara Amerika Syarikat dan
lawan-lawannya.
Maka apabila Amerika menyokong pemberontak Syria seperti mana ia
merestui kebangkitan di Tunisia, Mesir dan Libya, ia membuka satu medan
di mana Iran dan Rusia pastinya memberi sokongan kepada Bashar Assad.
Rusia yang kembali dipimpin oleh Vladimir Putin menunjukkan tanda
bahawa Moscow mahu memulihkan kedudukannya sebagai kuasa besar bagi
mengimbangi Amerika.
Inilah simpang-simpang baru dalam geopolitik di mana peperangan akan berterusan dalam bentuk-bentuk baru.
Walaupun kini manusia bertambah maju dari segi pemahaman sainsnya,
teknologi semakin canggih dan usaha mencari sistem ekonomi dan politik
yang lebih baik berjalan terus, tetapi persaingan geopolitik yang
membawa bersama peperangan dari satu tempat ke tempat lain akan
berterusan.
Akan ada manusia yang terus terkorban dalam peperangan. Ketika mana
pusat-pusat konflik yang lepas seperti Palestin, Iraq, Afghanistan,
Sudan dan Somalia masih belum berakhir, muncul pula konflik-konflik
baru.
Manusia walaupun berganti generasi akan terus menyesuaikan diri
dengan perubahan ini. Ini belum lagi dikira betapa perubahan iklim akan
membawa banyak lagi bencana pada masa mendatang.
* Ruangan Awang Selamat akan kembali semula minggu depan.
/hwa: utusan.com.my | 29/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan